ARKIB : 29/10/2003
TIGA bekas pemain Negeri
Sembilan, Azman Adnan, Azlisham Ibrahim dan B. Rajinikandh adalah antara pemain
yang dijangka kembali menyarung jersi pasukan Selangor bagi saingan bola sepak
Liga Malaysia musim 2004, lapor HARADIAN SHAH HAMDAN.
Selain ketiga-tiga pemain itu,
pengurusan Selangor sedang menimbang kemungkinan mendapatkan khidmat empat lagi
pemain dari beberapa buah negeri yang pernah beraksi untuk pasukan Red Giants
sebelum ini.
Pengurus Selangor, Datuk Mohd.
Satim Diman berkata, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sedang meneliti
prestasi beberapa bekas pemain dan jika berpuas hati, mereka akan dibenarkan
kembali bermain untuk pasukan tersebut.
``Ada tujuh pemain dari negeri
lain yang menyatakan minat untuk bermain dengan Selangor dan kita sedang
pertimbangkan. Azman, Azlisham dan Rajinikandh adalah antara pemain-pemain
tersebut yang pernah memberi sumbangan kepada Selangor.
``Bagaimanapun setakat ini kita
masih belum buat sebarang keputusan (tentang pemain yang akan mewakili
Selangor),'' ujarnya.
Kali terakhir ketiga-tiga pemain
itu mewakili Selangor ialah pada tahun 2002, tetapi berhijrah ke Negeri
Sembilan awal musim lalu selepas membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia
buat kali ke-29.
Bersama Negeri Sembilan musim
lepas, mereka menjadi tenaga penting di sebalik kejayaan pasukan tersebut
memenangi Piala FA.
Mohd. Satim yang baru mengambil
alih tugas sebagai pengurus dari Datuk Mokhtar Ahmad yakin masalah kewangan FAS
akan dapat diatasi dan tidak menolak kemungkinan `berbelanja lebih' ke atas
pemain-pemain import berstatus bintang.
``Selangor akan mengambil empat
pemain import musim depan. Kita tertarik dengan dua pemain dari Argentina. Dua
lagi kuota mungkin diisi oleh pemain sama ada dari Brazil atau pun Korea
Selatan,'' ujarnya.
Sebanyak 12 pemain masih
mempunyai kontrak sehingga akhir tahun 2004 seperti Azmin Azram, Nizaruddin
Yusof, Nidzam Jamil dan Shukor Adan. Pemain lain ialah Jaafar Salleh, S.
Sivaram, D. Surendran, Amri Yahyah. Norzaidi Rohmat, P. Gunalan, Fared Shah dan
Rudie Ramli. Manakala lima lagi pemain tamat kontrak pada hujung tahun ini
iaitu Shahrin Majid, S. Jayaprakash, Taib Sulaiman, R. Yogeswaran dan Suhaimi
Bahauddin.
Penyerang veteran, Rusdi Suparman
pula akan menyarung jersi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) musim
depan.
Selangor yang menamatkan saingan
Perdana Satu di tangga ke-11 musim lalu tidak layak untuk beraksi dalam saingan
elit dalam Liga Super. Sebaliknya mereka akan bersaing dalam Liga Perdana dan
akan disertai oleh tiga kelab dari negeri tersebut iaitu MK Land, PKNS dan
Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4de9Gd7Th
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan