Rabu, 23 Januari 2019

Azman perkuat skuad bekas pemain

ARKIB : 01/02/2011
KANGAR - Bekas penyerang sensasi bola sepak kebangsaan dan Selangor, Azman Adnan merupakan antara tonggak yang dijangka memperkuatkan pasukan Bekas Pemain Malaysia yang akan menentang skuad Bintang Singa Utara Perlis pada perlawanan Charity Cup 1Malaysia di Stadium Utama, di sini, pada 7 Februari ini.

Bertujuan mengenang kembali sejarah kegemilangan bola sepak negara dan negeri Perlis, perlawanan itu turut diadakan bagi membalas jasa bekas-bekas pemain yang suatu ketika dahulu berbakti dengan skuad kebangsaan dan negeri.

Ia dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kerajaan Negeri Perlis, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis.

Menurut kenyataan semalam, lain-lain pemain yang bakal mempertajamkan barisan skuad Bekas Pemain Malaysia ialah penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail, Azmi Mahmod, K. Gunalan, Ahmad Yusof, Namad Abdullah dan Shukor Salleh.

Sementara Singa Utara, Perlis membariskan antaranya, Saidin Osman, V. Marimuthu, Suhairi Karim dan Andrien Jurad Chamrong.

Perlawanan tersebut akan disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Bersempena dengan perlawanan tersebut, pihak penganjur juga akan mengadakan klinik bolasepak di beberapa sekolah terpilih dan institusi pengajian tinggi (IPT) pada sebelah pagi.

Selain mencungkil bakat baru serta melahirkan pemain-pemain bola sepak berkemahiran tinggi, ia bertujuan mencari dana bagi membantu pelajar-pelajar IPT daripada golongan miskin, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar yang terlibat dengan banjir besar baru-baru ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5dRLIfLjE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan