MILIK SELANGOR... Pengurus Selangor, Mokhtar Ahmad (tengah) bersama Azman
Adnan (kiri) dan Zainal Abidin Hassan selepas majlis menandatangani kontrak di
Wisma FAS, Kelana Jaya, semalam.
AZMAN Adnan terus mencetuskan kontroversi apabila memilih untuk kembali
menyarung jersi Selangor, selepas dikatakan bersetuju menyertai Persatuan Bola
Sepak Negeri Sembilan (PBNS) musim ini.
Segala spekulasi berhubung perpindahan Azman terjawab semalam, apabila dia
menandatangani kontrak setahun dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di
Wisma FAS, Kelana Jaya bersama pemain veteran Zainal Abidin Hassan.
Keputusan Azman nyata meriangkan pengurusan FAS serta penyokong Selangor, tetapi
tindakannya itu mengecewakan pengurusan PBNS yang menunggu hampir tiga jam di
Seremban kerana mengadakan majlis yang sama untuk pemain terbabit.
Turut menghadiri majlis menandatangani kontrak berkenaan termasuklah
Presiden PBNS yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul
Samad serta pegawainya.
Pengurus Selangor, Datuk Mokhtar Ahmad nyata terkejut ketika diberitahu
Azman dikaitkan dengan majlis berkenaan yang turut membabitkan jurulatih Negeri
Sembilan M. Karathu serta bekas pemain import Sabah Scott Olleranshaw.
''Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku, tetapi apa yang saya
pasti Azman tidak pernah menurunkan tandatangannya kepada mana-mana pasukan
selain Selangor,'' katanya pada sidang akhbar, semalam.
Menurut Mokhtar, Azman sememangnya sudah memberi persetujuan utuk kekal
bersama Selangor walaupun beliau mengambil alih jawatan pengurus daripada
Presiden FAS, Datuk Mohd. Aini Taib.
''Sejak awal lagi saya rasa tidak timbul soal Azman akan menyarung jersi
Negeri Sembilan atau Pahang seperti yang digembar-gemburkan.
''Ini kerana Presiden (Aini) sudah memberitahu saya, tiada sebarang
perubahan akan berlaku dalam pasukan Selangor ketika beliau menyerahkan jawatan
pengurus kepada saya,'' katanya lagi.
Azman, 26, menyertai Selangor pada 1993 selepas terbabit kontroversi yuran
perpindahan RM1 juta yang dituntut Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL).
Dia menjadi pemain yang paling diminati penyokong Merah Kuning selepas itu
kerana membantu pasukan berkenaan mencipta kejayaan hatrik Piala Malaysia
selain kejayaan menjuarai divisyen satu (1994), Piala FA dan Piala Sumbangsih.
Menurut Mokhtar, kandungan kontrak yang ditawarkan kepada Azman adalah
mengikut peraturan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu
tidak melebihi RM5,000 sebulan beserta bonus RM3,000.
Katanya, tindakan Azman untuk kekal bersama juara Piala Malaysia itu
bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Selangor memiliki segala ciri-ciri
yang diperlukan pemain terbabit.
''Azman rasanya sudah cukup sinonim dengan pasukan Selangor, dia tidak
perlu mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan
sepasukannya,'' katanya lagi.
Menurut Mokhtar, keputusan Azman itu tidak perlu dipertikaikan kerana
pemain terbabit bebas memilih pasukan yang diminatinya selagi dia terikat
dengan mana-mana pasukan.
Sementara itu, mengulas kedudukan pemain import Selangor, menurut Mokhtar
setakat ini pasukan itu hanya memiliki seorang pemain iaitu Alexander Freeman
menandatangani kontrak minggu lalu.
Manakala kontrak pemain pertahanan dari Wales, Jeff Hopkins tamat hujung
tahun lalu dan FAS sudahpun mengemukakan sokongan untuk menawarkan kontrak baru
kepada pemain terbabit.
Mengulas kedudukan ketua pasukan Mehmet Durakovic, Mokhtar berkata
keputusan sama ada mengekalkan khidmat pemain terbabit hanya akan diputuskan
selepas mengambil kira soal kewangan FAS.
''Melihat kepada situasi ekonomi negara, FAS sememangnya bercadang untuk
mengurangkan perbelanjaan. Keputusan sama ada menggunakan khidmat lebih dari
dua pemain import hanya akan diputuskan selepas melihat kedudukan kewangan
persatuan.
''Bagaimanapun, ia tetap bergantung kepada hasil perbincangan dengan
jurulatih Steve Wicks.
''Sekiranya beliau berpendapat ia adalah sesuatu yang perlu, kami akan
mempertimbangkannya,'' katanya lagi.