ARKIB : 15/05/1999
ABDUL Rahman Ibrahim berbual seketika dengan Azman
Adnan semasa latihan skuad bola sepak negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam
menjelang perlawanan persahabatan menentang Arsenal, Rabu ini. - Gambar MOHD.
NOOR AMIN.
JURULATIH negara, Abdul Rahman Ibrahim berkata,
kesebelasan utama skuad bola sepak kebangsaan yang bakal menentang Arsenal Rabu
ini dipilih di kalangan pemain senior kerana pemain muda belum bersedia untuk
beraksi pada peringkat antarabangsa.
Katanya, pemain muda yang berada dalam senarai utama
dan simpanan baginya kurang pengalaman dan belum mampu beraksi di peringkat
itu.
''Apa lagi menentang pasukan yang kuat seperti Arsenal
ini. Pastinya kita tidak harus menurunkan pemain yang kurang atau tidak
mempunyai pengalaman langsung di peringkat antarabangsa untuk menentang pasukan
segagah itu,'' katanya.
Bagaimanapun menurut Abdul Rahman, kenyataannya itu
bukan bermakna pemain muda tidak akan mendapat tempat dalam skuad kebangsaan.
''Saya nyatakan hanya mengenai perlawanan dengan
Arsenal. Ini bukannya untuk membunuh karier mereka tetapi kita harus realistik
dalam menyediakan pasukan yang betul untuk menentang kelab itu,'' kata
jurulatih itu selepas latihan skuad negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Menurut Abdul Rahman, pemain muda yang dipanggil
berlatih dalam skuad negara bagaimanapun masih berpeluang mendapat tempat untuk
perlawanan-perlawanan persahabatan akan datang sebelum pemilihan terakhir bagi
Sukan SEA XX Brunei, Ogos ini.
''Jadi, tidak timbul soal gugur menggugur seseorang
pemain itu buat masa ini. Mereka akan tetap berlatih dan masih mempunyai ruang
untuk bersama pasukan.
''Mereka harus berasa beruntung dapat berlatih dengan
pemain senior seperti Azman (Adnan), B. Rajinikandh, Yap Wai Loon dan
sebagainya,'' katanya.
Abdul Rahman kelmarin sudah membayangkan kesebelasan
pemain yang bakal menentang Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kecuali M. Elangoo, semua pemain pilihan jurulatih itu
adalah pemain senior dengan Azman dan Zami Mohd. Nor diberi kepercayaan
menerajui barisan serangan.
Bahagian pertahanan dikemudi Abdul Ghani Malek, Anuar
Jusoh, Moey Kok Hong, Asmawi Bakiri dan Nazri Yunos manakala Wai Loon, Idris
Karim dan Ahmad Shahruddin Rosdi mengemudi jentera tengah.
Selain Elangoo, pemain muda lain dalam skuad itu ialah
penyerang Kedah, Cheah Kean Seng dan rakan sepasukannya Adrien Jurad Chamrong.
Menjelang perlawanan menentang kelab Liga Perdana
England itu, Abdul Rahman semalam menumpukan latihan kesesuaian pemain di
segenap posisi terutama gandingan Azman dan Zami selain ketepatan membuat
hantaran.
''Mereka belum serasi. Hantaran-hantaran bola sesama
sendiri juga belum berapa baik, mungkin mereka baru digandingkan,'' ujarnya.
Sementara itu, undian menentukan kumpulan bagi acara
bola sepak pada temasya Sukan SEA Brunei, dijadual dibuat hari ini di Bandar
Seri Begawan.
sepuluh pasukan termasuk juara bertahan Thailand dan
naib juara Indonesia mengesahkan bertanding pada temasya dwitahunan itu pada
7-15 Ogos. Acara bola sepak dijadualkan bermula pada 31 Julai.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan