Sabtu, 23 November 2019

Arsenal sedia gempur


ARKIB : 19/05/1999
BINTANG Arsenal, Marc Overmars bersama rakan-rakan sepasukan berjalan masuk ke hotel penginapan di Petaling Jaya dan disambut meriah oleh sebahagian peminat kecil sejurus tiba dari London, semalam untuk perlawanan bola sepak persahabatan menentang Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.


ARSENAL menjanjikan persembahan bermutu seperti mana menentang Aston Villa pada perlawanan terakhir Liga Perdana England, Ahad lalu apabila turun menentang Malaysia pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Pengurus skuad Gunners, Arsene Wenger berkata, pasukannya hadir ke Malaysia bukan sekadar memenuhi undangan tetapi meneruskan aksi cemerlang mereka.
Pengurus dari Perancis itu juga menjamin anak buahnya akan mempamerkan aksi konsisten seperti dalam Liga England dan tidak sekadar sambil lewa.
''Kami ke Malaysia untuk bermain bola sepak dan bukannya berhibur atau bercuti. Kami akan persembahkan kepakaran Arsenal menerusi cara yang terbaik di sini,'' katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya, semalam.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Paul Mony Samuel serta empat pemain Arsenal - Tony Adams, David Seaman, Patrick Vieira, Marc Overmars.
Mewakili skuad negara pula ialah jurulatih Abdul Rahman Ibrahim dan tiga pemain utama, Azman Adnan, Zami Mohd. Nor dan B. Rajinikandh.
Arsenal, juara Piala FA dan Liga Perdana England musim lalu tiba di Kuala Lumpur bersama bintang Piala Dunia lalu seperti Emmanuel Petit, Viera, Nicolas Anelka dari Perancis, Overmars (Belanda), Adams, Seaman (England) dan Nwankwo Kanu dari Nigeria

Tiada ulasan:

Catat Ulasan