ARKIB : 15/10/2000
BAGI pemain pertahanan Perak,
Abu Bakar Fadzim, beliau mengakui mempunyai perhitungan tersendiri dengan
penyerang Negeri Sembilan, Azman Adnan.
Selain bakal mengawasi
kelincahan dan kelibat Azman, Abu Bakar juga mahu mengakhiri persaingannya
dengan penyerang skuad Rusa itu dengan cemerlang.
''Sebolehnya saya mahu
menghalang dia daripada menjaringkan gol memandangkan dalam tiga perlawanan
sebelum ini, Azman sentiasa berjaya melepasi kawalan ketat saya.
''Kali ini, saya akan
habis-habisan menghalangnya walaupun pasukan kami tidak mengamalkan taktik man
to man marking, ujarnya.
Abu Bakar berkata, tiada lagi
rahsia antara dia dan Azman kerana masing-masing sudah mengetahui kelemahan dan
kelebihan sendiri.
''Sepanjang musim ini, sayalah
yang mengawalnya setiap kali Perak dan Negeri Sembilan bertemu. Kecuali sekali
saya tidak diturunkan ketika bermain di Seremban pada peringkat kumpulan Piala
Malaysia,'' jelasnya.
Dengan memiliki usia,
pengalaman dan kelincahan yang sama, persaingan antara kedua-dua pemain
dijangka menjadi tumpuan dan penentu hala tuju pasukan masing-masing untuk muncul
juara.
Bagaimanapun Abu Bakar tidak
menafikan bukan Azman saja yang perlu diawasi malah penyerang seperti Effendi
Malek dan pemain tengah Negeri Sembilan juga mampu menjaringkan gol.
''Jadi terserahlah pada
jurulatih Karl Heinz Weigang untuk mengatasi jentera serangan Negeri Sembilan
kerana saya percaya dia punya strategi khas untuk menghalangnya,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4b5RTWGAJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan