ARKIB : 28/11/1998
AZMAN Adnan (kiri) dan Ibrahim
Saad menjawab soalan semasa sidang akhbar di Pulau Pinang semalam.
BEKAS penyerang sensasi
Selangor, Azman Adnan pasti menyarung jersi Pulau Pinang secara sah tidak lama
lagi selepas bersetuju beraksi bersama skuad Harimau Kumbang musim depan, lapor
AZLI AHAD.
Menyertai Azman dalam kempen
Pulau Pinang ialah Shahril Arshat dan Azlisham Ibrahim yang turut
menandatangani surat persetujuan tersebut semalam.
Sekalipun belum menandatangani
kontrak, ketiga-tiga pemain ini dijangka mampu memperkukuhkan lagi impian
Harimau Kumbang untuk mengekalkan gelaran dua kali berturut-turut.
Timbalan Presiden Persatuan
Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Dr. Ibrahim Saad mengesahkan pada dasarnya
persetujuan telah dicapai dengan pemain terbabit dan kini Azman, Shahril dan
Azlisham sekadar menunggu untuk menurunkan tandatangan dalam dokumen kontrak
masing-masing.
''Azman Adnan sememangnya
menjadi idaman pasukan ini dan kita tidak teragak-agak untuk mengambil beliau
memandangkan pasukan ini memerlukan penyerang berbisa setelah ketiadaan dua
penyerang import iaitu , Merzagua Abderrazzaque dan Riyadh Abbas''.
''Walaupun banyak mendapat
tawaran dari negeri lain, Azman yang akan tamat kontraknya bersama Selangor
pada 31 Disember ini berjanji tidak akan mengulangi peristiwa hitam yang mana
menimbulkan kontroversi antara pasukan Negeri Sembilan dan Selangor,'' katanya.
Beliau berkata demikian di
majlis menandatangani surat persetujuan di pejabat FAP di Jalan Utama di Pulau
Pinang, semalam.
Selain Azman yang akan ke
England dalam program meningkatkan mutu permainan selama tiga minggu, Moey Yoke
Ham juga akan berangkat ke Frankfurt, Jerman bagi menjalani kursus
kejurulatihan di sana.
Dr. Ibrahim berkata, FAP
berharap dengan adanya program ini ia akan dapat meningkatkan lagi kemahiran
serta mutu permainan setiap pemain serta skuad tersebut pada musim hadapan.
''Kita tidak mahu tewas dengan
kiraan gol seperti apa yang terjadi pada musim ini malahan sedang berusaha
menebus kekecewaan tersebut pada musim hadapan,'' tambahnya lagi.
Beliau memberitahu, pasukan
Pulau Pinang juga berminat untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain lagi dari
Johor, Kelantan dan Perlis bagi memperkemaskan pasukan tersebut serta
menggantikan tujuh pemain yang digugurkan dari skuad itu.
Mereka yang ditamatkan
perkhidmatan ialah, Domi Che Non, Sabri Abdul Rani, Ahmad Sobri Ismail, Mohd.
Fuad Mat Noor dan Abdul Gaffoor Hoosen.
Dr. Ibrahim Saad yang yakin
dengan keupayaan skuad yang akan dibentuk nanti, pasukan Pulau Pinang tidak
akan menghadapi masalah apabila timbul masalah kecederaan pada pemain senior
nanti.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Pb5tZNQF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan