Sabtu, 11 Mac 2017

Azman, Azrul memburu impian

ARKIB : 15/10/2000
SEBAIK sahaja wisel pertama ditiup oleh pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini, maka bermulalah juga pertembungan antara dua pemain terbaik yang lahir dari lubuk yang sama - Kuala Lumpur.

Azman Adnan dan Azrul Amri Burhan tidak kekal lama di ibu kota, membawa haluan masing-masing, mewakili pasukan yang berlawanan, namun menimba pengetahuan dan menggilap bakat di Lembah Klang di bawah tunjuk ajar Chow Kwai Lam.

Azman sudah berpindah-randah, meninggalkan Kuala Lumpur untuk menyertai Selangor sebelum ke Pulau Pinang dan kini berkhidmat untuk pasukan negeri kelahirannya, Negeri Sembilan.

Azrul pula meninggalkan Lembah Klang untuk menyertai Perak.

Kedua-duanya juga mempunyai sejarah hitam dalam diri masing-masing, tetapi di waktu ini bukan masanya untuk mengungkit kesilapan masa lalu. Apatah lagi kedua-dua pemain itu sudah berubah dan tahun ini menjadi antara pemain paling diperkatakan.

Azman menerima pengiktirafan rasmi sebagai antara penyerang terbaik dimiliki oleh Malaysia ketika ini apabila dipanggil semula menyertai latihan skuad kebangsaan berkat permainan konsistennya, selepas hampir dua tahun tercicir.

Sebagai antara penyerang terbaik dalam kempen Perdana Satu dengan 10 gol tahun ini, Azman terus dihormati kawan dan digeruni lawan dengan kemampuannya melepasi kawalan benteng lawan dengan gerakan lincah, kawalan bola kemas dan yang paling dikagumi ialah kemampuannya membuat sepakan sambil membuat 'turning.'

Azrul pula walaupun tidak bertindak sebagai penyerang, namun semakin matang di bahagian tengah. Buktinya ialah bagaimana dia merencana gerakan untuk memporak-perandakan Selangor pada perlawanan separuh akhir kedua di Ipoh minggu lepas.

Sentuhan penyudah bekas pemain kebangsaan itu apabila mendapat peluang di depan gawang juga tidak kurang hebatnya.

Berganding dengan seorang lagi pemain muda, Ahmad Shahrul Azhar, bahagian tengah Perak kelihatan sudah pun mengatasi Negeri Sembilan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b5PTes3a © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan