Ahad, 26 Mac 2017

NS yakin akan lebih mencabar



ARKIB : 10/01/2003
NEGERI Sembilan bakal menjadi antara pasukan yang memberi cabaran hebat pada Liga Perdana Dua musim ini apabila dibarisi dengan pemain-pemain yang sudah mencipta nama dalam arena bola sepak negara.

Nama pemain seperti Azman Adnan, Azrul Amri Borhan, Anuar Jusoh, Lim Chan Yew, Aiman Wong, Azlisham Ibrahim, B. Rajinikandh dan Lim Chan Yew membuktikan impian pasukan negeri beradat ini untuk mengembalikan kege milangan silam.

Ternyata, pasukan Rusa yang berada tempat tercorot musim lalu hingga tergelincir ke Divisyen Dua tidak mematahkan semangatnya malah pembentukan pemain bagi musim ini disifatkan agak rapi dalam semua posisi.

Impian itu dinyatakan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Abdullah Sani dengan sasaran muncul juara Divisyen Dua dan seterusnya disenaraikan dalam Divisyen Satu pada musim depan.

Malah PBNS, katanya memperuntukkan RM2.4 juta dalam menyediakan pasukan yang akan bersaing pada Liga Perdana Dua musim ini.

``Pelaburan besar ini diharapkan akan mendatangkan pulangan lumayan.

``Saya yakin para pemain memahami hasrat ini dan akan sentiasa menunjukkan komitmen untuk beraksi cemerlang dalam mencapai sasaran itu,'' katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak pemain di Wisma PBNS, di Seremban semalam.

Sebanyak 20 pemain menandatangani kontrak berkenaan yang turut disaksikan oleh Timbalan Presiden PBNS, Datuk Jamaludin Ahmad yang juga pengurus pasukan, penolong pengurus pasukan Zailan Othman dan jurulatih, K. Devan.

Azman, Khairul dan Rajinikandh pernah beraksi bersama Negeri Sembilan sebelum ini, manakala pemain lain kali pertama mewakili skuad Rusa.

Azman, Rajinikandh, Aiman Wong, Azlisham dan Chan Yew mewakili Selangor pada musim lalu, manakala Azrul (Kelanatan TNB) dan Khairul (Telekom Melaka).

Abdullah Sani yang juga Pegawai Kewangan Negeri berkata, kontrak semua pemain itu adalah untuk tempoh setahun dana kan diperbaharui jika PBNS berpuas hati dengan prestasi mereka.

Ketika ditanya mengenai pengambilan pemain import untuk pasukan itu pada musim ini, Abdullah berkata, PBNS masih mencari pemain yang sesuai dan setakat ini pihaknya telah mencuba lima orang pemain.

``Kita masih mencuba beberapa orang pemain import termasuk pemain berasal dari Ghana, Bright Ayrakua yang baru tiba semalam.

``PBNS tengah cari pemain yang sesuai, lagipun kita masih ada masa lagi sebelum tarikh pendaftaran tamat,'' ujarnya.

Mengenai isu penyerang Pulau Pinang, Hasmawi Hassan yang enggan bermain dengan Negeri Sembilan walaupun sudah menandatangani surat persetujuan, beliau berkata, PBNS telah menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jelas beliau, walaupun pihaknya menerima surat rayuan daripada Hasmawi tetapi tidak dapat menerima alasan yang diberikannya dan meminta FAM mengenakan tindakan terhadap pemain terbabit.

Dalam perkembangan lain, Abdullah merayu para penyokong skuad Rusa supaya memberikan sokongan yang padu kepada pasukan negeri itu memandangkan mereka akan bermain di Stadium Hang Tuah, Melaka pada tahun ini.

Katanya, PBNS akan cuba mengurangkan harga tiket bagi setiap perlawanan yang disertai oleh pasukan negeri itu bagi membolehkan para penyokong terbabit hadir memberikan sokongan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4cUg9AidC© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan