Ahad, 27 November 2016

Moey Yok Ham puji Azman

ARKIB : 25/03/1999
BUKAN kemenangan sekadar melegakan Pulau Pinang tetapi keupayaan beberapa tonggaknya menghadapi bentesan kasar pemain lawan menambahkan lagi keyakinan ''harimau kumbang'' untuk berdepan skuad handalan Perdana Satu dalam perlawanan akan datang, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Jurulatih Moey Yok Ham berkata, perlawanan menentang Brunei yang berkesudahan Pulau Pinang menang dalam masa permainan 2-0 merupakan persembahan terbaik berbanding sewaktu menghadapi Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Lebih membanggakan, kata beliau, pemain seperti Shahril Arsat dan Wong Kah Loon mampu memberikan tentangan pemain Brunei yang menggunakan kekuatan fizikal untuk menggagalkan kemaraan Pulau Pinang.

''Saya akui persembahan separuh masa pertama agak hambar kerana pemain dikejutkan dengan corak permainan lasak Brunei tetapi kita dapat atasinya terutama Shahril dan Kah Loon yang mampu menghadapi terjahan keras lawan.

''Malah, kita bangkit di separuh masa kedua, sekali gus menghasilkan dua jaringan kemenangan setelah mempamerkan persembahan hambar dalam babak pertama,'' kata beliau kelmarin.

Menurut Yok Ham, penyerang Azman Adnan beraksi sebagaimana diharapkan, mengucar-ngacirkan benteng pertahanan lawan di samping menghasilkan jaringan penalti untuk Pulau Pinang.

Sememangnya Azman membuktikan kemahirannya, bukan sahaja menerusi jaringan tersebut malah menjadi pengumpan kepada pemain gantian, Ooi Hoe Guan untuk menambah jaringan.

Kata Yok Ham, segala pengalaman sewaktu beraksi dengan Brunei menjadi bekalan kepada Pulau Pinang untuk menghadapi pasukan lain dalam perlawanan akan datang.

''Pemain membuktikan kemahiran, kekuatan diri terutamanya dalam menghadapi keadaan genting termasuk menghadapi corak fizikal lawan.

''Ini pengajaran penting, saya dapati pemain Pulau Pinang boleh menghadapi apa sahaja demi memastikan kejayaan pasukan,'' tambah beliau.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RDgXf47j © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan