Selasa, 29 November 2016

Sarawak mahu 'rantai' Azman

ARKIB : 03/04/1999
PENDAHULU liga, Sarawak berazam menjadikan Pulau Pinang korbannya yang kedua dalam perlawanan masa sebenar pada cabaran liga bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam ini.

Selepas membenam juara Piala Malaysia, Perak 3-0 di gelanggang sendiri, Selasa lalu, tidak ada sebab kecemerlangan itu tidak boleh diulangi lagi.

Kejayaan yang dilakar di Stadium Sarawak itu menjadi pembakar semangat kepada para pemain untuk meneruskan agenda mencipta kemenangan mutlak dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Dalam dua perlawanan sebelumnya, Sarawak menang melalui sepakan penalti dengan mengalahkan Pahang 4-3 dan Kuala Lumpur 5-4 selepas seri dalam permainan 90 minit.

Jurulatih, Abdul Jalil Rambli mahu anak-anak didiknya berjuang bersungguh-sungguh untuk memburu kejayaan pada pertemuan malam ini.

''Kami akan berusaha merakamkan kemenangan sulung dalam tempoh perlawanan sebenar di gelanggang lawan musim ini,'' katanya.

Menurutnya, matlamat tersebut sememangnya mengundang cabaran dan laluan berliku, tetapi yakin anak-anak buahnya mampu mengotakannya.

Beliau berkata, skuad Harimau Kumbang bukan mudah dijinakkan apatah lagi dengan kehadiran ramai pemain berwibawa terutama penyerang sensasinya, Azman Adnan.

''Jika Sarawak dapat mengekalkan corak permainan ketika mengalahkan Perak tempoh hari, barangkali kemenangan boleh berpihak kepada kita,'' katanya di Kuching sebelum berlepas ke Pulau Pinang, semalam.

Jalil mengakui pencapaian Pulau Pinang amat menggalakkan terutama sentuhan-sentuhan Azman yang kerap membawa padah kepada pelawat.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak akan menugaskan pemain tertentu merantai pergerakan Azman daripada bebas mencari ruang menjaringkan gol.

Menurut Jalil, beberapa pemainnya seperti Bobby Chua, Zaidel Sakup dan Ramos Sari cedera, tetapi ia tidak membimbangkan.

''Pertembungan Sarawak-Pulau Pinang yang merupakan dua pasukan teratas dalam carta liga ketika ini sudah pasti hebat dan menarik,'' ujarnya.

Bujang Senang dan Harimau Kumbang masing-masing mengumpul tujuh mata, tetapi Sarawak merajai kedudukan berdasarkan perbezaan jaringan.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RPZyvvAW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan