ARKIB : 20/01/2002
PARA pemain Selangor ceria bersama Piala Sultan Ahmad Shah selepas memenangi perlawanan bola sepak sumbangsih dengan menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam. - Gambar KASWADI YUSOFF.
Oleh MOHD. LAZIM ENDUT dan JAMDI NASIR
SELANGOR membuka tirai Liga Malaysia dengan bergaya apabila berjaya menundukkan Terengganu 2-1 dalam perlawanan bola sepak sumbangsih untuk merangkul Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.
Kemenangan ke atas juara Piala Malaysia itu membuktikan janji jurulatih Selangor, Abdul Rahman Ibrahim untuk kembali cemerlang pada musim ini.
Malah kejayaan cukup bermakna yang berlangsung dalam suasana mendebarkan memberikan tiga mata penuh kepada Selangor pada kempen pembukaan Liga Perdana Satu.
Dua jaringan bekas pemain kebangsaan, Azman Adnan pada minit ke-53 dan 73 menafikan hasrat Penyu untuk memastikan Piala Sumbangsih terus kekal di Terengganu.
Turut menyaksikan perlawanan antara Juara Piala Malaysia dan Piala FA itu adalah naib presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.
Terengganu mengatur asakan ke pintu gol lawan sebaik wisel permulaan ditiupkan, tetapi pemainnya gagal memanfaatkan beberapa percubaan.
Pada minit ketujuh pemain import dari Ghana, Seidu Issifu membuat percubaan di luar kotak penalti Selangor, namun sepakannya terkeluar di sebelah kanan pintu gol.
Wan Rohaimi Ismail mengancam kubu Selangor tiga minit kemudian, tetapi rembatan kencangnya berjaya ditepis penjaga gol pasukan pelawat, Azmin Azram Abdul Aziz.
Usaha gigih Terengganu untuk memburu gol pembukaan berhasil pada minit ke-20 selepas Wan Rohaimi menanduk masuk bola tendangan sudut Rosdi Talib.
Ketinggalan 0-1, Selangor cuba melakukan serangan balas melalui gerakan Azman dan Jaafar Salleh, dan bertindak garang sejurus babak kedua bermula dengan gandingan Azman dan Nizaruddin Yusof mengancam kubu pertahanan lawan.
Peluang terbaik Selangor untuk menyamakan kedudukan tiba pada minit ke-47, tetapi tandukan Nizaruddin tersasar keluar.
Usaha keras Selangor akhirnya berhasil pada minit ke-53 apabila Azman menyamakan kedudukan selepas menerima hantaran Muhd. Sukor Adan.
Azman memastikan kemenangan 2-1 Selangor pada minit ke-73, kali ini dia menghukum kesilapan penjaga gol Terengganu, Md. Samsuri yang gagal menangkap bola tinggi.
Sementara itu jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris menyalahkan kealpaan pemainnya pada separuh masa kedua sebagai punca kekalahan skuad Penyu.
Katanya lagi, ketiadaan ketua pasukan skuad bawah-23 kebangsaan, Hairuddin Omar turut memberi kesan kepada bahagian tengah Terengganu.
``Saya juga kurang berpuas hati dengan persembahan Seidu Issifu malam ini. Dia jelas tidak cukup cergas untuk beraksi,'' katanya.
Jurulatih Selangor, Abdul Rahman Ibrahim menafikan kemenangan pasukannya adalah kerana Terengganu melakukan kesilapan.
``Pemain kami memang bermain baik terutama pada babak kedua. Gol kemenangan Azman bukan kerana penjaga gol lawan membuat kesilapan, tetapi ia memang jaringan yang cantik,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bqnIlfIO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan