Selasa, 10 November 2015 |
8:44pm
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/Azman_Adnan.transformed_0.jpg)
KUALA TERENGGANU: Persatuan
Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini menafikan bekas pengendali PDRM,
Azman Adnan akan membimbing pasukan pantai timur itu pada tahun depan.
Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad
Nizam Wan Abdul Hamid berkata berita itu tidak benar kerana pihaknya belum
membuat sebarang keputusan mengenai pelantikan jurulatih baharu setakat ini.
"Berita itu tidak benar
dan kita menafikan, walaupun kita sedang mencari jurulatih baharu untuk musim
depan," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai perkara
tersebut hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan
mengenai kemungkinan Kelantan atau Terengganu menjadi destinasi terbaharu bekas
pengendali The Cops, Azman Adnan meneruskan khidmatnya selaku jurulatih pada
musim hadapan.
Menurut Wan Ahmad Nizam,
jawatankuasa eksekutif PBSNT akan mengadakan satu mesyuarat selepas 15 November
ini untuk membincangkan pembentukan pasukan Terengganu musim depan.
Katanya, antara perkara penting
yang akan dibincangkan termasuklah jurulatih, pengambilan pemain-pemain baharu
bagi menggantikan pemain-pemain yang akan digugurkan bagi memantapkan pasukan.
Selain itu, mesyuarat itu juga
akan melantik pegawai-pegawai bagi membimbing pasukan Terengganu.
Justeru kata beliau, pihaknya
akan membentuk pasukan yang lebih mantap dan padu tahun depan ekoran kegagalan
mereka meraih sebarang kejayaan musim ini.
BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 10
November 2015 | 8:44pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan