GANDINGAN Azman Adnan dan Zami Mohd. Noor semakin
pasti mendapat kepercayaan jurulatih kebangsaan Abdul Rahman Ibrahim bagi
membentuk pasangan penyerang kembar Malaysia menentang Arsenal pada perlawanan
bola sepak persahabatan, Rabu ini.
Sekalipun sesi latihan skuad negara hanya memasuki
hari pertama semalam, nama Azman dan Zami tampak cenderung diketengahkan jika
menilai prestasi mereka pada Liga Perdana Satu kebelakangan ini.
Rahman sendiri membayangkan untuk memilih penyerang
Pulau Pinang dan Negeri Sembilan itu dengan alasan ciri pengalaman akan banyak
membantu Malaysia menghadapi gergasi Liga Perdana England ini.
Turut berada dalam senarai kesebelasan bayangan Rahman
ialah dua pemain Terengganu - Abdul Ghani Malik dan Anuar Jusoh serta Moey Kok
Hong dari Pulau Pinang bagi mengisi posisi benteng tengah skuad negara.
Rahman juga berkemungkinan besar meletakkan pemain
sisihan Olimpik 2000, M. Elangoo bersama-sama Asmawi Bakiri dalam menghadapi
jentera serangan import Arsenal yang dibarisi oleh Nwankwo Kanu, Marc Overmars
dan Nicolas Anelka.
Sementara yang mendapat tanggungjawab di bahagian
tengah daripada bekas jurulatih Terengganu itu ialah Yap Wai Loon, Idris Karim
dan Ahmad Shahruddin Rosdi.
Cuma posisi penjaga gol masih dibiarkan dalam
teka-teki yang menyaksikan persaingan pemain dari tiga pasukan teratas Perdana
Satu - Mudzar Mohamed (Pahang), Azlisham Ibrahim (Pulau Pinang) dan Azmin Azram
Aziz (Negeri Sembilan).
Andainya mutu konsisten semasa turut dikira sebagai
ciri tambahan pemilihan, Mudzar dan Azmin mempunyai peluang yang lebih cerah
untuk tampil di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.
Sayangnya, penampilan Yusri Che Lah bersama skuad
negara, kian diragui apabila pemain tengah Perlis itu mengalami kecederaan buku
lali kanannya.
''Cuma Yusri yang nampak sukar menjalani latihan. Buku
lalinya cedera serius,'' kata Rahman ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.
Kehilangan Yusri itu bagaimanapun memungkinkan Rahman
menoleh senarai 13 pemain yang turut disenaraikan dalam barisan simpanan selain
daripada 28 pelatih utama.
Perlawanan menentang Arsenal ini merupakan aksi
antarabangsa ketiga skuad negara sejak dibentuk semula selepas dibubarkan
ekoran kekalahan memalukan pada Sukan SEA XIX Jakarta 1997.
Malaysia sebelum ini mengadakan perlawanan
persahabatan di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan menyertai Piala Dunhill kedua di
Bandar Raya Ho Chi Minh, Januari dan Februari lalu.
Sementara itu, mulai hari ini, orang ramai yang mahu
membeli tiket perlawanan berharga RM30, RM50 dan RM100, bolehlah mendapatkannya
di kaunter Stadium Nasional yang dibuka mulai 12 tengah hari hingga 6 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan