Khamis, 4 April 2019

Yee Fatt bengang pemain ambil mudah


GUILHERME DE PAULA
04 April 2019 1:01 PM
KUALA LUMPUR 4 April - Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt tidak berpuas hati dengan prestasi pemainnya yang terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan kelab Liga M, Tun Razak FC 3-0 pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Katanya, anak buahnya mengambil mudah ketika menghadapi pasukan lawan dan mereka gagal menyudahkan beberapa peluang gol dalam perlawanan tersebut.


"Sebenarnya ia satu perlawanan yang sukar menentang pasukan amatur yang tidak menghadapi tekanan tetapi bagus juga apabila kami dapat keputusan positif dan kemenangan ini tentunya akan memberikan semangat untuk pasukan kami hadapi perlawanan Liga Super seterusnya.

"Para pemain sekali sekala mengambil mudah beberapa situasi, di mana pasukan kami hampir dibolosi tetapi kami bernasib baik kami menang perlawanan ini, dan saya perlu ingatkan pemain saya tidak melakukan perkara yang sama dalam perlawanan seterusnya," katanya selepas perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, pengendali Tun Razak FC, Azman Adnan berpuas hati dengan persembahan cemerlang ditampilkan pemainnya yang kebanyakannya adalah amatur dan tidak mempunyai pengalaman luas berhadapan dengan pasukan Liga Super serta Perdana.

"Secara jujur, saya gembira dengan corak permainan yang ditampilkan pemain saya kerana mereka beraksi sebaik mungkin dan kita lihat bukan mudah Kuala Lumpur dapat menjaringkan gol pada perlawanan malam ini.

"Kita ada peluang menjaringkan gol tetapi kelebihan ada pada Kuala Lumpur yang diperkuatkan dengan pemain import yang baik," jelas Azman yang merupakan bekas pemain kebangsaan era 90-an.

Dalam perlawanan itu, Kuala Lumpur menjaringkan gol menerusi kapten, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-32, Muhammad Irfan Zakaria (minit ke-54) dan penyerang dari Brazil, Guilherme De Paula pada minit ke-71. - BERNAMA
sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/yee-fatt-bengang-pemain-ambil-mudah-1.876277#ixzz5kADRTtHZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan