ARKIB : 18/05/1999
SEBAHAGIAN pemain skuad bola sepak kebangsaan giat
menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam menjelang perlawanan
persahabatan menentang Arsenal, malam esok. - Gambar ZAINI HUSIN.
JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, Abdul Rahman
Ibrahim semalam mengumumkan barisan 20 pemain yang bakal beraksi menentang
Arsenal malam esok dengan memasukkan muka baru dalam skuad - Wan Rohaimi Wan
Ismail dari Pahang.
Selain penyerang berusia 22 tahun itu, turut berada
dalam senarai ialah bekas pemain Olimpik 2000, M. Elangoo dan pemain pertahanan
Pahang, Mohd. Ali Tahar.
Manakala selebihnya adalah muka lama yang pernah
menganggotai skuad negara antaranya B. Rajinikandh, Anuar Jusoh, Ahmad
Shahruddin Rosdi, Yap Wai Loon, Nazri Yunos, Ahmad Shahrulazhar Sofian, Zami
Mohd. Nor dan Azman Adnan.
Bagaimanapun perancang tengah Perak, Azrul Amri Burhan
dan penjaga gol Pahang Mudzar Mohamad diketepikan daripada skuad bersama enam
lagi pemain.
Mereka ialah Chan Wing Hong, Yusri Che Lah (Perlis),
Rizal Sukiman, Azmil Azali (Johor) serta pemain muda dari Kedah, Cheah Kean
Seng dan Adrien Jurad Chamrong.
Abdul Rahman semasa mengumumkan barisan pemain itu
dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam berkata, pemain yang
diketepikan kebanyakannya belum bersedia untuk beraksi di peringkat
antarabangsa selain kecederaan yang dialami.
''Azrul belum boleh beraksi pada peringkat ini, begitu
juga dengan Adrien, Wing Hoong dan Kean Seang manakala Yusri cedera serius di
buku lali.
''Rizal dan Azmil yang beraksi dalam Perdana Dua pula
tidak dapat menyaingi prestasi seperti mana pemain dari Perdana Satu ketika
latihan dan keadaan itu memberi kesan kepada dua pemain ini,'' katanya di Wisma
FAM, Kelana Jaya, semalam.
Mengenai tiga muka baru itu, Abdul Rahman berkata,
mereka terpilih ke dalam skuad kerana mempamerkan aksi baik dan konsisten
ketika latihan.
Menurut jurulatih itu, kebanyakan pemain yang dipilih
untuk perlawanan dengan kelab ternama dalam Liga Perdana England itu juga
adalah daripada kumpulan umur yang dianggap sesuai untuk aksi peringkat
antarabangsa.
''Barisan ini dikira yang terbaik untuk perlawanan
dengan Arsenal. Menerusi barisan ini, kita dapat melihat kemampuan pasukan baru
kita dan perlawanan dengan Arsenal adalah permulaan bagi mereka,'' katanya.
Bagaimanapun menurut jurulatih itu, lapan pemain yang
diketepikan itu akan dipanggil semula untuk menjalani latihan pusat selepas
perlawanan dengan Arsenal.
''Mereka diketepikan hanya untuk perlawanan dengan
Arsenal dan akan dipanggil semula selepas itu.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan