Memaparkan catatan dengan label AZMAN ADNAN 1999. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AZMAN ADNAN 1999. Papar semua catatan

Sabtu, 23 November 2019

Rusdi ganti Azman


ARKIB : 24/07/1999
PENGGUGURAN Azman Adnan tidak menjejaskan kemantapan barisan serangan negara dengan gandingan baru Azizul Kamaludin dan Rusdi Suparman mengharungi cabaran bola sepak lelaki pada Sukan SEA XX di Brunei, bulan depan.
Azman digugurkan daripada skuad itu oleh ketua jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim kelmarin kerana bimbang risiko kecederaan kaki yang dialaminya menjejaskan cabaran negara pada temasya itu.
Abdul Rahman seperti dipetik dalam akhbar The Star sebagai berkata: ''Walau pun saya ingin memasukkan Azman, namun saya tidak mahu mempunyai pemain yang cedera di Brunei.
Jurulatih, Lim Chuan Chin yang mengendalikan latihan skuad negara di padang MSN, Bukit Jalil semalam, juga tidak mengetahui ke mana perginya Azman selepas menabur janji kosong.
''Azman berjanji untuk berjumpa doktor dan berjanji untuk menyaksikan latihan rakan sepasukannya. Namun dia tidak menunjukkan muka langsung hari ini (semalam).
''Dalam sesi latihan ini, kami menumpukan kepada kekuatan mental. Rusdi Suparman, Wan Rohaimi, Shaharuddin Rosdi dan Nazri Yusof kini dibelenggu kecederaan, tetapi disifatkan bukan di tahap serius,'' kata Lim.
Sementara itu, Rusdi mengakui gandingannya dengan Azizul Kamaluddin menjanjikan sesuatu di Brunei, walaupun dia turut dibebani kecederaan kaki.
''Ia cabaran pertama saya dalam Sukan SEA dan saya cukup bangga dapat mewakili negara. Kecederaan ini berlaku pada perlawanan persabahatan kedua menentang Myanmar baru-baru ini.
''Kombinasi saya dengan Azizul juga bertambah baik. Saya tidak kisah digandingkan dengannya selepas ketiadaan Azman,'' kata Rusdi, 26, yang tidak menduga dipilih oleh Abdul Rahman.
Penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Aziz berkata, dia dan rakan sepasukan akan memastikan kemenangan pertama ke atas Singapura, 31 Julai ini.
''Fikiran saya hanya terbayang cabaran Singapura kerana kita perlu menang untuk meneruskan langkah.
''Tahap permainan antara pasukan sekumpulan agak setanding dan Malaysia tetap berpeluang melangkah lebih jauh,'' kata Azmin beraksi pada Sukan SEA buat kali kedua selepas Jakarta 1997.

Kedudukan Azman tentukan hari ini


ARKIB : 23/07/1999
TANDA tanya penampilan Azman Adnan bersama skuad bola sepak negara ke Sukan SEA XX Brunei, bulan depan di sebalik kecederaan buku lali kirinya, akan terjawab hari ini.
Jika laporan doktor menggalakkan, Azman mungkin mendapat peluang kedua tetapi andai kata sebaliknya, penyerang Pulau Pinang itu cuma boleh mengucapkan selamat jalan kepada rakan lain.
Jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim berkata, dia masih mengharapkan Azman beroleh 'keajaiban' untuk kembali bersama biarpun agak tipis.
''Saya perlu mendapatkan laporan doktor dulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk membawa Azman kembali atau tidak.
''Bagaimanapun kita harus akur kepada tahap kecergasannya yang mungkin rendah setelah tidak bersama skuad negara sejak menentang Arsenal, Mei lalu,'' kata Rahman.
Cuma 18 pemain akan dipilih Isnin ini ke Brunei untuk memikul cabaran negara mengakhiri kemarau kemaraan ke separuh akhir sejak Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.
Rahman turut membayangkan untuk terus bersandarkan tenaga yang pernah beraksi ketika Malaysia tewas 0-2 kepada kelab gergasi England, Arsenal di Kuala Lumpur, lalu.
''Saya sudah memiliki antara lapan hingga 12 pemain teras. Selepas beberapa ujian, saya dapati tidak perlu membuat banyak rombakan,'' katanya.
Rahman turut mengakui, biarpun tanpa Azman, jentera serangan skuad negara sudah mula meraih keyakinannya menerusi gandingan Azizul Kamaluddin, Rusdi Suparman dan Wan Rohaimi Ismail.
Selepas Arsenal, skuad negara sudah menempuh lapan perlawanan persahabatan dalam rangka persediaan ke Brunei bagi menebus aib yang terpalit di Jakarta, dua tahun lalu.
Skuad negara mencatat tiga kemenangan, seri dua kali dan kalah tiga kali sepanjang perlawanan menentang Olimpik Iraq, New Zealand di Kuala Lumpur di samping siri kunjungan ke Uzbekistan dan Myanmar.
Sementara itu, Rahman memberikan pengecualian kepada tujuh daripada 22 pelatih skuad negara untuk sesi latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.
Mereka ialah Rohaimi, Azizul, Yap Wai Loon, V. Thinagaran, Ahmad Shahruddin Rosdi, Nazri Yunos dan V. Murugan.
''Tenaga mereka telah banyak digunakan dan tiba masanya mereka diberi sedikit rehat,'' katanya.
Manakala tiga pemain yang tidak ke Myanmar - Azlisham Ibrahim, Nizaruddin Yusuf dan Bakhtiar Othman kembali menyertai latihan.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Belajar dari Arsenal


ARKIB : 21/05/1999
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan sesuatu kepada pengurus Arsenal, Arsene Wenger selepas perlawanan bola sepak persahabatan antara Malaysia dengan kelab Inggeris itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. Arsenal menang 2-0.


ILMU sesingkat 90 minit yang dicurahkan Arsenal kelmarin harus diumpama permata berharga yang perlu terus digilap oleh skuad negara jika mahu martabat bola sepak Malaysia kembali melonjak.
Sekalipun tewas 2-0, Malaysia seharusnya berterima kasih kepada kelab ternama dalam Liga Perdana England itu kerana telah menyerlahkan segala kepincangan dari segi taktikal, teknikal dan kematangan pemain negara.
Kekayaan tiga elemen itu yang dipamerkan naib juara Liga England itu kelmarin sekali gus sebagai isyarat bahawa Malaysia sememangnya memerlukan lebih banyak perlawanan di peringkat seumpama ini jika mahu membina sebuah pasukan sehebat mereka.
Memang benar Arsenal tidak mempamerkan aksi seratus peratus mereka dan masih memberi ruang buat pasukan negara melakukan percubaan-percubaan tetapi Malaysia sebenarnya masih gagal menyaingi mereka.
Begitu pun, jurulatih negara Abdul Rahman Ibrahim semestinya amat berbangga dengan kemampuan dan kesungguhan yang dipamerkan anak buahnya semasa perlawanan itu.
Beliau juga pasti sudah dapat menilai setakat mana kemampuan setiap anak didiknya selepas perlawanan itu.
Namun, menilai aksi mereka di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu membuktikan segenap posisi - pertahanan, tengah dan serangan - belum cukup matang dan memerlukan masa untuk bimbingan berterusan.
Penyerang kembar Azman Adnan dan Zami Mohd. Nor harus dipuji apabila sempat menguji David Seaman beberapa kali yang membuktikan negara sebenarnya tidak kekurangan penyerang berbakat.
Bagaimanapun, kurangnya sokongan rakan dari bahagian tengah untuk mengilham gerakan selain kawalan ketat pertahanan lawan menyaksikan ruang aksi Azman dan Zami sentiasa terbatas.
Yap Wai Loon mendapat pujian bos Arsenal, Arsene Wenger tetapi pemain tengah Sabah itu bersama Ahmad Shahruddin Rosdi tampak kurang idea untuk menjana nadi serangan.
Keputusan perlawanan itu sebenarnya tidak memeranjatkan kerana Arsenal bukanlah tandingan Malaysia tetapi mungkin kejutan bagi kita kerana skuad negara berjaya menyekat kelab Highbury itu daripada berpesta gol seperti yang dijangkakan sebelum ini.
Pertahanan negara yang membariskan V. Thinagaran, Moey Kok Hong, Abdul Ghani Malek dan M. Elangoo serta B. Rajinikandh boleh diberi markah tinggi malah Wenger sendiri turut kagum dengan kemampuan mereka.
Cuma kurangnya kepantasan dan ketahanan fizikal selain pengalaman cetek terserlah sebagai antara elemen kelemahan mereka.
Mungkin Rahman mempunyai alasan skuad itu baru dibentuk dan menghadapi pasukan yang dibarisi pemain bertaraf dunia seperti Emmanuel Petit, Nicolas Anelka (Perancis), Marc Overmars (Belanda), Nwankwo Kanu (Nigeria), Tony Adams dan David Seaman (England).
Begitu pun, skuad negara masih punya harapan untuk kembali mengubat luka lama Sukan SEA 1997 dan tangga ke-116 Malaysia dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) adalah satu cabaran bagi mereka.
Justeru, limpahan pendedahan di peringkat antarabangsa menjadi kemestian untuk mengubah nasib dan kedudukan bola sepak negara ke tahap yang lebih terhormat.
Tanggal 1 dan 3 Julai ini, New Zealand bakal menjadi guru Malaysia berikutnya selain tiga perlawanan di Uzbekistan menyusul pada 7-14 Julai menjadi bekalan sebelum menebus maruah yang tercalar dalam tugasan sebenar - Sukan SEA XX Brunei, Ogos ini.
Oleh: JOHARI SHAWAL

Arsenal lebih gagah


ARKIB : 20/05/1999

PENYERANG Arsenal, Nwankwo Kanu (No 25) berjaya melepasi kawalan tiga pemain pertahanan Malaysia pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. Arsenal menang 2-0. - Gambar ASWAD YAHYA.


MALAYSIA mempamerkan aksi meyakinkan apabila berjaya mengekang Arsenal pada babak pertama namun naib juara Liga Perdana England itu terlalu gagah apabila mudah mencari gol pada babak kedua untuk kemenangan 2-0 pada bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Di hadapan hampir 60,000 penonton, Arsenal mempamerkan skil, teknik dan taktik yang tinggi tetapi hanya berjaya memecah kebuntuan menghasilkan gol pada babak kedua.
Dua jaringan skuad Gunners oleh bintang Perancis, Nicolas Anelka pada minit ke-54 dan Emmanuel Petit minit ke-67.
Malaysia melakukan sepak mula tetapi penguasaan bahagian tengah Arsenal menjadikan perlawanan tertumpu dengan serangan-serangan menarik kelab London itu.
Hantaran dan umpanan bola dari Petit dan Patrick Vieira sentiasa mengancam bahagian pertahanan skuad negara yang mana rangkaian tiga penyerang Marc Overmars, Nwankwo Kanu dan Anelka sedia menanti.
Tujuh percubaan dari Arsenal dan empat Malaysia. Itulah persembahan babak pertama tetapi skuad negara lebih dulu hampir membuka jaringan menerusi serangan mengejut pada minit kedua.
Zami Mohd. Nor yang berjaya mencari ruang kosong di luar kotak penalti melepaskan tendangan rendah kaki kiri menuju ke gawang Arsenal namun David Seaman melayangkan badan mendepa untuk menguis keluar.
Arsenal bagai terkejut tetapi tenang menyusun serangan bermula dari Overmars empat minit selepas itu tetapi pemain itu dijatuhkan untuk sepakan percuma.
Bintang Belanda itu mengambil sendiri sepakan dengan melencongkan ke gawang Malaysia tetapi tepat ke dakapan penjaga gol Azmin Azram Aziz.
Tiga minit selepas itu, Overmars melepasi sebelah kiri dan mengumpan ke tengah namun Anelka menendang sipi dari tiang gol.
Skuad negara membalas dua minit kemudian menerusi tendangan kencang Azman Adnan yang ditampan Seaman tetapi penyerang Pulau Pinang itu lebih dulu berada pada posisi ofsaid.
Azmin sekali lagi berjaya menafikan percubaan Anelka pada minit ke-17 apabila menguis keluar tendangan rendah pemain dari Perancis itu.
Anelka yang dikawal ketat Moey Kok Hong mempunyai peluang terbaik untuk membuka jaringan pada minit ke-33 apabila berjaya meloloskan diri dan merembat kencang tetapi Azmin sekali lagi bertindak cemerlang.
Azman yang begitu sukar melepasi benteng Arsenal terutama Tony Adams tiba-tiba mengejutkan barisan pertahanan lawan apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-36 tetapi rembatan kaki kirinya tersasar jauh.
Petit yang mempamerkan aksi bermutu di bahagian tengah, membuat satu percubaan ke gawang tetapi terkeluar sipi dari bucu tiang gol.
Arsenal menukar empat pemain sekali gus pada babak kedua yang serta merta mengubah kedudukan. Selepas sembilan minit bermula, Petit merampas bola dari kaki Wan Loon dan melencongkan cantik kepada Anelka sebelum merembat masuk menewaskan Azmin.
Petit mempamerkan skil terbaik dengan percubaannya dari luar kotak penalti pada minit ke-67 menuju masuk ke gawang skuad negara buat kali kedua.
Tidak banyak serangan dilakukan skuad negara pada babak kedua biarpun Adams dan Seaman digantikan dengan serangan Malaysia mudah dipatahkan pertahanan lawan.
Begitu pun, Azman masih berupaya menguji penjaga gol gantian Arsenal, John Lukic apabila membuat rembatan dari jarak 20 meter yang memaksa Lukic melayangkan badan menepis keluar.
Oleh: JOHARI SHAWAL dan ABDUL HAFIZ AHMAD

Mampukah Malaysia saingi Arsenal?


ARKIB : 19/05/1999
ABDUL Rahman Ibrahim (kanan) menjawab soalan wartawan sambil diperhatikan Arsene Wenger pada sidang akhbar pasukan Malaysia dan Arsenal di Petaling Jaya, semalam. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.


''APAKAH Malaysia mampu beraksi seperti Aston Villa?,'' kata pemain Arsenal, Tony Adams pada sidang akhbar perlawanan bola sepak persahabatan menentang Malaysia di Petaling Jaya, semalam.
Ia mungkin sekadar gurauan kosong Adams tetapi tidak sepatutnya diambil ringan oleh kesebelasan utama Malaysia apabila turun di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.
Adams, 33, cuba mengimbas perlawanan sengit antara Arsenal dengan Aston Villa di Highbury Park yang menyaksikan pasukan bimbingan Arsene Wenger itu menang tipis 1-0, Ahad lalu.
Adams dan 20 rakan sepasukannya bagaimanapun tetap menjanjikan persembahan bermutu sebagaimana ketika Liga Perdana England walaupun turut menyedari tuan rumah di atas kertas bukanlah tandingan sebenar Arsenal.
''Kami dalam keadaan cukup bersedia untuk menghadapi Malaysia. Memenangi setiap perlawanan yang ditempuh menjadi misi utama kami biarpun sekadar dalam perlawanan persahabatan,'' kata Adams.
Dia bagaimanapun turut menyangkal tanggapan bahawa aksinya kebelakangan ini sudah mulai tunduk kepada faktor usia.
''Saya masih mampu bermain selagi yang saya mahu,'' katanya seolah cuba menyembunyikan unsur kelemahan tersebut yang mampu dimanfaatkan oleh barisan penyerang Malaysia.
Pandangan Adams itu turut dikongsi dengan Seaman, 36, sambil menambah: ''Saya tidak nampak kebenaran bahawa faktor usia yang kerap diperkatakan media sudah mempengaruhi ketangkasan saya mengawal gawang.
''Dalam erti kata lain, belum terlintas di hati untuk saya bersara,'' kata Seaman yang juga penjaga gol utama England.
Sebaliknya Malaysia harus menukar gurauan tersebut menjadi pembakar semangat untuk menampilkan tentangan habis-habisan terhadap lawan.
Buat ketua pasukan B. Rajnikandh, Azman Adnan dan Zami Mohd. Noor serta jurulatih Abdul Rahman Ibrahim yang turut menghadiri sidang tersebut, gurauan tersebut mampu dijadikan senjata yang bakal memakan tuan.
Jika Allahyarham Mokhtar Dahari dan Isa Bakar mampu membolosi gawang Arsenal pada 1975, tiada sebab mengapa Azman dan Zami sukar mengulanginya dengan bertemankan lebih 60,000 penonton yang telah lama merindui aksi antarabangsa bola sepak Malaysia.
Ini merupakan aksi sulung Malaysia di Kuala Lumpur sejak skuad kebangsaan dibubarkan akibat kekalahan memalukan pada Sukan SEA XIX Jakarta, Oktober 1997.
Sementara itu, aksi malam ini turut mencatatkan kunjungan kedua kelab Arsenal yang pernah tumpas dengan dua jaringan Mokhtar dalam perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Malaysia kemudian berjaya mengikat pelawat 1-1 dalam perlawanan di Pulau Pinang hasil jaringan Isa Bakar.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Arsenal sedia gempur


ARKIB : 19/05/1999
BINTANG Arsenal, Marc Overmars bersama rakan-rakan sepasukan berjalan masuk ke hotel penginapan di Petaling Jaya dan disambut meriah oleh sebahagian peminat kecil sejurus tiba dari London, semalam untuk perlawanan bola sepak persahabatan menentang Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.


ARSENAL menjanjikan persembahan bermutu seperti mana menentang Aston Villa pada perlawanan terakhir Liga Perdana England, Ahad lalu apabila turun menentang Malaysia pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Pengurus skuad Gunners, Arsene Wenger berkata, pasukannya hadir ke Malaysia bukan sekadar memenuhi undangan tetapi meneruskan aksi cemerlang mereka.
Pengurus dari Perancis itu juga menjamin anak buahnya akan mempamerkan aksi konsisten seperti dalam Liga England dan tidak sekadar sambil lewa.
''Kami ke Malaysia untuk bermain bola sepak dan bukannya berhibur atau bercuti. Kami akan persembahkan kepakaran Arsenal menerusi cara yang terbaik di sini,'' katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya, semalam.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Paul Mony Samuel serta empat pemain Arsenal - Tony Adams, David Seaman, Patrick Vieira, Marc Overmars.
Mewakili skuad negara pula ialah jurulatih Abdul Rahman Ibrahim dan tiga pemain utama, Azman Adnan, Zami Mohd. Nor dan B. Rajinikandh.
Arsenal, juara Piala FA dan Liga Perdana England musim lalu tiba di Kuala Lumpur bersama bintang Piala Dunia lalu seperti Emmanuel Petit, Viera, Nicolas Anelka dari Perancis, Overmars (Belanda), Adams, Seaman (England) dan Nwankwo Kanu dari Nigeria

Isnin, 4 November 2019

Azman disenaraikan -- 43 pemain bakal pikul tugas negara


ARKIB : 04/05/1999

AZMAN ADNAN kembali dalam skuad negara selepas dua tahun tidak dipanggil.


BEKAS penyerang sensasi negara, Azman Adnan, yang disisihkan daripada skuad bola sepak kebangsaan sejak Sukan SEA 1997 Jakarta dua tahun lalu, kembali menyarung jersi kebangsaan selepas namanya disenaraikan dalam skuad baru yang diumumkan semalam.
Bekas bintang Selangor itu yang kini beraksi dengan Pulau Pinang dalam Liga Malaysia, dipilih bersama-sama 42 lagi pemain bagi memikul tugas negara terutama perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana England, Arsenal pada 19 Mei ini di Kuala Lumpur.
Selain pemain berusia 28 tahun itu, penyerang Selangor Rusdi Suparman, Wan Rohaimi Wan Ismail dari Pahang dan penyerang muda Cheah Kean Seang (Kedah).
Jurulatih skuad negara, Abdul Rahman Ibrahim ketika mengumumkan barisan baru skuad negara itu berkata, pemilihan 43 pemain itu dibuat berdasarkan persembahan terkini masing-masing dalam kempen Liga Malaysia.
''Barisan ini adalah adunan antara pemain lama dan baru dan mereka dipilih berdasarkan prestasi baik selepas tamat pusingan pertama Liga Perdana selain pengalaman pemain itu sendiri.
''Saya anggap mereka adalah yang terbaik dan mampu menghasilkan keputusan yang terbaik,'' kata Abdul Rahman dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Menurut jurulatih itu, kriteria lain pemilihan berdasarkan kekerapan diturunkan selaku kesebelasan utama pasukan negeri masing-masing sepanjang musim lepas dan musim ini.
Azman tidak berada dalam senarai pasukan kebangsaan sejak pasukan negara dibubarkan selepas aib yang diterima di Jakarta dua tahun lalu.
Prestasi Azman dalam Liga Malaysia musim ini amat memberangsangkan apabila menjaringkan tujuh gol daripada 10 perlawanan untuk membantu Pulau Pinang menerajui Liga Perdana Satu.
Turut berada dalam senarai kali ini ialah perancang utama Perak, Azrul Amri Burhan selain pemain lama dalam skuad kebangsaan, B. Rajinikandh, Ahmad Shahrudin Rosdi, Yusri Che Lah, Anuar Jusoh, Syamsul Amri Abu Bakar dan Zami Mohd. Nor.
Penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Aziz masih disenaraikan tetapi Abdul Rahman turut memanggil penjaga gol Pulau Pinang, Azlisham Ibrahim dan Mudzar Mohamad dari Pahang.
Bagaimanapun pemain Selangor, K. Sanbagamaran dan Faizal Zainal dari Negeri Sembilan tidak berada dalam senarai Abdul Rahman kali ini.
Begitu pun, jumlah itu akan dikurangkan untuk satu-satu kejohanan atau pertandingan sebelum pasukan 22 pemain dibentuk untuk temasya Sukan SEA XX di Brunei, Ogos ini.
''Semua pemain diminta melaporkan diri di FAM pada 12 Mei ini untuk latihan pusat. Kita mungkin akan mengadakan sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan sebelum menentang Arsenal,'' kata jurulatih itu.
Selain menentang Arsenal, pasukan yang kini bertakhta di persada Liga Perdana England, skuad negara bakal mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan New Zealand di Kuala Lumpur pada 1 dan 3 Julai, lawatan ke Uzbekistan pada 7-14 Julai dan menentang Singapura pada 22 Julai sebelum mengharungi Sukan SEA Brunei.
''Kita harap selepas mengharungi semua perlawanan persahabatan itu, kita mempunyai pasukan teras yang kemungkinan terdiri daripada tiga perempat pemain senior dan satu perempat junior untuk Sukan SEA di Brunei, Ogos ini,'' kata Abdul Rahman.
SENARAI PEMAIN
Penjaga gol:
 Azlisham Ibrahim (Pulau Pinang), Azmin Azram Aziz (Negeri Sembilan), Mudzar Mohamad (Pahang).
Pertahanan: V. Thinagaran (Pulau Pinang), Abdul Ghani Malek (Terengganu), Syamsul Amri Abu Bakar (Selangor), Mohd. Ali Tahar (Pahang), Azmil Azali (Johor), Adrien Jurad Chamrong (Kedah), Moey Kok Hong (Pulau Pinang).
Tengah: Nazri Yunos (Sarawak), Anuar Jusoh (Terengganu), Chan Wing Hoong (Perak), Asmawi Bakiri (Pulau Pinang), Zami Mohd. Nora (Negeri Sembilan), M. Elangoo (Negeri Sembilan), B. Rajinikandh (Negeri Sembilan), Ahmad Shahruddin Rosdi (Pahang), Yusri Che Lah (Perlis), Idris Karim (Johor), Azrul Amri Burhan (Perak), Rizal Sukiman (Johor), Yap Wai Loon (Sabah), Ahmad Shahrul Azhar Sofian (Negeri Sembilan).
Penyerang: Azman Adnan (Pulau Pinang), Rusdi Suparman (Selangor), Wan Rohaimi Wan Ismail (Pahang), Cheah Kean Seng (Kedah).
Pemain simpanan: Amirul Zain Ismail, Lim Chan Yew (Selangor), M. Karunakaran, Azali Mat Jusoh, Mohd. Farid Dewan, G. Muthu (Kuala Lumpur), Rezal Zambery Yahya (Johor), Mohd. Hamzani Omar (Johor FC), Mohd. Hairul Nizam (Pahang), Rizal Awang Jad (Sabah), Ahmad Zalghafari Manaf, Rafiz Abu Bakar (Kedah), Sri Jaafar A. Rahman (Melaka).

Selasa, 14 Mei 2019

MALAYSIA 0-2 ARSENAL

Mei 19, 1999 - Name Of Event: The Star Challenge Cup
Malaysia
Senarai Pemain: Azmin Azram Aziz, Abdul Ghani Malek, Anuar Jusoh, (Idris Karim), Moey Kok Hong (Syamsul Amri Bakar), V. Thinagaran, M. Elangoo, Yap Wai Loon (Nazri Yunos), B. Rajnikandh, Ahmad Shahruddin Rosli, Azman Adnan, Zami Mohamed Noor (Wan Rohaimi Ismail(
Coach: Abdul Rahman Ibrahim    0-2     Arsenal
Nicolas Anelka (54'), Emmanuel Petit (67')
David Seaman (John Lukic), Tony Adams (Martin Keown), Steve Bould, David Grondin, Gillies Grimandi, Patrick Viera, Ray Parlour (Luis Boa Morte), Emmanuel Petit, Marc Overmars (Kaba Diawara), Nwankwo Kanu, Nicolas Anelka.[1]



[1]https://malaysiafootball-dimos.blogspot.com

Sabtu, 26 November 2016

Gol Azman ceriakan P. Pinang

ARKIB : 24/03/1999
SKUAD Harimau Kumbang terus garang mencipta kemenangan kedua apabila menewaskan Brunei 2-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Paling manis, kemenangan tersebut dihasilkan dalam masa permainan sebenar di hadapan hampir 7,000 penonton di gelanggang sendiri.

Penyerang, Azman Adnan memulakan tirai jaringan Pulau Pinang menerusi tendangan penalti pada minit ke-47 sebelum Ooi Hoe Guan menambah gol minit ke-79.

Babak awal separuh masa pertama sekadar menyaksikan kedua-dua pasukan gagal melakukan gerakan cantik tanpa sebarang percubaan berbahaya.

Bagaimanapun kesilapan pertahanan Pulau Pinang hampir mengundang padah apabila Brian Iman Abdullah memperoleh satu kesempatan terbaik tetapi rembatannya terkena badan penjaga gol, Azlisham Ibrahim pada minit ke-16.

Pulau Pinang cuba membalas asakan tetapi kepincangan barisan tengah, memudahkan pertahanan lawan menyekat kemaraan pasukan tuan rumah itu.

Dalam satu kekalutan dalam kubu Brunei, Pulau Pinang mendapat peluang terbaik menerusi Ng Kok Heng namun sepakannya dari jarak 20 meter terkeluar pada minit ke-33.

Sekali lagi, Pulau Pinang kembali cemas apabila Brian melepasi benteng pertahanan tuan rumah. Bagaimanapun tolakannya keluar sekalipun penjaga gol, Azlisham sudah tertewas pada minit ke-41 untuk mengikat kedudukan seri tanpa jaringan pada babak pertama.

Separuh masa kedua menyemarakkan semangat Pulau Pinang, yang melakukan serangan bertali arus ke kubu Brunei sehingga memaksa pemain pasukan pelawat membuat beberapa kesilapan.

Akhirnya, bola yang terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Brunei di depan pintu gol memaksa pengadil, M. Saminathan menghadiahkan tendangan penalti kepada Pulau Pinang, yang mudah disempurnakan Azman pada minit ke-47.

Jaringan tersebut menambah lagi semangat Pulau Pinang untuk melakukan beberapa percubaan berbahaya ke kubu Brunei.

Kesempatan terhidang buat Azman yang hanya berdepan penjaga gol, Yunus Yusof tetapi sepakannya pula melepasi palang pada minit ke-76.

Walaupun gagal, Azman bertindak cemerlang memastikan hantarannya ditolak masuk pemain gantian Ooi Hoe Guan, tiga minit kemudian.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RBRnEned © Utusan Melayu (M) Bhd