PEMAIN kebangsaan Mohd. Shukor
Adan semakin pasti ditugaskan sebagai ketua pasukan Selangor bagi menghadapi
saingan bola sepak Liga Malaysia khasnya Liga Perdana yang bakal bermula 5
Februari ini.
Kepercayaan kepada beliau untuk
terus menyarung lilit lengan skuad Gergasi Merah telah terserlah dalam lima
perlawanan persahabatan sejak bulan lalu hingga Ahad lalu, lapor ABDUL HAFIZ
AHMAD.
Pengurus pasukan Selangor, Datuk
Satim Diman berkata, Shukor bukan saja telah membuktikan kewibawaan sebagai
kapten malahan memiliki sentuhan berbisa untuk mencipta jaringan.
``Shukor mempunyai kredibiliti.
Caranya merancang dan mengatur permainan pun terserlah. Paling penting dia juga
mendapat kerjasama penuh dengan rakan sepasukan,'' katanya ketika dihubungi di
Serdang, semalam.
Malah, pemain yang menjadi
sandaran jurulatih Selangor, Omar Ruben Larrosa dari Argentina juga
berkemampuan menyumbat gol.
Selangor menewaskan Melaka 2-0 di
Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang selain menumpaskan Perbadanan
Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 1-0 dan 3-0, Kuala Lumpur 4-0 dan seri dengan
sebuah kelab Uzbekistan 1-1.
Bekas juara Piala Malaysia 2002
itu juga dijangka mengundang Perak ke Stadium Shah Alam untuk satu lagi
perlawanan persahabatan pada 10 Januari ini sebelum berlepas ke Indonesia, dua
hari kemudian.
Menurut Satim, kebolehan dan
kematangan Shukor ternyata banyak dipengaruhi oleh pendedahannya dalam aksi
antarabangsa apabila beberapa kali dipanggil mewakili skuad kebangsaan dan
Bawah 23 Tahun sejak 2001.
``Shukor juga didapati punya
persefahaman dengan pemain import kita terutama Brian Fuentes dan Diego Cepeda.
Soal bahasa juga bukan satu halangan besar apabila kita sudah meledak 11 gol
setakat ini,'' katanya.
Mengenai persembahan dua tonggak
dari Argentina itu, Satim tidak ketinggalan menghamburkan pujian sambil
menganggap mereka semakin menguatkan keyakinannya untuk membawa Selangor
bangkit musim ini.
``Saya dan Larrosa melihat Fuenes
(penjaring lima gol setakat ini) menepati ciri-ciri penyudah ampuh, tangkas dan
pintar menghidu peluang,'' katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan
Puchong.
Kata Satim, Azman Adnan, Rudie
Ramli dan Amri Yahyah merupakan barisan calon penyerang tempatan yang sedang
dinilai oleh Larrosa sebagai gandingan serasi dengan Fuenes dalam menggempur
lawan.
``Biarpun Rudie sempat menyumbat
satu gol, baru-baru ini, kita masih berharap Azman membuktikan sengatnya di
depan gawang belum kunjung padam,'' kata beliau.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4djF6cOY6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan