Selasa, 21 Mac 2017

Jaringan Azman selamatkan maruah Selangor

ARKIB : 21/03/2002
 PEMAIN Selangor, Aiman Wong Abdullah diasak oleh pemain Perlis, Nazzab Hidzan dalam perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, semalam. Kedua-dua pasukan seri 1-1. - Gambar ZAKI AMIRUDDIN.

JARINGAN penyerang veteran, Azman Adnan 15 minit sebelum tamat permainan menyelamatkan Selangor daripada diaibkan apabila mengikat Perlis 1-1 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, semalam lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

Selangor yang terlepas peluang untuk merapatkan mata dengan pendahulu liga, Perak dikejutkan seawal minit kedua apabila Perlis membuka jaringan menerusi rembatan Mohd. Rizal Hassan.

Tersentap dengan gol awal pasukan pelawat, Selangor menggandakan asakan dan memperoleh sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, selain dihadiahkan dua sepakan percuma pada separuh masa pertama.

Penyerang muda, Mohd. Fareed Shah Hassan hampir memberi gol penyamaan pada minit ke-30 tetapi rembatannya dari luar kotak penalti melepasi palang gol, manakala sepakan Azman pada minit ke-44 tersasar di sebelah kiri pintu gol Perlis.

Selangor melebarkan penguasaan pada separuh masa kedua dan memperoleh empat lagi sepakan percuma, begitu pun ketangkasan penjaga gol lawan, Amran Omar terus menafikan hasrat mereka untuk mencari gol penyamaan termasuk termasuk menepis rembatan cantik Azman pada minit ke-53.

Usaha pasukan Red Giants akhirnya berhasil pada minit ke-75 apabila Azman berjaya memperdayakan dua pertahanan lawan dan melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan Amran.

Keputusan seri meletakkan Perlis berkongsi mata dengan Pulau Pinang di tangga ketiga, manakala Selangor kekal di tangga kedua liga di belakang Perak menerusi 19 mata, dua mata di belakang pendahulu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4by1z0qop© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan