Ahad, 19 Mac 2017

PBNS gugur tujuh pemain

ARKIB : 08/11/2001
Oleh ZULKIFLI ABDULLAH
BEKAS pemain kebangsaan, Azman Adnan adalah antara tujuh pemain yang digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dalam rombakannya untuk membentuk pasukan baru bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2002.

Selain Azman, turut digugurkan ialah ketua pasukan liga musim ini, Khairul Anuar Baharom, Mohamad Yazid Mohamad Yassin, Ching Hong Aik, Nazzab Hidzan, A. Ganeson dan Yusafizan Johar.

Azman yang pernah bermain untuk Selangor dan Pulau Pinang sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan pada tahun lalu dan tidak konsisten pada musim ini akibat kecederaan.

Tindakan PBNS ini dilihat pasukan bekas naib juara Piala Malaysia 2000 itu mahu membentuk pasukan baru yang terdiri daripada pemain-pemain muda bagi membawa cabaran pada musim depan.

Hakikat ini diakui oleh Setiausaha Kehormat PBNS, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang mengakui ada pemain yang digugurkan itu gagal menunjukkan prestasi cemerlang dalam musim ini.

Biar pun begitu, katanya, tindakan menggugurkan pemain terbabit juga disebabkan masalah kewangan yang terpaksa ditanggung oleh persatuan tersebut hingga tidak lagi mampu menyambung khidmat pemain-pemain itu.

``Walaupun ada pemain yang digugurkan itu masih muda tetapi PBNS tidak ada pilihan kerana kecewa dengan prestasi mereka,'' katanya ketika dihubungi di Seremban semalam.

Abdullah Sani memberitahu, ketiadaan pemain-pemain terbabit sama sekali tidak menjejaskan pembentukan pasukan Rusa untuk menghadapi liga musim depan, malah yakin penyerapan pemain-pemain muda Piala Presiden Negeri Sembilan dapat mengisi kekosongan itu.

``PBNS kini terbuka kepada pemain-pemain luar yang ingin menyumbang khidmat bermain untuk Negeri Sembilan,'' ujarnya.

Sementara itu, Leong Hong Seng, M. Elango, Zami Mohamed Noor dan Nor Hisham Ismail yang masih mempunyai kontrak dengan PBNS sehingga akhir tahun depan juga dilepaskan, biarpun belum digugurkan.

Abdullah Sani memberitahu, para pemain itu diberi peluang untuk menyertai pasukan lain dan jika mereka gagal berbuat demikian, mereka akan diserapkan semula bersama skuad Rusa nanti.

Beliau menambah, PBNS tidak bercadang untuk mengambil pemain import bagi menyarung jersi pasukan itu pada musim depan.

Jurulatih Mohamad Zaki Sheikh Ahmad bagaimanapun dikekalkan sebagai ketua jurulatih skuad Rusa manakala Timbalan Presiden PBNS, Datuk Jamaludin Ahmad dilantik sebagai pengurus pasukan.
SMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bp6rpj2r

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan