ARKIB : 23/07/1999
TANDA tanya penampilan Azman Adnan bersama skuad bola
sepak negara ke Sukan SEA XX Brunei, bulan depan di sebalik kecederaan buku
lali kirinya, akan terjawab hari ini.
Jika laporan doktor menggalakkan, Azman mungkin
mendapat peluang kedua tetapi andai kata sebaliknya, penyerang Pulau Pinang itu
cuma boleh mengucapkan selamat jalan kepada rakan lain.
Jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim berkata, dia
masih mengharapkan Azman beroleh 'keajaiban' untuk kembali bersama biarpun agak
tipis.
''Saya perlu mendapatkan laporan doktor dulu sebelum
membuat sebarang keputusan untuk membawa Azman kembali atau tidak.
''Bagaimanapun kita harus akur kepada tahap
kecergasannya yang mungkin rendah setelah tidak bersama skuad negara sejak
menentang Arsenal, Mei lalu,'' kata Rahman.
Cuma 18 pemain akan dipilih Isnin ini ke Brunei untuk
memikul cabaran negara mengakhiri kemarau kemaraan ke separuh akhir sejak Sukan
SEA 1989 di Kuala Lumpur.
Rahman turut membayangkan untuk terus bersandarkan
tenaga yang pernah beraksi ketika Malaysia tewas 0-2 kepada kelab gergasi
England, Arsenal di Kuala Lumpur, lalu.
''Saya sudah memiliki antara lapan hingga 12 pemain
teras. Selepas beberapa ujian, saya dapati tidak perlu membuat banyak
rombakan,'' katanya.
Rahman turut mengakui, biarpun tanpa Azman, jentera
serangan skuad negara sudah mula meraih keyakinannya menerusi gandingan Azizul
Kamaluddin, Rusdi Suparman dan Wan Rohaimi Ismail.
Selepas Arsenal, skuad negara sudah menempuh lapan
perlawanan persahabatan dalam rangka persediaan ke Brunei bagi menebus aib yang
terpalit di Jakarta, dua tahun lalu.
Skuad negara mencatat tiga kemenangan, seri dua kali
dan kalah tiga kali sepanjang perlawanan menentang Olimpik Iraq, New Zealand di
Kuala Lumpur di samping siri kunjungan ke Uzbekistan dan Myanmar.
Sementara itu, Rahman memberikan pengecualian kepada
tujuh daripada 22 pelatih skuad negara untuk sesi latihan di padang Majlis
Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.
Mereka ialah Rohaimi, Azizul, Yap Wai Loon, V.
Thinagaran, Ahmad Shahruddin Rosdi, Nazri Yunos dan V. Murugan.
''Tenaga mereka telah banyak digunakan dan tiba
masanya mereka diberi sedikit rehat,'' katanya.
Manakala tiga pemain yang tidak ke Myanmar - Azlisham
Ibrahim, Nizaruddin Yusuf dan Bakhtiar Othman kembali menyertai latihan.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan