ARKIB : 17/04/1999
SEPULUH pasukan kembali berentap
namun tumpuan pastinya kepada 'gergasi' Pantai Timur yang akan menghadapi skuad
handalan dari utara dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu, malam ini.
Pulau Pinang, juara Liga
Perdana Satu 1998 yang menduduki tangga teratas selepas mengumpul 14 mata kini
diekori rapat pasukan tempat kedua, Pahang dengan perbezaan cuma dua mata.
Pertembungan di Stadium
Bandaraya, gelanggang Pulau Pinang sudah tentu menarik, bukan sekadar
perlawanan merebut tempat teratas liga, malah bakal mempamerkan aksi lincah dua
pemain handalan, Azman Adnan dan Wan Rohaimi Ismail.
Azman menjadi sandaran Pulau
Pinang selepas kehilangan khidmat Merzagua Abderrazak yang terpaksa digugurkan
kerana peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melarang penggunaan
pemain import musim ini.
Begitu juga Pahang yang
mengharapkan sentuhan Wan Rohaimi untuk bergandingan dengan seorang lagi
penyerang, Azizul Kamaluddin bagi memburu seberapa banyak jaringan selepas
ketiadaan pemenang ''kasut emas'' musim lalu, Viatcheslav Melnikov.
Bagaimanapun, Pahang perlu
berhati-hati menentang Pulau Pinang di gelanggang lawan selepas skuad 'harimau
kumbang' menewaskan Sabah 2-1 dalam tempoh 90 minit permainan.
Pasukan tangga ketiga, Sarawak
(11 mata) perlu menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri untuk
menang ke atas Negeri Sembilan sebagai penebus kekecewaan selepas dibelasah 0-4
oleh Kedah.
Namun, tanpa mengira
gelanggang, Negeri Sembilan yang turut mengumpul mata sama tetapi perbezaan
jaringan mengheretnya ke tangga keempat tetap bertekad untuk memperbaiki
kedudukan.
Sabah pula lebih berhati-hati
mengunjungi Stadium Darulaman untuk menghadapi Kedah yang mempunyai penyerang
muda berbisa, Zalghafari Manaf, penjaring terbanyak Liga Perdana Satu dengan
tujuh gol setakat ini.
Di Stadium Berakas, Bandar Seri
Begawan, pasukan tuan rumah Brunei menghadapi tentangan sengit Terengganu yang
kini mengharapkan kemenangan untuk memulih semangat selepas timbul kontroversi
antara penyokongnya dengan jurulatih, Yunus Alif.
Biarpun beraksi di kubu kuat
lawan, Yunus pasti mempunyai strategi untuk memerangkap Brunei supaya tidak
terus menghuni dua tangga terbawah daripada 10 pasukan.
Sementara, skuad ''warga kota''
bertemu Perak dalam satu perlawanan yang tetap hebat di Stadium Persatuan Bola
Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RUPMYJVd
© Utusan Melayu (M) Bhd