Isnin, 25 September 2017

Steve Wicks letak jawatan



ARKIB : 05/05/1998

ORANG BARU... Ismail Zakaria (kiri) yang mengambil alih tugas Steve Wicks selaku jurulatih baru Selangor berbual dengan penyerang Azman Adnan dan penolong jurulatih Mohd. Shah Norbit (kanan) selepas sesi latihan skuad itu di Kelana Jaya, semalam. - Gambar ZAINI HUSIN.

JURULATIH Selangor, Steve Wicks mengambil keputusan memeranjatkan apabila meletak jawatan daripada melatih skuad Red Giants yang sedang beraksi dalam kempen bola sepak Liga Perdana Satu, musim ini.

Wicks memberi alasan masalah kewangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang kian meruncing memaksanya mengambil keputusan mengejut itu.

Dalam sidang akhbar mengumumkan peletakan jawatannya semalam, Wicks berkata, beliau amat sedih kerana terpaksa meninggalkan Selangor yang dianggapnya telah memberikan segala-gala kepadanya.

''Saya ambil keputusan itu demi mengurangkan beban kewangan FAS akibat kejatuhan ekonomi negara ini. Saya rasa pakej kewangan saya menambahkan lagi beban FAS.

''Saya telah maklumkan perkara ini kepada pihak pengurusan FAS dan kami telah mencapai persetujuan bersama berhubung perkara ini,'' ujarnya.

Turut hadir pada sidang akhbar di pejabat FAS, Kelana Jaya itu ialah pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad dan isteri Wicks.

Menurut jurulatih dari England itu, dia mengambil langkah sedemikian hanya untuk membantu FAS meneruskan cabaran liga tanpa terus dibebani kos tinggi dari segi pembayaran gajinya.

''Lebih baik saya berundur daripada membiarkan para pemain terpaksa menanggung bebannya,'' katanya.

Sehubungan itu, kontrak Wicks bersama Selangor tamat serta merta dan tugasnya diambil alih sementara oleh jurulatih pasukan Liga Simpanan Selangor, Ismail Zakaria.

Wicks mula melatih skuad Selangor awal musim lalu daripada Ken Worden di bawah pengurusan Datuk Mohd. Aini Taib.

Di bawah bimbingannya, Selangor cemerlang apabila menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut selain Piala FA dan Piala Sumbangsih. Wicks akan pulang ke England pada pertengahan bulan ini.

Ketika ditanya mengenai rancangan masa depannya selepas ini, Wicks berkata: ''Saya kini tidak mempunyai pekerjaan. Buat masa ini saya mahu berehat di England dan kemudian akan fikirkan apa rancangan seterusnya.''

Sementara itu Mokhtar berkata, Wicks sudah memaklumkan mengenai hasratnya itu dua minggu sebelum ini.

''Dia memberitahu, jika dia menjadi beban masalah kewangan FAS, dia lebih rela berundur daripada mengorbankan seseorang pemain.

''Memang kewangan menjadi beban FAS kini dan sesudah berbincang, kami menerima peletakan jawatan Wicks walau dengan hati yang begitu berat,'' katanya.

Ditanya sama ada keputusan Wicks itu berkait dengan prestasi Selangor yang menurun dalam Liga Perdana, Mokhtar berkata: ''Ia bukan sama sekali disebabkan prestasi buruk Selangor ketika ini atau pun permainan politik FAS. Keputusan yang diambilnya adalah atas kerelaannya sendiri.

''Kami menghormati keputusannya kerana beliau bertindak demikian demi kepentingan FAS dan pasukan Selangor sepenuhnya,'' kata Mokhtar.

Oleh: JOHARI SYAWAL
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JHBLoqOi © Utusan Melayu (M) Bhd

Jangan kecewakan saya Azman - Ahmad Zahid



Isnin, 2 Februari 2015 | 11:03pm
 
JURULATIH pasukan bola sepak PDRM, Azman Adnan (gambarkecil) bergambar kenangan dengan pemain pasukan PDRM, di Hotel Marriott Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Ketua jurulatih baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Azman Adnan ditagih membimbing skuad 'The Cops' untuk beraksi cemerlang dalam saingan Liga Super 2015, bagi mengulangi kegemilangan musim lalu, dengan muncul juara Liga Perdana.

Penaung skuad PDRM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bekas pemain kebangsaan yang juga bekas pemain Selangor itu, mampu mengendalikan pasukan seperti mana pernah dilakukan Dollah Salleh yang kini jurulatih skuad Harimau Malaya.

"Saya sudah kenal Azman sejak dulu lagi. Saya tahu komitmen beliau yang membawa nama baik pasukan kebangsaan.

"Azman...jangan kecewakan saya, jangan kecewakan IGP (Ketua Polis Negara) dan Timbalan IGP (Timbalan Ketua Polis Negara) serta polis-polis di sini. Saya akan melihat prestasi awak, Azman.

"Kalau tidak baik, tahulah saya hendak buat macam mana. Kalau baik, saya tahu bagaimana hendak balas budi baik Azman," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dan memperkenalkan pasukan bola sepak PDRM, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak PDRM dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata komitmen yang tinggi daripada semua pemain dan pengurusan akan membawa sesebuah pasukan bola sepak itu ke arah yang lebih tinggi selain dapat mengekalkan prestasi cemerlang.

Katanya, beliau mempunyai harapan tinggi terhadap skuad PDRM yang kemunculan pasukan itu sebagai juara Liga Perdana musim lalu dalam saingan Liga Super musim ini, diibaratkan seperti 'bintang baharu'.

"Kita tahu untuk capai satu kejayaan bukan mudah, tetapi untuk mempertahankannya itu lebih sukar," katanya.

Pada musim lalu, skuad PDRM meraih satu piala selepas muncul juara Liga Perdana selepas meraih 16 kemenangan, empat seri dan dua kalah daripada 22 perlawanan, namun langkah memburu dua lagi piala bertemu noktah apabila tewas dalam perlawanan suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

PDRM muncul juara Liga Perdana 2014, sekali gus layak beraksi dalam saingan Liga Super 2015.

Sementara itu, Noor Rashid berkata dengan semangat dan komitmen yang dipamerkan oleh pemain pada musim 2015, tidak mustahil pasukan The Cops mampu meraih sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan kali ini.

Katanya kejayaan meraih kejuaraan pada perlawanan Piala People 2015 di Maldives baru-baru ini, diharap menjadi suntikan semangat kepada pasukan jagaannya itu.

Pada perlawanan akhir Piala People Rabu lalu, skuad PDRM mengalahkan pasukan Maziya Sports and Recreation 5-4.

"Dengan kehadiran jurulatih baharu Azman Adnan, dua pemain kebangsaan, empat pemain import dan kombinasi pemain-pemain lain, saya yakin barisan musim ini mantap.

"Saya berharap PDRM dapat memberikan saingan lebih sengit kepada pasukan-pasukan elit lain yang turut berada dalam Liga Super tahun ini," katanya.

Skuad The Cops turut dibarisi dua pemain kebangsaan, Mohamad Muslim Ahmad dan Mohd Afif Amiruddin serta diperkuatkan empat pemain import iaitu Kughegbe Onoriode dari Nigeria, Ashfaq Ali selaku penyerang dari Maldives, Dramane Traore dari Mali (penyerang) dan pemain tengah dari Gambia, Mohamadou Sumareh. -BERNAMA

SENARAI PEMAIN SKUAD PDRM

Penjaga gol: Wilfred Anak Jabun, Badrulzaman Abdul Halim.

Pertahanan: Arman Fareez Mohd Ali, Mohd Fadhil Mohd Hashim, Mohd Azrul Azman, V. Thirumurugan, Mohd Afif Amiruddin, Kughegbe Onoriode, Mohd Fekry Tajudin, Mohamad Muslim Ahmad (ketua pasukan).

Pemain tengah: Muhamad Eskandar Ismail, Ahmad Nizam Mohd Rodzi, Ahmad Nizam Mohd Rodzi, Mohd Shahril Izwan Abdullah, Ahmed Ezrie Shafizie Sazali, Shahurain Abu Samah, Mohd Lot Abu Hassan, Mohd Nurul Azwan Roya, Mohd Fauzi Abdul Majid, Mohammad Faizal Abu Bakar dan Mohamadou Sumareh.

Penyerang: Ashfaq Ali, Dramane Traore, Mohd Alafi Mahmud, Muhamad Asyidi Dil Ashar Yusof, Isma Alif Mohd Salim
BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 2 Februari 2015 | 11:03pm

Durakovic label Selangor hebat; Azman kecewa benteng PDRM leka



Ahad, 8 March 2015 | 12:46pm
Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
 
PEMAIN Selangor Andik Vermansyah (tengah) melepasi kawalan 2 pemain PDRM FC Afifamiruddin (kiri) dan V Thirumurugan dalam perlawanan Liga Super, di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Kejayaan Selangor meraih kemenangan sulung menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi disebabkan pasukan itu lebih baik dan bukan semata-mata berpunca daripada kesilapan pertahanan lawan.

Perkara itu ditegaskan oleh jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic bagi menjawab kenyataan jurulatih PDRM, Azman Adnan yang menyifatkan tiga daripada empat gol dihasilkan Selangor itu disebabkan kesilapan dan kelekaan barisan pertahanan mereka sendiri.

"Kami beraksi lebih baik. PDRM tetap pasukan yang baik. Saya rasa jaringan diperoleh itu memang wajar selepas pemain kami terutama di jentera tengah dan serangan bekerja keras.

"Jadi bukanlah kerana barisan pertahanan PDRM tidak beraksi baik tetapi jelas persembahan malam ini (malam tadi) adalah milik pemain dan pasukan Selangor," kata Durakovic ketika ditemui selepas perlawanan, malam tadi.

Selangor mendahului 2-0 menerusi jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-23 dan Afiq Azmi minit ke-46 sebelum PDRM merapatkan kedudukan hasil jaringan Dramane Traore, minit ke-58.

Namun kemasukan K Gurusamy dan Abdul Hadi Yahya menambah sengat di barisan tengah dan depan Selangor apabila dua lagi gol berjaya diperoleh Selangor menerusi Abdul Hadi pada minit ke-74 dan Guilherme De Paula, minit ke-78.

"Saya sudah katanya, masanya akan tiba. Sebelum ini pun kami berjaya cipta banyak peluang, cuma gagal disudahkan. Tapi pada perlawanan ini, semuanya menjadi.

"Saya rasa Selangor kini pada prestasi yang baik. Kami tidaklah dibarisi keseluruhan pemain berpengalaman. Tapi pemain seperti Syamim Othman (penjaga gol), Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Ahmad Hazwan Bakri dan Raimi Md Nor beraksi baik pada perlawanan ini," jelas Durakovic.

KUMPULAN dipercayai penyokong Selangor membakar suar sejurus tamat perlawanan Liga Super, di Stadium Shah Alam yang menyaksikan Selangor menang 4-1 ke atas PDRM FC. - Foto Osman Adnan

Sementara itu, Azman berkata, selain kesilapan mudah dilakukan barisan pertahanannya, bekas penyerang Selangor itu turut mengakui mereka sedikit tertekan beraksi di hadapan ramai penyokong Selangor biarpun PDRM turun sebagai tuan rumah.

"Boleh dikatakan perlawanan seimbang kerana pemain saya tetap beraksi dengan baik. Cuma kesilapan, tiga daripada empat gol Selangor itu hasil daripada kesilapan dan kelekaan pemain pertahanan PDRM yang menghadiahkan gol mudah.

"Memang saya akui bukan mudah untuk pemain kami beraksi di stadium keramat Selangor ini. Tapi kita sudah cuba beri yang terbaik pada perlawanan ini dan saya akan memperbetulkan segala kelemahan untuk aksi berikutnya," kata Azman.

PDRM kini turun ke tangga keenam dengan enam mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan manakala Selangor di tangga kelapan dengan lima mata menerusi satu kemenangan, dua seri dan sekali tewas.

Untuk perlawanan seterusnya Sabtu ini, Selangor akan bertemu Sarawak di Stadium Shah Alam manakala PDRM bertemu Perak di Ipoh
BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 8 March 2015 | 12:46pm