Jumaat, 31 Mac 2017

Azman intai kejayaan sulung



ARKIB : 29/05/2003
SELEPAS puas menabur bakti di negeri orang, bekas penyerang kebangsaan Azman Adnan, kali ini mahu menghadiahkan kejayaan kepada negeri tanah tumpah darahnya pula, Negeri Sembilan.

Sepanjang bergelumang dalam bola sepak, Azman, 31, sudah mengecap semua kejuaraan dalam saingan tempatan, namun anak kelahiran Pedas, Rembau ini masih belum menyumbang sebarang piala buat negerinya itu.

Pemain itu ketika dihubungi semalam, mengakui agak terkilan kerana tidak berpeluang membantu negeri tersebut memiliki sebarang kejuaraan bola sepak tempatan setakat ini.

Justeru, dia mahu menjadikan perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini sebagai pentas untuk mencapai matlamat tersebut.

``Saya memenangi banyak kejuaraan dengan negeri-negeri lain, tetapi belum lagi dengan Negeri Sembilan. Saya harap kali ini saya dapat menghadiahkan Piala FA untuk peminat-peminat bola sepak di negeri ini,'' katanya.

Dia hampir menghadiahkan trofi Piala Malaysia ketika mewakili Negeri Sembilan pada tahun 2000, bagaimanapun jaringan Khalid Jamlus dan V. Saravanan dalam perlawanan akhir membuatkan mereka berputih mata.

Azman, meskipun dilahirkan di negeri itu tetapi memulakan kerjaya bola sepak dengan skuad warga kota, Kuala Lumpur sebelum dipikat oleh pasukan Red Giants, Selangor.

Bersama pasukan itu, dia menjulang deretan kejayaan seperti Piala Sumbangsih, Piala FA dan juga Piala Malaysia yang kali terakhir dimenanginya musim lepas.

Dia juga pernah beraksi untuk Pulau Pinang selama dua musim dan memenangi gelaran kasut emas apabila muncul penjaring terbanyak dengan 13 gol pada musim 1999.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cx2V61QA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan