Jumaat, 31 Mac 2017

Negeri Sembilan, Public Bank menang besar



ARKIB : 28/04/2003

NEGERI SEMBILAN mencatat kemenangan terbesar dalam bola sepak Liga Perdana Dua musim ini selepas menang 7-2 ke atas Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor di Stadium Hang Tuah semalam, sekali gus melonjakkan pasukan itu di tangga kedua.

MPPJ menerima kekalahan besar itu selepas terpaksa bermain sepuluh orang pada sepanjang perlawanan apabila penjaga golnya, Jamsari Sabian dibuang padang ketika perlawanan baru berusia tiga minit kerana memegang bola di luar kawasan golnya.

Negeri Sembilan menggunakan kesempatan itu sepenuhnya dengan bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan menjaringkan hatrik pada minit ke-73, 85 dan 90.

Luciano Osmar Gonzale pula menjaringkan dua gol minit ke-33 dan 53.

Dua gol lagi dijaringkan oleh Everson Matinelli (32) dan Anuar Jusoh (51).

Manakala gol MPPJ dijaringkan oleh Juan Manuel Arostegui (58) dan Bruno Sebastian Martelotto (77).

Negeri Sembilan kini mengumpul 22 mata daripada 11 perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu liga, Johor yang tidak bermain semalam.

Di Stadium Selayang, Public Bank turut mencatat kemenangan besar 7-2 ke atas Tentera untuk melonjak ke tangga ketiga.

Pemain import Public Bank dari Slovakia, Milan Strelec menjaringkan empat gol pada minit kelima, 7, 88 dan 89) dan satu gol masing-masing oleh Ivan Ziga (39), Naszli Abu Bakar (51) dan S. Paidiya Rau.

Tentera, yang cuma menang dua dari 11 perlawanan, memperolehi gol menerusi Ahmad Nizam Ariffin (42) dan S. Raju (51).

Di Stadium KLFA, Cheras, perlawanan antara Kuala Lumpur dan Polis berkesudahan seri 1-1.

Polis membuka jaringan menerusi J. Manogaran pada minit ke-64 sebelum Safi Sali menyamakan kedudukan minit ke-71.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cu7vGsic
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan