ARKIB : 11/10/2000
BAYANGAN bahawa pasukan bola
sepak kebangsaan memiliki barisan hadapan terhebat pada kejohanan Piala Tiger
di Thailand bulan depan sudah mula dirasakan apabila bekas penyerang, Azman
Adnan dipanggil semula untuk berganding dengan Rusdi Suparman.
Kedua-dua pemain itu pernah
berganding selama empat tahun dan selepas tiga tahun berpisah, dua penyerang
sensasi itu kembali bersama dalam pasukan kebangsaan, sekali gus membayangkan
pasukan kebangsaan bakal memiliki barisan serangan paling berbisa.
Rusdi dan Azman pernah bermain
bersama untuk Selangor dari 1993 hingga 1997 sebelum Azman berhijrah ke Pulau
Pinang dan kini bersama Negeri Sembilan.
''Saya melihat kemasukan semula
Azman adalah satu perkembangan baik untuk pasukan negara,'' kata Rusdi selepas
latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. ''Dia telah membuktikan tenaga dan
kemahirannya masih berbisa sepanjang kempen liga tahun ini.''
Rusdi dan Azman terbukti sama
hebat tahun ini dengan sama-sama menjaringkan 10 gol dalam kempen Perdana Satu.
Penyerang Red Giants itu
bagaimanapun sudah berjaya membantu Selangor muncul juara liga sementara Azman
masih mempunyai misi untuk meletakkan Negeri Sembilan muncul juara Piala
Malaysia pertama pada alaf baru.
Rusdi hanya mula menyertai
latihan pasukan kebangsaan semalam kerana terlibat dengan perlawanan separuh
akhir Piala Malaysia dengan Perak.
Mereka gagal mara ke perlawanan
akhir setelah tewas dengan agregat 4-2.
Selain penyerang Red Giants
itu, turut menyertai 14 pemain lain yang telah melaporkan diri sejak awal
Oktober ialah Yusri Che Lah, B. Rajnikandh dan Jaafar Salleh serta dua pemain
Sarawak, Bobby Pian dan Ramos Sari. Bagaimanapun, penjaga gol Selangor, Azmin
Azram Abdul Aziz, tidak bersama kerana masih mempunyai masalah peribadi.
Azman kali terakhir mewakili
negara pada 1997, namun prestasinya yang konsisten tahun ini menarik minat
jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim untuk memanggilnya menyertai kem
latihan. Dia bagaimanapun akan hanya menyertai latihan dua hari selepas
perlawanan akhir Piala Malaysia pada 15 Oktober
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b5DP9Xrq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan