ARKIB : 05/05/1998
ORANG BARU... Ismail Zakaria (kiri) yang mengambil alih tugas Steve Wicks selaku jurulatih baru Selangor berbual dengan penyerang Azman Adnan dan penolong jurulatih Mohd. Shah Norbit (kanan) selepas sesi latihan skuad itu di Kelana Jaya, semalam. - Gambar ZAINI HUSIN.
JURULATIH Selangor, Steve Wicks mengambil keputusan memeranjatkan apabila meletak jawatan daripada melatih skuad Red Giants yang sedang beraksi dalam kempen bola sepak Liga Perdana Satu, musim ini.
Wicks memberi alasan masalah kewangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang kian meruncing memaksanya mengambil keputusan mengejut itu.
Dalam sidang akhbar mengumumkan peletakan jawatannya semalam, Wicks berkata, beliau amat sedih kerana terpaksa meninggalkan Selangor yang dianggapnya telah memberikan segala-gala kepadanya.
''Saya ambil keputusan itu demi mengurangkan beban kewangan FAS akibat kejatuhan ekonomi negara ini. Saya rasa pakej kewangan saya menambahkan lagi beban FAS.
''Saya telah maklumkan perkara ini kepada pihak pengurusan FAS dan kami telah mencapai persetujuan bersama berhubung perkara ini,'' ujarnya.
Turut hadir pada sidang akhbar di pejabat FAS, Kelana Jaya itu ialah pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad dan isteri Wicks.
Menurut jurulatih dari England itu, dia mengambil langkah sedemikian hanya untuk membantu FAS meneruskan cabaran liga tanpa terus dibebani kos tinggi dari segi pembayaran gajinya.
''Lebih baik saya berundur daripada membiarkan para pemain terpaksa menanggung bebannya,'' katanya.
Sehubungan itu, kontrak Wicks bersama Selangor tamat serta merta dan tugasnya diambil alih sementara oleh jurulatih pasukan Liga Simpanan Selangor, Ismail Zakaria.
Wicks mula melatih skuad Selangor awal musim lalu daripada Ken Worden di bawah pengurusan Datuk Mohd. Aini Taib.
Di bawah bimbingannya, Selangor cemerlang apabila menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut selain Piala FA dan Piala Sumbangsih. Wicks akan pulang ke England pada pertengahan bulan ini.
Ketika ditanya mengenai rancangan masa depannya selepas ini, Wicks berkata: ''Saya kini tidak mempunyai pekerjaan. Buat masa ini saya mahu berehat di England dan kemudian akan fikirkan apa rancangan seterusnya.''
Sementara itu Mokhtar berkata, Wicks sudah memaklumkan mengenai hasratnya itu dua minggu sebelum ini.
''Dia memberitahu, jika dia menjadi beban masalah kewangan FAS, dia lebih rela berundur daripada mengorbankan seseorang pemain.
''Memang kewangan menjadi beban FAS kini dan sesudah berbincang, kami menerima peletakan jawatan Wicks walau dengan hati yang begitu berat,'' katanya.
Ditanya sama ada keputusan Wicks itu berkait dengan prestasi Selangor yang menurun dalam Liga Perdana, Mokhtar berkata: ''Ia bukan sama sekali disebabkan prestasi buruk Selangor ketika ini atau pun permainan politik FAS. Keputusan yang diambilnya adalah atas kerelaannya sendiri.
''Kami menghormati keputusannya kerana beliau bertindak demikian demi kepentingan FAS dan pasukan Selangor sepenuhnya,'' kata Mokhtar.
Oleh: JOHARI SYAWAL
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JHBLoqOi © Utusan Melayu (M) Bhd