Isnin, 25 September 2017

PDRM kembali rampas tangga teratas Liga Super



Sabtu, 25 April 2015 | 11:13pm
Oleh Wan Fakhrul Bakar; Norizuan Shamsuddin; Rizar Mohd Noor dan Mohd Amin Jalil
 
PEMAIN Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) diasak pemain PDRM, Ahmad Nizam M Rodzi (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kembali merampas tangga teratas Liga Super daripada Selangor selepas skuad kendalian Azman Adnan itu berjaya menewaskan Terengganu 3-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kejayaan PDRM itu dibantu kekalahan pendahulu sebelum ini, Selangor yang tewas 2-1 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dan pasukan tangga kedua, FELDA United FC yang tewas 1-0 kepada Pahang di Stadium Selayang.

Di Shah Alam, PDRM selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Shahurain Abu Samah pada minit ketujuh, Dramane Traore minit ke-17 dan Ashfaq Ali minit ke-20 sebelum Terengganu bimbingan Abdul Rahman Ibrahim memperoleh gol saguhati menerusi Issey Nakajima-Farran pada masa kecederaan.

Di Kota Bharu, tuan rumah Kelantan mendahului seawal minit kelima menerusi tandukan Gilmar Da Silva selepas sepakan sudut Badhri Radzi sebelum Selangor kendalian Mehmet Durakovic menyamakan kedudukan hasil rembatan cantik kaki kiri Nazmi Faiz Mansor dari luar kotak penalti pada minit ke-11.

Tiga mata penuh sah milik skuad kendalian Azraai Khor Abdullah apabila Norfarhan Muhammad meledak gol kemenangan Kelantan pada minit ke-73, hanya seminit selepas dia masuk menggantikan Badhri.

Di Selayang, FELDA United kendalian Irfan Bakti Abu Salim terlepas peluang merampas tangga teratas liga selepas tewas 1-0 kepada Pahang apabila pelawat bimbingan Zainal Abidin Hassan beroleh gol tunggal kemenangan menerusi Dickson Nwakaeme pada minit ke-53.

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, tuan rumah Lions XII memperoleh tiga mata penuh untuk melonjak satu anak tangga ke kedudukan kelapan liga selepas menewaskan Sarawak 1-0 hasil jaringan Khairul Nizam Kamal pada minit ke-59.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pertembungan dua pasukan tercorot, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sime Darby FC berkesudahan seri 1-1 selepas gol pendahuluan ATM menerusi Jerry Palacios pada minit ke-29 berjaya disamakan Nemanja Vidakovic pada minit ke-45.

Terdahulu pada satu aksi tunggal yang berlangsung semalam, Perak berjaya menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Selepas sembilan perlawanan, kecuali Perak dan Pahang yang kurang satu perlawanan, PDRM di tangga teratas dengan 18 mata diikuti Selangor (17), FELDA United (17), JDT (15), Perak (14), Pahang (14), Terengganu (14), Lions XII (10), Kelantan (10), Sarawak (9), ATM (6) dan Sime Darby (2)
BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 25 April 2015 | 11:13pm

Penyerang tempatan tenggelam selagi tidak ganda usaha - Azman



Ahad, 26 April 2015 | 12:02am
 
AZMAN Adnan (tengah) memeluk kapten PDRM, Mohamad Muslim (kanan) dan Ashfaq Ali (kiri) selepas menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Penyerang tempatan tenggelam selagi tidak ganda usaha - Azman
Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
BEKAS penyerang sensasi negara, Azman Adnan akur betapa terhad ruang untuk penyerang bola sepak tempatan memperagakan kelibat masing-masing ketika ini.

Bicara itu terarah kepada peluang anak watan beraksi dalam saingan Liga Malaysia berikutan kebanyakan kelab atau pasukan negeri lebih gemar menggunakan gandingan penyerang import demi memburu gelaran dan nama.

Selaku ketua jurulatih skuad Liga Super Polis Diraja Malaysia (PDRM), dia sendiri menggunakan trio berbisa - Dramane Traore dari Mali, Ashfaq Ali dari Maldives dan Mohamadou Sumareh dari Gambia.

"Itu memang tidak dinafikan. Jadi penyerang tempatan harus menggandakan usaha tiga kali ganda, bukan sekadar hanya dua kali ganda untuk menyaingi penyerang import.

PEMAIN sendiri yang akan beraksi di padang dan mereka yang akan mencorakkan permainan mereka sendiri, kata Azman Adnan. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Pemain tempatan kita tetap ada kualiti tetapi semua itu bergantung kepada mereka sendiri sama ada untuk terus memajukan diri mereka ke tahap lebih tinggi atau berpuas hati dengan apa yang mereka ada.

"Terpulang kepada mereka. Kami sebagai jurulatih hanya boleh memberi nasihat dan pandangan. Pemain sendiri yang akan beraksi di padang dan mereka yang akan mencorakkan permainan mereka sendiri," ujar Azman.

Bekas bintang Kuala Lumpur dan Selangor pada tahun 90-an itu juga pernah tersepit dalam keadaan sama tetapi dia memilih untuk bersaing dan belajar daripada penyerang import sehingga muncul antara penyerang disegani pada eranya.

AZMAN Adnan (kanan) melambai kepada penyokong selepas meraih kemenangan dalam perlawanan Piala FA menentang Sabah di Stadium Shah Alam dengan kemenangan 3-0. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Sedia belajar untuk maju

Bayangkan ketika bermain dia berdepan bintang import seperti Scott Ollenrenshaw, Alistair Edwards, Abbas Saad, David Mitchell, Tony Cottee dan beberapa nama lagi yang membanjiri kancah bola sepak tanah air ketika itu.

"Kalau ikutkan, saya malas nak bercerita kisah yang lalu kerana mahu selalu pandang ke hadapan. Dulu pun ramai pemain import tetapi saya suka belajar daripada mereka. Saya mahu tunjukkan di Malaysia juga ada pemain tempatan yang bagus.

"Jika kita lihat, ketika dulu pemain tempatan tak tenggelam dengan kehebatan pemain import contohnya kita ada Dollah Salleh dan Mubin Mokhtar.

"Tapi bezanya sekarang, jelas kelihatan jurang antara pemain tempatan dan import terutama di posisi penyerang apabila pemain tempatan kita tidak begitu menonjol dari segi menjaringkan gol," kata Azman ketika ditemui di Padang Latihan PULAPOL di ibu negara, baru-baru ini.

AZMAN Adnan menjulang Piala FA ketika mewakili Selangor pada Ogos 1997. - Foto fail NSTP

Siapa tidak kenal pengendali berusia 44 tahun ini satu ketika dulu. Sebut saja namanya, pasti peminat bola sepak tanah air akan mengingati kata-kata popular 'Man turn, Man score' yang menggambarkan betapa tajamnya pemain itu ketika zaman kegemilangan selaku penyerang sensasi tempatan era 90-an.

Malah, selepas aksi cemerlang bersama Kuala Lumpur pada musim 1992 ketika baru berusia 21 tahun menjadikan Azman pemain tempatan pertama bernilai RM1 juta dengan menjadi rebutan Pahang, Kedah dan Selangor untuk mendapatkan khidmatnya.

Namun, pada 2 Januari 1993, Azman membuat keputusan mengejut apabila memilih untuk menyertai Selangor biarpun pasukan itu beraksi di liga divisyen dua dan jumlah dibayar Selangor kepada Kuala Lumpur hanya RM300,000 dengan gaji bulanan RM5,000 untuk kontrak selama lima tahun.

PENYERANG, Azman Adnan mengawal bola sekalipun dikepung oleh Malek Awab (kanan) dan Amin Nasir, sambil Mubin Mokhtar yang berada di belakang bersedia untuk membantu dalam perlawanan Pestabola Merdeka. - Foto fail NSTP 6 Februari 1993

Mampu buat magis

Azman tampil memberi pandangan peribadinya mengenai masalah penyerang tempatan ketika ini yang dibayangi penyerang import pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Katanya, pemain tempatan sendiri perlu menggandakan usaha termasuk membuat latihan tambahan bagi menambah skil individu pada diri mereka.

"Apabila seseorang pemain itu membuat latihan tambahan mereka pasti akan senang untuk beraksi dalam perlawanan. Jangan harapkan jurulatih saja jika nak berjaya. Pemain itu sendiri perlu melakukan latihan tambahan sendiri.

AZMAN Adnan memeluk kapten PDRM, Mohamad Muslim selepas menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Kita dapat lihat pemain tempatan kita ketika ini memang bersemangat untuk bermain. Tapi skil individu mereka kurang dan tahap pemikiran mereka juga nampak kurang.

"Maksud saya, apabila dia beraksi, dia mampu membuat satu magis. Dapat saja bola, pemain dah tahu yang dia akan lakukan sesuatu. Sekarang apa yang kita dapat lihat, apabila pemain import dapat bola, dia akan menggelecek dua atau tiga pemain untuk melakukan gerakan.

"Bagaimanapun saya lihat, ada juga peningkatan dalam kalangan pemain tempatan kita. Apabila saingan liga sudah memasuki pertengahan musim ini, ada yang mula nampak menonjol dari satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya.

AZMAN Adnan (dua dari kiri) pada sesi latihan pasukan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL). - Foto Osman Adnan

PROFIL

Nama penuh: Azman Adnan

Umur: 44 tahun

Tarikh lahir: 1 November 1971

Tempat lahir: Melaka

Jawatan sekarang: Ketua jurulatih PDRM

(sejak Dollah Salleh meninggalkan PDRM

untuk menjadi jurulatih kebangsaan pada Jun 2014)

Posisi sebagai pemain: Penyerang

Kelab pernah diwakili:

1989-1992 Kuala Lumpur

1993-1998 Selangor

1999 Pulau Pinang

2000-2001 Negeri Sembilan

2002 Selangor

2003 Negeri Sembilan

2004 Selangor

INFO

Senarai penjaring terbanyak musim 2015

Liga Super

9 gol: Dramane Traore (PDRM)

7 gol: Afiq Azmi (SEL)

6 gol: Paulo Rangel (TER),

       Charles Souza Chad (PRK),

       Ashfaq Ali (PDRM)

5 gol: Edward Junior Wilson (FELDA)

4 gol: Ahmad Syamim Yahya (FELDA),

          Ndumba Makeche (FELDA),

          Namkung Woong (PRK),

          Billy Mehmet (SWK),

          Nurridzuan Abu Hassan (PRK),

          Jerry Palacios (ATM)

Liga Perdana

9 gol: Farhod Tadjiev (T-TEAM)

8 gol: Francis Forkey Doe (NS)

7 gol: Milan Purovic (KUANTAN)

6 gol: Eamon Zayed (SAB), Dao Bakary (UiTM)

5 gol: Leandro Velazquez (JDT II),

          Shafiq Shaharudin (JDT II),

          Chidi Edeh (KDH)

4 gol: Ivan Babic (DRB),

          Shahril Ishak (JDT II),

          Sadriddin Abdullaev (T-TEAM),

          Mohd Nor Hakim Hassan (T-TEAM),

          Gabriel Guerra (PKNS)
BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 26 April 2015 | 12:02am

Azman belum lagi bimbing skuad Penyu



Selasa, 10 November 2015 | 8:44pm
 
KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini menafikan bekas pengendali PDRM, Azman Adnan akan membimbing pasukan pantai timur itu pada tahun depan.

Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata berita itu tidak benar kerana pihaknya belum membuat sebarang keputusan mengenai pelantikan jurulatih baharu setakat ini.

"Berita itu tidak benar dan kita menafikan, walaupun kita sedang mencari jurulatih baharu untuk musim depan," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan mengenai kemungkinan Kelantan atau Terengganu menjadi destinasi terbaharu bekas pengendali The Cops, Azman Adnan meneruskan khidmatnya selaku jurulatih pada musim hadapan.

Menurut Wan Ahmad Nizam, jawatankuasa eksekutif PBSNT akan mengadakan satu mesyuarat selepas 15 November ini untuk membincangkan pembentukan pasukan Terengganu musim depan.

Katanya, antara perkara penting yang akan dibincangkan termasuklah jurulatih, pengambilan pemain-pemain baharu bagi menggantikan pemain-pemain yang akan digugurkan bagi memantapkan pasukan.

Selain itu, mesyuarat itu juga akan melantik pegawai-pegawai bagi membimbing pasukan Terengganu.

Justeru kata beliau, pihaknya akan membentuk pasukan yang lebih mantap dan padu tahun depan ekoran kegagalan mereka meraih sebarang kejayaan musim ini.
BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 10 November 2015 | 8:44pm