Sabtu, 23 November 2019

Rusdi ganti Azman


ARKIB : 24/07/1999
PENGGUGURAN Azman Adnan tidak menjejaskan kemantapan barisan serangan negara dengan gandingan baru Azizul Kamaludin dan Rusdi Suparman mengharungi cabaran bola sepak lelaki pada Sukan SEA XX di Brunei, bulan depan.
Azman digugurkan daripada skuad itu oleh ketua jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim kelmarin kerana bimbang risiko kecederaan kaki yang dialaminya menjejaskan cabaran negara pada temasya itu.
Abdul Rahman seperti dipetik dalam akhbar The Star sebagai berkata: ''Walau pun saya ingin memasukkan Azman, namun saya tidak mahu mempunyai pemain yang cedera di Brunei.
Jurulatih, Lim Chuan Chin yang mengendalikan latihan skuad negara di padang MSN, Bukit Jalil semalam, juga tidak mengetahui ke mana perginya Azman selepas menabur janji kosong.
''Azman berjanji untuk berjumpa doktor dan berjanji untuk menyaksikan latihan rakan sepasukannya. Namun dia tidak menunjukkan muka langsung hari ini (semalam).
''Dalam sesi latihan ini, kami menumpukan kepada kekuatan mental. Rusdi Suparman, Wan Rohaimi, Shaharuddin Rosdi dan Nazri Yusof kini dibelenggu kecederaan, tetapi disifatkan bukan di tahap serius,'' kata Lim.
Sementara itu, Rusdi mengakui gandingannya dengan Azizul Kamaluddin menjanjikan sesuatu di Brunei, walaupun dia turut dibebani kecederaan kaki.
''Ia cabaran pertama saya dalam Sukan SEA dan saya cukup bangga dapat mewakili negara. Kecederaan ini berlaku pada perlawanan persabahatan kedua menentang Myanmar baru-baru ini.
''Kombinasi saya dengan Azizul juga bertambah baik. Saya tidak kisah digandingkan dengannya selepas ketiadaan Azman,'' kata Rusdi, 26, yang tidak menduga dipilih oleh Abdul Rahman.
Penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Aziz berkata, dia dan rakan sepasukan akan memastikan kemenangan pertama ke atas Singapura, 31 Julai ini.
''Fikiran saya hanya terbayang cabaran Singapura kerana kita perlu menang untuk meneruskan langkah.
''Tahap permainan antara pasukan sekumpulan agak setanding dan Malaysia tetap berpeluang melangkah lebih jauh,'' kata Azmin beraksi pada Sukan SEA buat kali kedua selepas Jakarta 1997.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan