Jumaat, 2 Disember 2016

NS gagal gugat P. Pinang

ARKIB : 09/05/1999
GELARAN pendahulu liga kekal milik Pulau Pinang yang terpaksa berhempas pulas untuk menang tipis 4-3 ke atas Negeri Sembilan pada perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, semalam.

Pulau Pinang beroleh jaringan menerusi Ooi Hoe Guan pada minit ke-43 dan 44 serta Azman Adnan (45 dan 73).

Tiga jaringan Negeri Sembilan pula oleh Zami Mohd. Noor (32), Ching Hong Aik (61) dan pemain gantian Ahmad Shahrul Azhar (72).

Permulaan tampak rancak menerusi persembahan menarik dengan penyerang Negeri Sembilan, Zami Mohd. Noor memperdayakan pemain pertahanan Pulau Pinang, V. Thinagaran namun sepakannya melepasi palang minit kelima.

Serangan berterusan Negeri Sembilan akhirnya berhasil apabila tendangan sudut Tuan Kamree Yahya ditanduk Rajnikandh depan gawang Pulau Pinang untuk memudahkan Zami melakukan sepakan lambung yang menewaskan penjaga gol Azlisham Ibrahim pada minit ke-32.

Keghairahan Negeri Sembilan bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Azman bijak melorongkan hantaran untuk Ooi Hoe Guan menyumbat jaringan penyamaan, minit ke-43.

Nasib Negeri Sembilan bertambah malang setelah tendangan dari jarak 30 meter daripada Ooi melepasi jangkauan Azmin, seminit kemudian.

Bagi menambah keperitan Negeri Sembilan, Azman sekali lagi bertindak cemerlang untuk melakukan sepakan leret ke penjuru gawang Negeri Sembilan.

Jaringan pada minit ke-45 ini kekal sehingga tamat separuh masa pertama yang menyebelahi tuan rumah mendahului 3-1.

Kelebihan babak pertama terbawa-bawa pada separuh masa kedua bagi Pulau Pinang dengan gerakan cantik Hasmawi Hassan kepada R. Suresh Kumar tetapi tendangannya melepasi palang pada minit ke-47.

Bagaimanapun Negeri Sembilan memperoleh peluang merapatkan jurang selepas mendapat sepakan percuma setelah seorang pemain tuan rumah terpegang bola di kawasan penalti.

Hasilnya, pemain lincah Negeri, Ching Hong Aik mengambil sepakan terus yang menyaksikan bola yang terkena palang menerjah ke gawang Pulau Pinang pada minit ke-61.

Percaturan jurulatih Irfan Bakti mengeluarkan Rajnikandh ternyata membawa hasil apabila pemain gantiannya, Ahmad Shahrul Azhar membawa bola ke petak penalti untuk menyepak masuk jaringan penyamaan Negeri pada minit ke-72.

Sebaliknya Pulau Pinang mengatur gerakan balas pantas yang menyaksikan hantaran Fauzi Soh ditanduk masuk Azman seminit kemudian untuk tuan rumah kembali mendahului 4-3.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RjsIRJa0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan