ARKIB : 21/05/1999
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan sesuatu
kepada pengurus Arsenal, Arsene Wenger selepas perlawanan bola sepak
persahabatan antara Malaysia dengan kelab Inggeris itu di Stadium Nasional,
Bukit Jalil semalam. Arsenal menang 2-0.
ILMU sesingkat 90 minit yang dicurahkan Arsenal
kelmarin harus diumpama permata berharga yang perlu terus digilap oleh skuad
negara jika mahu martabat bola sepak Malaysia kembali melonjak.
Sekalipun tewas 2-0, Malaysia seharusnya berterima
kasih kepada kelab ternama dalam Liga Perdana England itu kerana telah
menyerlahkan segala kepincangan dari segi taktikal, teknikal dan kematangan
pemain negara.
Kekayaan tiga elemen itu yang dipamerkan naib juara
Liga England itu kelmarin sekali gus sebagai isyarat bahawa Malaysia
sememangnya memerlukan lebih banyak perlawanan di peringkat seumpama ini jika
mahu membina sebuah pasukan sehebat mereka.
Memang benar Arsenal tidak mempamerkan aksi seratus
peratus mereka dan masih memberi ruang buat pasukan negara melakukan
percubaan-percubaan tetapi Malaysia sebenarnya masih gagal menyaingi mereka.
Begitu pun, jurulatih negara Abdul Rahman Ibrahim
semestinya amat berbangga dengan kemampuan dan kesungguhan yang dipamerkan anak
buahnya semasa perlawanan itu.
Beliau juga pasti sudah dapat menilai setakat mana
kemampuan setiap anak didiknya selepas perlawanan itu.
Namun, menilai aksi mereka di Stadium Nasional, Bukit
Jalil itu membuktikan segenap posisi - pertahanan, tengah dan serangan - belum
cukup matang dan memerlukan masa untuk bimbingan berterusan.
Penyerang kembar Azman Adnan dan Zami Mohd. Nor harus
dipuji apabila sempat menguji David Seaman beberapa kali yang membuktikan
negara sebenarnya tidak kekurangan penyerang berbakat.
Bagaimanapun, kurangnya sokongan rakan dari bahagian
tengah untuk mengilham gerakan selain kawalan ketat pertahanan lawan
menyaksikan ruang aksi Azman dan Zami sentiasa terbatas.
Yap Wai Loon mendapat pujian bos Arsenal, Arsene
Wenger tetapi pemain tengah Sabah itu bersama Ahmad Shahruddin Rosdi tampak
kurang idea untuk menjana nadi serangan.
Keputusan perlawanan itu sebenarnya tidak
memeranjatkan kerana Arsenal bukanlah tandingan Malaysia tetapi mungkin kejutan
bagi kita kerana skuad negara berjaya menyekat kelab Highbury itu daripada
berpesta gol seperti yang dijangkakan sebelum ini.
Pertahanan negara yang membariskan V. Thinagaran, Moey
Kok Hong, Abdul Ghani Malek dan M. Elangoo serta B. Rajinikandh boleh diberi
markah tinggi malah Wenger sendiri turut kagum dengan kemampuan mereka.
Cuma kurangnya kepantasan dan ketahanan fizikal selain
pengalaman cetek terserlah sebagai antara elemen kelemahan mereka.
Mungkin Rahman mempunyai alasan skuad itu baru
dibentuk dan menghadapi pasukan yang dibarisi pemain bertaraf dunia seperti
Emmanuel Petit, Nicolas Anelka (Perancis), Marc Overmars (Belanda), Nwankwo
Kanu (Nigeria), Tony Adams dan David Seaman (England).
Begitu pun, skuad negara masih punya harapan untuk
kembali mengubat luka lama Sukan SEA 1997 dan tangga ke-116 Malaysia dalam
senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) adalah satu cabaran bagi
mereka.
Justeru, limpahan pendedahan di peringkat antarabangsa
menjadi kemestian untuk mengubah nasib dan kedudukan bola sepak negara ke tahap
yang lebih terhormat.
Tanggal 1 dan 3 Julai ini, New Zealand bakal menjadi
guru Malaysia berikutnya selain tiga perlawanan di Uzbekistan menyusul pada
7-14 Julai menjadi bekalan sebelum menebus maruah yang tercalar dalam tugasan
sebenar - Sukan SEA XX Brunei, Ogos ini.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan