Isnin, 25 September 2017

PDRM kembali rampas tangga teratas Liga Super



Sabtu, 25 April 2015 | 11:13pm
Oleh Wan Fakhrul Bakar; Norizuan Shamsuddin; Rizar Mohd Noor dan Mohd Amin Jalil
 
PEMAIN Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) diasak pemain PDRM, Ahmad Nizam M Rodzi (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kembali merampas tangga teratas Liga Super daripada Selangor selepas skuad kendalian Azman Adnan itu berjaya menewaskan Terengganu 3-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kejayaan PDRM itu dibantu kekalahan pendahulu sebelum ini, Selangor yang tewas 2-1 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dan pasukan tangga kedua, FELDA United FC yang tewas 1-0 kepada Pahang di Stadium Selayang.

Di Shah Alam, PDRM selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Shahurain Abu Samah pada minit ketujuh, Dramane Traore minit ke-17 dan Ashfaq Ali minit ke-20 sebelum Terengganu bimbingan Abdul Rahman Ibrahim memperoleh gol saguhati menerusi Issey Nakajima-Farran pada masa kecederaan.

Di Kota Bharu, tuan rumah Kelantan mendahului seawal minit kelima menerusi tandukan Gilmar Da Silva selepas sepakan sudut Badhri Radzi sebelum Selangor kendalian Mehmet Durakovic menyamakan kedudukan hasil rembatan cantik kaki kiri Nazmi Faiz Mansor dari luar kotak penalti pada minit ke-11.

Tiga mata penuh sah milik skuad kendalian Azraai Khor Abdullah apabila Norfarhan Muhammad meledak gol kemenangan Kelantan pada minit ke-73, hanya seminit selepas dia masuk menggantikan Badhri.

Di Selayang, FELDA United kendalian Irfan Bakti Abu Salim terlepas peluang merampas tangga teratas liga selepas tewas 1-0 kepada Pahang apabila pelawat bimbingan Zainal Abidin Hassan beroleh gol tunggal kemenangan menerusi Dickson Nwakaeme pada minit ke-53.

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, tuan rumah Lions XII memperoleh tiga mata penuh untuk melonjak satu anak tangga ke kedudukan kelapan liga selepas menewaskan Sarawak 1-0 hasil jaringan Khairul Nizam Kamal pada minit ke-59.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pertembungan dua pasukan tercorot, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sime Darby FC berkesudahan seri 1-1 selepas gol pendahuluan ATM menerusi Jerry Palacios pada minit ke-29 berjaya disamakan Nemanja Vidakovic pada minit ke-45.

Terdahulu pada satu aksi tunggal yang berlangsung semalam, Perak berjaya menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Selepas sembilan perlawanan, kecuali Perak dan Pahang yang kurang satu perlawanan, PDRM di tangga teratas dengan 18 mata diikuti Selangor (17), FELDA United (17), JDT (15), Perak (14), Pahang (14), Terengganu (14), Lions XII (10), Kelantan (10), Sarawak (9), ATM (6) dan Sime Darby (2)
BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 25 April 2015 | 11:13pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan