Sabtu, 11 Mac 2017

Kubu Sin Kiat terlalu kebal

ARKIB : 17/10/2000
EFENDI Malek dan Azman Adnan yang dipertanggungjawabkan selaku mesin pemusnah bagi Negeri Sembilan terpaksa melangkah meninggalkan Stadium Shah Alam kelmarin sebagai orang paling kecewa.

Semuanya gara-gara ketangkasan penjaga gol Perak, Tay Sin Kiat menepis percubaan mereka berdua dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyaksikan Negeri Sembilan tunduk 2-0.

Jika salah seorang daripada penyerang berbahaya Negeri Sembilan itu berjaya menjinakkan Sin Kiat, keputusan perlawanan mungkin berubah.

Azman yang penuh dengan ilmu di dada sekali pun tidak mampu menumpaskan kecekapan penjaga gol yang berasal dari Johor itu, dia kelihatan mengalirkan air mata sebaik sahaja perlawanan tamat. Dalam perlawanan itu, peluang terbaik Azman - yang dipanggil semula menyertai kem latihan skuad kebangsaan - untuk membakar semangat juang pasukannya muncul pada minit ke-53, namun Sin Kiat terus menjadi tembok penghalang.

Selepas mendapat bola, Azman mengelecek pemain pertahanan di dalam kawasan gol dan kemudian membuat sepakan kencang yang meluru ke sebelah kanan gawang membuatkan para penyokong Perak resah.

Namun Sin Kiat melayangkan badan untuk menepis bola, menyelamatkan keadaan dan menghampakan Azman yang menjaringkan 10 gol dalam kempen Perdana Satu.

Rakannya, Efendi juga seperti hilang idea untuk menewaskan penjaga gol Perak itu. Sin Kiat seolah-olah sudah membaca ke arah mana sepakan-sepakan penyerang muda Negeri Sembilan itu.

''Ia adalah satu perlawanan penting. Dalam perlawanan seperti itu kita mesti memberikan yang terbaik,'' kata Sin Kiat di Shah Alam semalam.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, tiada perasaan gementar dalam dirinya ketika beraksi dalam perlawanan itu sekali pun sedar berdepan dengan dua penyerang berbisa.

Sin Kiat sebelum ini bermain dengan Johor sebelum berhijrah ke Terengganu dan kemudian ke Perak. Tahun lepas, dia membantu Terengganu muncul naib juara Piala FA kepada Kuala Lumpur dan pada 1998 skuad Penyu itu tunduk kepada Perak dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

''Saya cukup gembira kerana membantu Perak muncul juara Piala Malaysia pada tahun pertama saya bersama mereka,'' katanya. ''Kemenangan ini juga menyempurnakan impian saya untuk merangkul Piala Malaysia setelah hanya membantu Terengganu menjadi naib juara pada 1998.''
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4b5WUXou6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan