Rabu, 30 November 2016

Azman uji Tok Gajah

ARKIB : 17/04/1999
SEPULUH pasukan kembali berentap namun tumpuan pastinya kepada 'gergasi' Pantai Timur yang akan menghadapi skuad handalan dari utara dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu, malam ini.

Pulau Pinang, juara Liga Perdana Satu 1998 yang menduduki tangga teratas selepas mengumpul 14 mata kini diekori rapat pasukan tempat kedua, Pahang dengan perbezaan cuma dua mata.

Pertembungan di Stadium Bandaraya, gelanggang Pulau Pinang sudah tentu menarik, bukan sekadar perlawanan merebut tempat teratas liga, malah bakal mempamerkan aksi lincah dua pemain handalan, Azman Adnan dan Wan Rohaimi Ismail.

Azman menjadi sandaran Pulau Pinang selepas kehilangan khidmat Merzagua Abderrazak yang terpaksa digugurkan kerana peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melarang penggunaan pemain import musim ini.

Begitu juga Pahang yang mengharapkan sentuhan Wan Rohaimi untuk bergandingan dengan seorang lagi penyerang, Azizul Kamaluddin bagi memburu seberapa banyak jaringan selepas ketiadaan pemenang ''kasut emas'' musim lalu, Viatcheslav Melnikov.

Bagaimanapun, Pahang perlu berhati-hati menentang Pulau Pinang di gelanggang lawan selepas skuad 'harimau kumbang' menewaskan Sabah 2-1 dalam tempoh 90 minit permainan.

Pasukan tangga ketiga, Sarawak (11 mata) perlu menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri untuk menang ke atas Negeri Sembilan sebagai penebus kekecewaan selepas dibelasah 0-4 oleh Kedah.

Namun, tanpa mengira gelanggang, Negeri Sembilan yang turut mengumpul mata sama tetapi perbezaan jaringan mengheretnya ke tangga keempat tetap bertekad untuk memperbaiki kedudukan.

Sabah pula lebih berhati-hati mengunjungi Stadium Darulaman untuk menghadapi Kedah yang mempunyai penyerang muda berbisa, Zalghafari Manaf, penjaring terbanyak Liga Perdana Satu dengan tujuh gol setakat ini.

Di Stadium Berakas, Bandar Seri Begawan, pasukan tuan rumah Brunei menghadapi tentangan sengit Terengganu yang kini mengharapkan kemenangan untuk memulih semangat selepas timbul kontroversi antara penyokongnya dengan jurulatih, Yunus Alif.

Biarpun beraksi di kubu kuat lawan, Yunus pasti mempunyai strategi untuk memerangkap Brunei supaya tidak terus menghuni dua tangga terbawah daripada 10 pasukan.

Sementara, skuad ''warga kota'' bertemu Perak dalam satu perlawanan yang tetap hebat di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RUPMYJVd © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan