ARKIB : 04/05/1999
AZMAN ADNAN kembali dalam skuad negara selepas dua
tahun tidak dipanggil.
BEKAS penyerang sensasi negara, Azman Adnan, yang
disisihkan daripada skuad bola sepak kebangsaan sejak Sukan SEA 1997 Jakarta
dua tahun lalu, kembali menyarung jersi kebangsaan selepas namanya disenaraikan
dalam skuad baru yang diumumkan semalam.
Bekas bintang Selangor itu yang kini beraksi dengan
Pulau Pinang dalam Liga Malaysia, dipilih bersama-sama 42 lagi pemain bagi
memikul tugas negara terutama perlawanan persahabatan menentang kelab Liga
Perdana England, Arsenal pada 19 Mei ini di Kuala Lumpur.
Selain pemain berusia 28 tahun itu, penyerang Selangor
Rusdi Suparman, Wan Rohaimi Wan Ismail dari Pahang dan penyerang muda Cheah
Kean Seang (Kedah).
Jurulatih skuad negara, Abdul Rahman Ibrahim ketika
mengumumkan barisan baru skuad negara itu berkata, pemilihan 43 pemain itu
dibuat berdasarkan persembahan terkini masing-masing dalam kempen Liga
Malaysia.
''Barisan ini adalah adunan antara pemain lama dan
baru dan mereka dipilih berdasarkan prestasi baik selepas tamat pusingan
pertama Liga Perdana selain pengalaman pemain itu sendiri.
''Saya anggap mereka adalah yang terbaik dan mampu
menghasilkan keputusan yang terbaik,'' kata Abdul Rahman dalam sidang media di
Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Menurut jurulatih itu, kriteria lain pemilihan
berdasarkan kekerapan diturunkan selaku kesebelasan utama pasukan negeri
masing-masing sepanjang musim lepas dan musim ini.
Azman tidak berada dalam senarai pasukan kebangsaan
sejak pasukan negara dibubarkan selepas aib yang diterima di Jakarta dua tahun
lalu.
Prestasi Azman dalam Liga Malaysia musim ini amat
memberangsangkan apabila menjaringkan tujuh gol daripada 10 perlawanan untuk
membantu Pulau Pinang menerajui Liga Perdana Satu.
Turut berada dalam senarai kali ini ialah perancang
utama Perak, Azrul Amri Burhan selain pemain lama dalam skuad kebangsaan, B.
Rajinikandh, Ahmad Shahrudin Rosdi, Yusri Che Lah, Anuar Jusoh, Syamsul Amri
Abu Bakar dan Zami Mohd. Nor.
Penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Aziz masih
disenaraikan tetapi Abdul Rahman turut memanggil penjaga gol Pulau Pinang,
Azlisham Ibrahim dan Mudzar Mohamad dari Pahang.
Bagaimanapun pemain Selangor, K. Sanbagamaran dan
Faizal Zainal dari Negeri Sembilan tidak berada dalam senarai Abdul Rahman kali
ini.
Begitu pun, jumlah itu akan dikurangkan untuk
satu-satu kejohanan atau pertandingan sebelum pasukan 22 pemain dibentuk untuk
temasya Sukan SEA XX di Brunei, Ogos ini.
''Semua pemain diminta melaporkan diri di FAM pada 12
Mei ini untuk latihan pusat. Kita mungkin akan mengadakan sekurang-kurangnya
satu perlawanan persahabatan sebelum menentang Arsenal,'' kata jurulatih itu.
Selain menentang Arsenal, pasukan yang kini bertakhta
di persada Liga Perdana England, skuad negara bakal mengadakan perlawanan persahabatan
dengan pasukan kebangsaan New Zealand di Kuala Lumpur pada 1 dan 3 Julai,
lawatan ke Uzbekistan pada 7-14 Julai dan menentang Singapura pada 22 Julai
sebelum mengharungi Sukan SEA Brunei.
''Kita harap selepas mengharungi semua perlawanan
persahabatan itu, kita mempunyai pasukan teras yang kemungkinan terdiri
daripada tiga perempat pemain senior dan satu perempat junior untuk Sukan SEA
di Brunei, Ogos ini,'' kata Abdul Rahman.
SENARAI PEMAIN
Penjaga gol: Azlisham Ibrahim (Pulau Pinang), Azmin Azram Aziz (Negeri Sembilan), Mudzar Mohamad (Pahang).
Penjaga gol: Azlisham Ibrahim (Pulau Pinang), Azmin Azram Aziz (Negeri Sembilan), Mudzar Mohamad (Pahang).
Pertahanan: V. Thinagaran (Pulau Pinang), Abdul Ghani Malek
(Terengganu), Syamsul Amri Abu Bakar (Selangor), Mohd. Ali Tahar (Pahang),
Azmil Azali (Johor), Adrien Jurad Chamrong (Kedah), Moey Kok Hong (Pulau
Pinang).
Tengah: Nazri Yunos (Sarawak), Anuar Jusoh (Terengganu),
Chan Wing Hoong (Perak), Asmawi Bakiri (Pulau Pinang), Zami Mohd. Nora (Negeri
Sembilan), M. Elangoo (Negeri Sembilan), B. Rajinikandh (Negeri Sembilan),
Ahmad Shahruddin Rosdi (Pahang), Yusri Che Lah (Perlis), Idris Karim (Johor),
Azrul Amri Burhan (Perak), Rizal Sukiman (Johor), Yap Wai Loon (Sabah), Ahmad
Shahrul Azhar Sofian (Negeri Sembilan).
Penyerang: Azman Adnan (Pulau Pinang), Rusdi Suparman
(Selangor), Wan Rohaimi Wan Ismail (Pahang), Cheah Kean Seng (Kedah).
Pemain simpanan: Amirul Zain Ismail, Lim Chan
Yew (Selangor), M. Karunakaran, Azali Mat Jusoh, Mohd. Farid Dewan, G. Muthu
(Kuala Lumpur), Rezal Zambery Yahya (Johor), Mohd. Hamzani Omar (Johor FC),
Mohd. Hairul Nizam (Pahang), Rizal Awang Jad (Sabah), Ahmad Zalghafari Manaf,
Rafiz Abu Bakar (Kedah), Sri Jaafar A. Rahman (Melaka).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan