Ahad, 8 March 2015 | 12:46pm
Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/08slngor1.transformed.jpg)
PEMAIN Selangor Andik
Vermansyah (tengah) melepasi kawalan 2 pemain PDRM FC Afifamiruddin (kiri) dan
V Thirumurugan dalam perlawanan Liga Super, di Stadium Shah Alam. - Foto Osman
Adnan
SHAH ALAM: Kejayaan Selangor
meraih kemenangan sulung menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 pada aksi
Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi disebabkan pasukan itu lebih baik
dan bukan semata-mata berpunca daripada kesilapan pertahanan lawan.
Perkara itu ditegaskan oleh
jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic bagi menjawab kenyataan jurulatih PDRM,
Azman Adnan yang menyifatkan tiga daripada empat gol dihasilkan Selangor itu
disebabkan kesilapan dan kelekaan barisan pertahanan mereka sendiri.
"Kami beraksi lebih baik.
PDRM tetap pasukan yang baik. Saya rasa jaringan diperoleh itu memang wajar
selepas pemain kami terutama di jentera tengah dan serangan bekerja keras.
"Jadi bukanlah kerana
barisan pertahanan PDRM tidak beraksi baik tetapi jelas persembahan malam ini
(malam tadi) adalah milik pemain dan pasukan Selangor," kata Durakovic
ketika ditemui selepas perlawanan, malam tadi.
Selangor mendahului 2-0
menerusi jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-23 dan Afiq Azmi minit ke-46
sebelum PDRM merapatkan kedudukan hasil jaringan Dramane Traore, minit ke-58.
Namun kemasukan K Gurusamy dan
Abdul Hadi Yahya menambah sengat di barisan tengah dan depan Selangor apabila
dua lagi gol berjaya diperoleh Selangor menerusi Abdul Hadi pada minit ke-74
dan Guilherme De Paula, minit ke-78.
"Saya sudah katanya,
masanya akan tiba. Sebelum ini pun kami berjaya cipta banyak peluang, cuma
gagal disudahkan. Tapi pada perlawanan ini, semuanya menjadi.
"Saya rasa Selangor kini
pada prestasi yang baik. Kami tidaklah dibarisi keseluruhan pemain
berpengalaman. Tapi pemain seperti Syamim Othman (penjaga gol), Azrif Nasrulhaq
Badrul Hisham, Ahmad Hazwan Bakri dan Raimi Md Nor beraksi baik pada perlawanan
ini," jelas Durakovic.
KUMPULAN dipercayai penyokong
Selangor membakar suar sejurus tamat perlawanan Liga Super, di Stadium Shah
Alam yang menyaksikan Selangor menang 4-1 ke atas PDRM FC. - Foto Osman Adnan
Sementara itu, Azman berkata,
selain kesilapan mudah dilakukan barisan pertahanannya, bekas penyerang
Selangor itu turut mengakui mereka sedikit tertekan beraksi di hadapan ramai
penyokong Selangor biarpun PDRM turun sebagai tuan rumah.
"Boleh dikatakan perlawanan
seimbang kerana pemain saya tetap beraksi dengan baik. Cuma kesilapan, tiga
daripada empat gol Selangor itu hasil daripada kesilapan dan kelekaan pemain
pertahanan PDRM yang menghadiahkan gol mudah.
"Memang saya akui bukan
mudah untuk pemain kami beraksi di stadium keramat Selangor ini. Tapi kita
sudah cuba beri yang terbaik pada perlawanan ini dan saya akan memperbetulkan
segala kelemahan untuk aksi berikutnya," kata Azman.
PDRM kini turun ke tangga
keenam dengan enam mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan manakala
Selangor di tangga kelapan dengan lima mata menerusi satu kemenangan, dua seri
dan sekali tewas.
Untuk perlawanan seterusnya
Sabtu ini, Selangor akan bertemu Sarawak di Stadium Shah Alam manakala PDRM
bertemu Perak di Ipoh
BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 8
March 2015 | 12:46pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan