ARKIB : 20/05/1999
PENYERANG Arsenal, Nwankwo Kanu (No 25) berjaya
melepasi kawalan tiga pemain pertahanan Malaysia pada perlawanan bola sepak
persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. Arsenal menang 2-0. -
Gambar ASWAD YAHYA.
MALAYSIA mempamerkan aksi meyakinkan apabila berjaya
mengekang Arsenal pada babak pertama namun naib juara Liga Perdana England itu
terlalu gagah apabila mudah mencari gol pada babak kedua untuk kemenangan 2-0
pada bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Di hadapan hampir 60,000 penonton, Arsenal mempamerkan
skil, teknik dan taktik yang tinggi tetapi hanya berjaya memecah kebuntuan
menghasilkan gol pada babak kedua.
Dua jaringan skuad Gunners oleh bintang Perancis,
Nicolas Anelka pada minit ke-54 dan Emmanuel Petit minit ke-67.
Malaysia melakukan sepak mula tetapi penguasaan
bahagian tengah Arsenal menjadikan perlawanan tertumpu dengan serangan-serangan
menarik kelab London itu.
Hantaran dan umpanan bola dari Petit dan Patrick
Vieira sentiasa mengancam bahagian pertahanan skuad negara yang mana rangkaian
tiga penyerang Marc Overmars, Nwankwo Kanu dan Anelka sedia menanti.
Tujuh percubaan dari Arsenal dan empat Malaysia.
Itulah persembahan babak pertama tetapi skuad negara lebih dulu hampir membuka
jaringan menerusi serangan mengejut pada minit kedua.
Zami Mohd. Nor yang berjaya mencari ruang kosong di
luar kotak penalti melepaskan tendangan rendah kaki kiri menuju ke gawang
Arsenal namun David Seaman melayangkan badan mendepa untuk menguis keluar.
Arsenal bagai terkejut tetapi tenang menyusun serangan
bermula dari Overmars empat minit selepas itu tetapi pemain itu dijatuhkan
untuk sepakan percuma.
Bintang Belanda itu mengambil sendiri sepakan dengan
melencongkan ke gawang Malaysia tetapi tepat ke dakapan penjaga gol Azmin Azram
Aziz.
Tiga minit selepas itu, Overmars melepasi sebelah kiri
dan mengumpan ke tengah namun Anelka menendang sipi dari tiang gol.
Skuad negara membalas dua minit kemudian menerusi
tendangan kencang Azman Adnan yang ditampan Seaman tetapi penyerang Pulau
Pinang itu lebih dulu berada pada posisi ofsaid.
Azmin sekali lagi berjaya menafikan percubaan Anelka
pada minit ke-17 apabila menguis keluar tendangan rendah pemain dari Perancis
itu.
Anelka yang dikawal ketat Moey Kok Hong mempunyai
peluang terbaik untuk membuka jaringan pada minit ke-33 apabila berjaya
meloloskan diri dan merembat kencang tetapi Azmin sekali lagi bertindak
cemerlang.
Azman yang begitu sukar melepasi benteng Arsenal terutama
Tony Adams tiba-tiba mengejutkan barisan pertahanan lawan apabila berjaya
melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-36 tetapi rembatan kaki kirinya
tersasar jauh.
Petit yang mempamerkan aksi bermutu di bahagian
tengah, membuat satu percubaan ke gawang tetapi terkeluar sipi dari bucu tiang
gol.
Arsenal menukar empat pemain sekali gus pada babak
kedua yang serta merta mengubah kedudukan. Selepas sembilan minit bermula,
Petit merampas bola dari kaki Wan Loon dan melencongkan cantik kepada Anelka
sebelum merembat masuk menewaskan Azmin.
Petit mempamerkan skil terbaik dengan percubaannya
dari luar kotak penalti pada minit ke-67 menuju masuk ke gawang skuad negara
buat kali kedua.
Tidak banyak serangan dilakukan skuad negara pada
babak kedua biarpun Adams dan Seaman digantikan dengan serangan Malaysia mudah
dipatahkan pertahanan lawan.
Begitu pun, Azman masih berupaya menguji penjaga gol
gantian Arsenal, John Lukic apabila membuat rembatan dari jarak 20 meter yang
memaksa Lukic melayangkan badan menepis keluar.
Oleh: JOHARI SHAWAL dan ABDUL HAFIZ AHMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan