ARKIB : 19/05/1999
ABDUL Rahman Ibrahim (kanan) menjawab soalan wartawan
sambil diperhatikan Arsene Wenger pada sidang akhbar pasukan Malaysia dan
Arsenal di Petaling Jaya, semalam. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.
''APAKAH Malaysia mampu beraksi seperti Aston
Villa?,'' kata pemain Arsenal, Tony Adams pada sidang akhbar perlawanan bola
sepak persahabatan menentang Malaysia di Petaling Jaya, semalam.
Ia mungkin sekadar gurauan kosong Adams tetapi tidak
sepatutnya diambil ringan oleh kesebelasan utama Malaysia apabila turun di
Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.
Adams, 33, cuba mengimbas perlawanan sengit antara
Arsenal dengan Aston Villa di Highbury Park yang menyaksikan pasukan bimbingan Arsene
Wenger itu menang tipis 1-0, Ahad lalu.
Adams dan 20 rakan sepasukannya bagaimanapun tetap
menjanjikan persembahan bermutu sebagaimana ketika Liga Perdana England
walaupun turut menyedari tuan rumah di atas kertas bukanlah tandingan sebenar
Arsenal.
''Kami dalam keadaan cukup bersedia untuk menghadapi
Malaysia. Memenangi setiap perlawanan yang ditempuh menjadi misi utama kami
biarpun sekadar dalam perlawanan persahabatan,'' kata Adams.
Dia bagaimanapun turut menyangkal tanggapan bahawa
aksinya kebelakangan ini sudah mulai tunduk kepada faktor usia.
''Saya masih mampu bermain selagi yang saya mahu,''
katanya seolah cuba menyembunyikan unsur kelemahan tersebut yang mampu
dimanfaatkan oleh barisan penyerang Malaysia.
Pandangan Adams itu turut dikongsi dengan Seaman, 36,
sambil menambah: ''Saya tidak nampak kebenaran bahawa faktor usia yang kerap
diperkatakan media sudah mempengaruhi ketangkasan saya mengawal gawang.
''Dalam erti kata lain, belum terlintas di hati untuk
saya bersara,'' kata Seaman yang juga penjaga gol utama England.
Sebaliknya Malaysia harus menukar gurauan tersebut
menjadi pembakar semangat untuk menampilkan tentangan habis-habisan terhadap
lawan.
Buat ketua pasukan B. Rajnikandh, Azman Adnan dan Zami
Mohd. Noor serta jurulatih Abdul Rahman Ibrahim yang turut menghadiri sidang
tersebut, gurauan tersebut mampu dijadikan senjata yang bakal memakan tuan.
Jika Allahyarham Mokhtar Dahari dan Isa Bakar mampu
membolosi gawang Arsenal pada 1975, tiada sebab mengapa Azman dan Zami sukar
mengulanginya dengan bertemankan lebih 60,000 penonton yang telah lama merindui
aksi antarabangsa bola sepak Malaysia.
Ini merupakan aksi sulung Malaysia di Kuala Lumpur
sejak skuad kebangsaan dibubarkan akibat kekalahan memalukan pada Sukan SEA XIX
Jakarta, Oktober 1997.
Sementara itu, aksi malam ini turut mencatatkan
kunjungan kedua kelab Arsenal yang pernah tumpas dengan dua jaringan Mokhtar
dalam perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Malaysia kemudian berjaya mengikat pelawat 1-1 dalam
perlawanan di Pulau Pinang hasil jaringan Isa Bakar.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan