Ahad, 26 April 2015 | 12:02am
AZMAN Adnan (tengah) memeluk
kapten PDRM, Mohamad Muslim (kanan) dan Ashfaq Ali (kiri) selepas menewaskan
Johor Darul Takzim (JDT) 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam.
- Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Penyerang tempatan tenggelam
selagi tidak ganda usaha - Azman
Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
BEKAS penyerang sensasi negara,
Azman Adnan akur betapa terhad ruang untuk penyerang bola sepak tempatan
memperagakan kelibat masing-masing ketika ini.
Bicara itu terarah kepada
peluang anak watan beraksi dalam saingan Liga Malaysia berikutan kebanyakan
kelab atau pasukan negeri lebih gemar menggunakan gandingan penyerang import
demi memburu gelaran dan nama.
Selaku ketua jurulatih skuad
Liga Super Polis Diraja Malaysia (PDRM), dia sendiri menggunakan trio berbisa -
Dramane Traore dari Mali, Ashfaq Ali dari Maldives dan Mohamadou Sumareh dari
Gambia.
"Itu memang tidak
dinafikan. Jadi penyerang tempatan harus menggandakan usaha tiga kali ganda,
bukan sekadar hanya dua kali ganda untuk menyaingi penyerang import.
PEMAIN sendiri yang akan
beraksi di padang dan mereka yang akan mencorakkan permainan mereka sendiri,
kata Azman Adnan. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
"Pemain tempatan kita
tetap ada kualiti tetapi semua itu bergantung kepada mereka sendiri sama ada
untuk terus memajukan diri mereka ke tahap lebih tinggi atau berpuas hati
dengan apa yang mereka ada.
"Terpulang kepada mereka.
Kami sebagai jurulatih hanya boleh memberi nasihat dan pandangan. Pemain
sendiri yang akan beraksi di padang dan mereka yang akan mencorakkan permainan
mereka sendiri," ujar Azman.
Bekas bintang Kuala Lumpur dan
Selangor pada tahun 90-an itu juga pernah tersepit dalam keadaan sama tetapi
dia memilih untuk bersaing dan belajar daripada penyerang import sehingga
muncul antara penyerang disegani pada eranya.
AZMAN Adnan (kanan) melambai
kepada penyokong selepas meraih kemenangan dalam perlawanan Piala FA menentang
Sabah di Stadium Shah Alam dengan kemenangan 3-0. - Foto Mohd Asri Saifuddin
Mamat
Sedia belajar untuk maju
Bayangkan ketika bermain dia
berdepan bintang import seperti Scott Ollenrenshaw, Alistair Edwards, Abbas
Saad, David Mitchell, Tony Cottee dan beberapa nama lagi yang membanjiri kancah
bola sepak tanah air ketika itu.
"Kalau ikutkan, saya malas
nak bercerita kisah yang lalu kerana mahu selalu pandang ke hadapan. Dulu pun
ramai pemain import tetapi saya suka belajar daripada mereka. Saya mahu
tunjukkan di Malaysia juga ada pemain tempatan yang bagus.
"Jika kita lihat, ketika
dulu pemain tempatan tak tenggelam dengan kehebatan pemain import contohnya
kita ada Dollah Salleh dan Mubin Mokhtar.
"Tapi bezanya sekarang,
jelas kelihatan jurang antara pemain tempatan dan import terutama di posisi
penyerang apabila pemain tempatan kita tidak begitu menonjol dari segi
menjaringkan gol," kata Azman ketika ditemui di Padang Latihan PULAPOL di
ibu negara, baru-baru ini.
AZMAN Adnan menjulang Piala FA
ketika mewakili Selangor pada Ogos 1997. - Foto fail NSTP
Siapa tidak kenal pengendali
berusia 44 tahun ini satu ketika dulu. Sebut saja namanya, pasti peminat bola
sepak tanah air akan mengingati kata-kata popular 'Man turn, Man score' yang
menggambarkan betapa tajamnya pemain itu ketika zaman kegemilangan selaku
penyerang sensasi tempatan era 90-an.
Malah, selepas aksi cemerlang
bersama Kuala Lumpur pada musim 1992 ketika baru berusia 21 tahun menjadikan
Azman pemain tempatan pertama bernilai RM1 juta dengan menjadi rebutan Pahang,
Kedah dan Selangor untuk mendapatkan khidmatnya.
Namun, pada 2 Januari 1993,
Azman membuat keputusan mengejut apabila memilih untuk menyertai Selangor
biarpun pasukan itu beraksi di liga divisyen dua dan jumlah dibayar Selangor
kepada Kuala Lumpur hanya RM300,000 dengan gaji bulanan RM5,000 untuk kontrak
selama lima tahun.
PENYERANG, Azman Adnan mengawal
bola sekalipun dikepung oleh Malek Awab (kanan) dan Amin Nasir, sambil Mubin
Mokhtar yang berada di belakang bersedia untuk membantu dalam perlawanan Pestabola
Merdeka. - Foto fail NSTP 6 Februari 1993
Mampu buat magis
Azman tampil memberi pandangan
peribadinya mengenai masalah penyerang tempatan ketika ini yang dibayangi
penyerang import pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Katanya, pemain tempatan
sendiri perlu menggandakan usaha termasuk membuat latihan tambahan bagi
menambah skil individu pada diri mereka.
"Apabila seseorang pemain
itu membuat latihan tambahan mereka pasti akan senang untuk beraksi dalam
perlawanan. Jangan harapkan jurulatih saja jika nak berjaya. Pemain itu sendiri
perlu melakukan latihan tambahan sendiri.
AZMAN Adnan memeluk kapten
PDRM, Mohamad Muslim selepas menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) 1-0 dalam
perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
"Kita dapat lihat pemain
tempatan kita ketika ini memang bersemangat untuk bermain. Tapi skil individu
mereka kurang dan tahap pemikiran mereka juga nampak kurang.
"Maksud saya, apabila dia
beraksi, dia mampu membuat satu magis. Dapat saja bola, pemain dah tahu yang
dia akan lakukan sesuatu. Sekarang apa yang kita dapat lihat, apabila pemain
import dapat bola, dia akan menggelecek dua atau tiga pemain untuk melakukan
gerakan.
"Bagaimanapun saya lihat,
ada juga peningkatan dalam kalangan pemain tempatan kita. Apabila saingan liga
sudah memasuki pertengahan musim ini, ada yang mula nampak menonjol dari satu
perlawanan ke satu perlawanan," katanya.
AZMAN Adnan (dua dari kiri)
pada sesi latihan pasukan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL). - Foto Osman Adnan
PROFIL
Nama penuh: Azman Adnan
Umur: 44 tahun
Tarikh lahir: 1 November 1971
Tempat lahir: Melaka
Jawatan sekarang: Ketua
jurulatih PDRM
(sejak Dollah Salleh
meninggalkan PDRM
untuk menjadi jurulatih
kebangsaan pada Jun 2014)
Posisi sebagai pemain:
Penyerang
Kelab pernah diwakili:
1989-1992 Kuala Lumpur
1993-1998 Selangor
1999 Pulau Pinang
2000-2001 Negeri Sembilan
2002 Selangor
2003 Negeri Sembilan
2004 Selangor
INFO
Senarai penjaring terbanyak
musim 2015
Liga Super
9 gol: Dramane Traore (PDRM)
7 gol: Afiq Azmi (SEL)
6 gol: Paulo Rangel (TER),
Charles Souza Chad (PRK),
Ashfaq Ali (PDRM)
5 gol: Edward Junior Wilson
(FELDA)
4 gol: Ahmad Syamim Yahya
(FELDA),
Ndumba Makeche (FELDA),
Namkung Woong (PRK),
Billy Mehmet (SWK),
Nurridzuan Abu Hassan (PRK),
Jerry Palacios (ATM)
Liga Perdana
9 gol: Farhod Tadjiev (T-TEAM)
8 gol: Francis Forkey Doe (NS)
7 gol: Milan Purovic (KUANTAN)
6 gol: Eamon Zayed (SAB), Dao
Bakary (UiTM)
5 gol: Leandro Velazquez (JDT
II),
Shafiq Shaharudin (JDT II),
Chidi Edeh (KDH)
4 gol: Ivan Babic (DRB),
Shahril Ishak (JDT II),
Sadriddin Abdullaev (T-TEAM),
Mohd Nor Hakim Hassan (T-TEAM),
Gabriel Guerra (PKNS)
BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 26
April 2015 | 12:02am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan