Isnin, 19 Disember 2016

Kuala Lumpur sekat kemaraan N. Sembilan

ARKIB : 23/04/2000
SEKALI lagi, Kuala Lumpur mempamerkan aksi menarik dalam bola sepak Liga Perdana Satu, apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit untuk mencatat seri 3-3 dengan Negeri Sembilan di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi sepakan penalti M. Eswaran pada minit ke-23 tetapi babak pertama tamat dengan Kuala Lumpur ketinggalan 3-1 hasil jaringan Khairul Anuar Baharum minit ke-37 dan dua sentuhan Azman Adnan minit ke-42 dan 45.

Tetapi Azali Mat Jusoh menghidupkan semula perjuangan pasukan pada babak kedua menerusi rembatan kencangnya untuk gol kedua Kuala Lumpur minit ke-66 sebelum Azlan Hussain menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Kuala Lumpur dalam enam perlawanan berturut-turut dalam liga dan Piala FA.

Aksi baik pasukan tuan rumah pada awal permainan dengan kejutan dua percubaan dalam tempoh tiga minit pertama menerusi Mohd. Farid Dewan dan Mohd. Nizaruddin Yusof menampakkan kesungguhan Kuala Lumpur untuk terus mencatat kejayaan.

Tetapi gol pertama hanya hadir selepas 23 minit permainan apabila sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Kuala Lumpur selepas Nizaruddin dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Khairul, tidak disia-siakan pemain tengah, Eswaran.

Namun, ketika Kuala Lumpur ghairah untuk menambah jaringan, Khairul menebus kesilapannya pada minit ke-37 untuk gol penyamaan menerusi sepakan percuma terus ke gawang, mengelirukan Shaharuddin yang terpaku di depan pintu golnya.

Dan dua kesilapan Shaharuddin ketika perlawanan babak pertama berbaki lima minit digunakan sebaiknya oleh Azman. Ketika penjaga gol itu meluru keluar untuk menyekat satu hantaran jauh, Azmi Mohamed lebih dulu menanduk bola sebelum disambung Azman menanduk masuk ke gawang yang kosong minit ke-42.

Tiga minit kemudian, Shaharuddin sekali lagi keluar dari gawangnya untuk cuba menangkap bola hantaran jauh tetapi salah faham dengan S. Jayaprakash menyaksikan bola singgah ke kaki Azman yang mudah menolak ke gawang untuk gol ketiga Negeri Sembilan.

Menyedari kepayahan aksi Shaharuddin, jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris mengeluarkannya pada babak kedua menggantikan Kamarul Idham Amiruddin.

Dan Kuala Lumpur yang sedar mereka ketinggalan, berusaha keras merapatkan kedudukan dan usaha mereka berjaya pada minit ke-66. Nizaruddin melorongkan bola kepada Azali di luar kotak penalti dan bek kanan itu menyepak kencang menewaskan Hamsani.

Dua minit selepas itu, Azlan meluru ke depan gawang dan melonjak tinggi menanduk masuk gol penyamaan hasil sepakan sudut Shawal Johadi.

KUALA LUMPUR: Shaharuddin Ahmad (Kamarul Idham Amiruddin), M. Karunakaran, Azali Mat Jusoh, Imran Ahmad, S. Jayaprakash, Azlan Hussain, S. Saravanan, Shawal Johadi (Rosle Derus), M. Eswaran (K. Nanthakumar), Mohd. Farid Dewan, Mohd. Nizaruddin Yusof.

NEGERI SEMBILAN: Mohd. Hamsani Ahmad, Nor Hisham Kamaruddin, Khairul Anuar Baharum, Adnan Md. Zin, Leong Hong Seng, Chow Chee Weng, Efendi Malek, Wong Sai Kong, Shukor Adan (Shahrizam Mohd), Azmi Mohamed (Noor Isham Ismail), Azman Adnan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TIcVl2ML © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 17 Disember 2016

JKR cipta kejutan ke atas NS

ARKIB : 26/03/2000
JKR Kelantan mencipta kejutan apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan bola sepak Piala FA peringkat pertama pusingan kedua di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu semalam.

Walaupun Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Azman Adnan pada minit ke-54, namun pasukan pelawat gagal mempertahankan kedudukan tersebut.

JKR Kelantan sebaliknya bangkit pada 20 minit terakhir perlawanan dan hasil asakan bertubi-tubi mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh bekas penyerang kebangsaan dan Johor, Hashim Mustapha pada minit ke-78.

Gol itu menyaksikan tuan rumah terus bertindak garang dan Rosli Ismail muncul wira apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-83.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Pulau Pinang mencatat kemenangan 2-1 ke atas NS Chempaka.

Pasukan pelawat itu hanya mengambil masa dua minit pertama permainan untuk mendahului NS Chempaka menerusi Mohd. Faizal Zainal.

Bagaimanapun penyerang Chempaka, R. Sekar meletakkan pasukannya kembali bersaing dengan jaringan gol penyamaan pada minit ke-14.

Kegembiraan pasukan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Hasmawi Hassan meletakkan semula Pulau Pinang di hadapan hasil umpanan cantik Faizal pada minit ke-28.

Dalam perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah mudah menewaskan TNB Kelantan 3-0.

Gol-gol Perak dihasilkan oleh K. Nanthakumar pada minit ke-22 sebelum Liew Kit Kong mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-45.

Tidak cukup dengan dua jaringan itu, Perak terus mengasak pada babak kedua permainan dan kesempatan terbaik pada minit ke-66 disempurnakan oleh M. Nagaraja untuk gol ketiga tuan rumah.

Dua pemain Pulau Pinang, Moey Kok Hong dan Wong Kah Loon serta seorang pemain NS Chempaka, Mohd. Mohd. Khaidir Mohd. Dom dilayang kad kuning.

Di Johor Bahru tuan rumah, Johor FC terpaksa seri 2-2 menentang Sarawak dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Pasir Gudang.

Gol pertama Johor FC dijaringkan oleh Harun Laban selepas kesilapan penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid yang gagal menangkap kemas bola tendangan lambung Hairy Azly Mahamad seawal minit pertama.

Sarawak menyamakan kedudukan hasil jaringan Dahlan Matusin menerusi tandukan pada minit ke-31 selepas menerima tendangan percuma daripada Bobby Chua.

Andrew Laban kembali meletakkan Johor FC di hadapan dengan gol kedua pada minit ke-43 selepas menyambar bola muntah yang ditampan oleh penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid. Ia berpunca daripada percubaan Shukri Ismail.

Sarawak yang mahu mengharapkan tugas mudah di Kuching dalam perlawanan kedua minggu depan, bangkit menyamakan kedudukan melalui Affendi Julaihi yang menanduk bola hasil dari tendangan sudut yang diambil oleh Ali Sapiee pada minit ke-58
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4T73uzZ6y © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 16 Disember 2016

Azman, Azmi serasi

ARKIB : 02/03/2000
JURULATIH pasukan bola sepak Negeri Sembilan, Mohd. Zaki Sheikh Ahmad kini boleh tersenyum apabila gandingan penyerang sensasi Azman Adnan dan Azmi Mohamed mula serasi dan menunjukkan persefahahaman untuk meranapkan kubu lawan dalam persaingan musim baru Liga Perdana musim ini.

Kedua-dua penyerang itu yang sebelum ini pernah berganding dalam skuad kebangsaan di Sukan SEA Jakarta 1997 mula memberi sentuhan-sentuhan berbisa dalam beberapa perlawanan persahabatan yang telah diadakan.

Gandingan penyerang 2A (Azman dan Azmi) kini semakin mantap dengan masing-masing mampu untuk melakukan gerakan-gerakan berbisa untuk menjaringkan gol.

''Bukan sahaja Azman dan Azmi sahaja yang telah menunjukkan keserasian dalam skuad Rusa, pemain-pemain lain juga telah dapat bergerak sebagai satu pasukan,'' katanya ketika ditemui di Seremban, semalam.

Beliau menambah, pemain-pemain dalam skuad Rusa itu telah menunjukkan peningkatan dari segi mental dan fizikal.

Tegasnya, pendekatan latihan sekarang lebih kepada aspek psikologi dan melatih para pemain supaya dapat menumpukan sepenuhnya kepada perlawanan.

''Apa yang menjadi masalah sekarang ialah pemain-pemain hilang tumpuan pada pertengahan perlawanan seperti yang berlaku dalam beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan seperti perlawananan persahabatan dengan Sarawak,'' ujarnya.

Mohd Zaki menambah, sekiranya masalah itu dapat diselesaikan dan pemain-pemain skuad Rusa dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada perlawanan, pasti skuad ini mantap dari segala segi.

Katanya, pasukan di bawah bimbingannya sudah pasti dapat menyelesaikan masalah dari segi penumpuan itu dan seterusnya akan diuji sebelum perlawanan pertama dalam Piala FA bermula pada 13 Mac ini.

Berkaitan dengan senarai pemain musim ini, Mohd. Zaki berkata, senarai nama para pemain telah diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 28 Februari lalu.

Oleh: HATA WAHARI

Kongsi Konten di :

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4T0DO7FzT © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 14 Disember 2016

Rusa dibarisi pemain-pemain ternama

ARKIB : 20/01/2000
SKUAD Rusa yang diperkuatkan dengan penyerang sensasi, Azman Adnan musim ini akan turut dibarisi pemain-pemain yang sudah mencipta nama seperti Salim Khamis, Yap Wai Loon dan Rizal Sukiman, lapor ZULKIFLI ABDULLAH.

Dengan adanya pemain-pemain senior dan kebangsaan itu, sudah jelas memperlihat tekad Negeri Sembilan untuk mencipta kejayaan bermakna selepas tersekat di peringkat separuh Piala Malaysia pada tahun 1998 dan 1999.

Pengurus skuad Rusa, Wan Zainal Abidin Wan Abdullah memberitahu, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sedang berusaha berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bagi mendapatkan khidmat Wai Loon.

Di samping itu, katanya, usaha juga sedang dibuat dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bagi mendapatkan pelepasan pemain tengah, Rizal Sukiman bagi menyarung jersi Rusa pada musim ini.

''PBNS sudah pun menandatangani kontrak dengan pemain pertahanan Johor, Salim Khamis untuk memantapkan benteng pertahanan Negeri Sembilan baru-baru ini,'' katanya di Seremban semalam.

Wan Zainal berkata demikian selepas majlis menandatangani kontrak Azman dengan PBNS yang turut disaksikan oleh Presidennya, Tan Sri Mohd. Isa Samad di pejabat Menteri Besar semalam.

Kehadiran penjaring terbanyak Perdana Satu musim lalu, Azman yang akan digandingkan dengan Azmi Mohamed dan Khairul Anuar Baharom dijangka memberi saingan hebat pada musim ini serta meletakkan skuad Rusa antara pasukan yang digeruni pasukan-pasukan lain.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu kemudiannya memberitahu, beliau menerima banyak tawaran termasuk dari sebuah kelab di Singapura dan beberapa pasukan negeri lain tetapi berhasrat untuk menabur bakti dan memberi bimbingan kepada pemain-pemain muda negeri ini.

''Selepas meneliti tawaran ini, saya mengambil keputusan menyertai pasukan Negeri Sembilan dengan harapan untuk memberikan persembahan terbaik pada setiap perlawanan.

''Terima kasih kepada PBNS yang sudi menerima saya kembali,'' ujarnya.

Mengenai kecederaan yang dialaminya semasa mewakili pasukan Harimau Kumbang musim lalu, Azman memberitahu, kecederaan itu sudah beransur pulih dan yakin tidak akan menghalangnya beraksi untuk Negeri Sembilan.

Mohd. Isa menegaskan, biarpun Azman telah mengecewakan PBNS dengan menolak perlawanan Rusa pada tahun 1997 sebaliknya menyertai Selangor ia sama sekali tidak menimbulkan dendam kesumat kepada pemain tersebut.

''Kami di PBNS tidak berdendam sebab itu kami menerima semula Azman dan percaya dengan komitmen semua pemain, pasukan Negeri Sembilan akan menunjukkan permainan cemerlang,'' tambahnya.

Skuad Rusa akan menjalani latihan dalam tempoh yang terdekat ini di bawah jurulatih Zaki Sheikh Ahmad dan penolong jurulatih, Ahmad Osman.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SsPi60v0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tanpa Azman: -- Mat Zan terpaksa ubah taktik

ARKIB : 17/01/2000
KEGAGALAN Kuala Lumpur memikat bekas penyerang sensasi negara, Azman Adnan untuk kempen bola sepak Liga Malaysia musim ini, memaksa jurulatih Mat Zan Mat Aris mengubah perancangan awalnya di barisan depan, lapor JOHARI SHAWAL.

Mat Zan sebelum ini gembira dengan berita bahawa Azman akan kembali menyarung jersi warga kota selepas penjaring terbanyak liga musim lalu itu tidak meneruskan kontrak dengan Pulau Pinang.

Azman, mengikut perancangan awal Mat Zan, bakal mengemudi barisan serangan di samping menjadi mentor kepada pemain-pemain mudanya.

Namun, keputusan penyerang berusia 29 tahun itu bermain untuk negeri kelahirannya, Negeri Sembilan, memusnahkan angan-angan jurulatih itu.

''Saya tidak terkilan Azman tidak jadi ke Kuala Lumpur tetapi sedikit kecewa. Nampaknya saya terpaksa teruskan perancangan lama saya,'' kata Mat Zan ketika dihubungi semalam.

Begitu pun Mat Zan berkata, beliau masih mempunyai pilihan untuk mengisi posisi serangan.

Katanya, barisan depan akan terus diterajui dua penyerang mudanya, Mohd. Nizaruddin Yusof dan Mohd. Farid Dewan selain dua penyerang simpanan, Mohd. Zulkhibri Raob dan Ameer Ali Bacha.

''Khidmat Nizaruddin mungkin tidak dapat digunakan dalam kempen awal Liga Malaysia jika pemain itu terpilih mewakili pasukan negara.

''Jika dia dipilih, Farid akan digandingkan dengan Zulkhibri atau Ameer,'' katanya.

Nizaruddin kini sedang berlatih bersama 27 lagi pelatih kebangsaan di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim untuk pemilihan ke kelayakan Piala Asia, Mac ini.

Mat Zan berkata, pemain tengahnya, G. Muthu dan Rosle Derus sudah pulih daripada kecederaan buku lali dan dijangka mampu kembali memperkukuhkan pasukan.

''Azmir (Nor Hakim Burhan) belum lagi menampakkan tanda-tanda akan pulih dan saya harap dia dapat bersama pasukan secepat mungkin,'' katanya.

Khidmat Muthu dan Azmir tidak dapat digunakan Kuala Lumpur sepanjang pusingan kedua Liga Perdana dan Piala Malaysia musim lalu.

Skuad itu kembali menyambung latihan hari ini selepas diberi pelepasan dua minggu sempena Hari Raya Aidilfitri.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SsJDrnVi © Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad Rusa pilihan Azman

ARKIB : 13/01/2000
PENYERANG sensasi negara, Azman Adnan sah menjadi milik skuad Rusa apabila beliau menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Perkara itu disahkan oleh pengurus skuad Rusa, Wan Zainal Abidin Wan Abdullah dalam sidang akhbar di pejabat PBNS selepas satu mesyuarat khas di Seremban, semalam.

Kenyataan tersebut sekaligus telah menamatkan spekulasi tentang bekas pemain Selangor dan Pulau Pinang tersebut yang dikatakan akan berhijrah ke beberapa buah negeri lain.

Beliau berkata, Azman telah menandatangani kontrak untuk bersama skuad itu sebelum Hari Raya Aidilfitri ini selepas kedua-dua pihak berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan.

Katanya, beliau berharap kehadiran Azman akan diterima oleh semua pihak dalam menyahut cabaran siri kejohanan bola sepak tempatan bagi musim ini.

Menurutnya, pemilihan Azman, anak kelahiran Negeri Sembilan itu berdasarkan kebolehan penyerang yang masih dianggap terbaik negara ini dalam usaha membantu skuad muda Rusa yang banyak diwakili pemain Piala Presiden.

''Kita cuba dapatkan Azman sejak tahun 1997 lagi, tetapi gagal. Bagaimanapun, pada musim ini dengan kedatangan Azman dia boleh menyuntik semangat pemain muda dalam skuad ini,'' katanya.

Wan Zainal memberitahu, dalam pasukan itu kelak Azman akan berganding dengan Azmi Mohamed dan Khairul Anwar Baharom yang masih kekal bersama skuad Rusa dalam cabaran tahun 2000.

Kata Wan Zainal, pemain terbabit akan menjalani latihan bersama-sama dengan rakan sepasukan dalam tempoh terdekat ini di bawah jurulatih Zaki Sheikh Ahmad dan penolong jurulatih, Ahmad Osman.

Dalam pada itu, menurut beliau, pihak persatuan juga sedang berusaha mendapatkan khidmat dua pemain lagi khususnya bagi mengisi posisi pertahanan selain mendapat semula khidmat pemain Wong Sai Kong untuk memperkuatkan barisan kali ini.

Sementara itu, Wan Zainal juga mengumumkan bahawa belanjawan skuad Rusa pada musim ini lebih kecil iaitu sekitar RM1 juta berbanding kira-kira RM3 juta untuk semua pasukan musim lalu.

Ditanya mengenai reaksi Presiden PBNS, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mengenai kehadiran Azman, beliau berkata, Mohd. Isa memang mahukan pemain itu untuk memantapkan jentera Rusa.

Menurutnya, PBNS juga tidak menetapkan sasaran pada musim ini sebaliknya meminta semua pemain Rusa bermain bersungguh- sungguh untuk mencipta seberapa banyak kejayaan yang boleh.

Oleh: MEOR HARMAN MEOR SHAKRI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SpLfratO © Utusan Melayu (M) Bhd

Serangan KL mantap dengan kehadiran Azman

ARKIB : 03/01/2000
JURULATIH Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris mengakui jika Azman Adnan sah menyarung jersi pasukan warga kota untuk cabaran bola sepak Liga Malaysia musim ini, tugasnya untuk memperkukuhkan jentera serangan menjadi sedikit ringan.

Mat Zan tentu juga berasa lega kerana yakin penyerang berusia 29 tahun itu bukan sahaja mampu menyuntik nafas baru buat skuad mudanya tetapi menjadi 'pembimbing' kepada semua pemain.

''Sudah tentu Azman nanti akan menjadi sandaran utama untuk menjaringkan gol. Cuma sekarang ini saya sedang memikirkan siapa yang bakal menjadi rakannya di barisan depan,'' kata Mat Zan semalam.

Menurut jurulatih itu yang terus diberi kepercayaan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk membimbing pasukan buat semusim lagi, penyerang mudanya, Mohd. Nizaruddin Yusof dan penjaring terbanyak Kuala Lumpur, Mohd. Farid Dewan menjadi fokus utama sebagai gandingan Azman.

''Secara peribadi, saya nampak Nizaruddin lebih sesuai kerana dia memiliki ciri-ciri sebagai penyerang sokongan atau feeder.

''Dia memiliki kemahiran mengawal bola yang tinggi dengan hantaran-hantaran ke gawang yang baik. Saya pasti Azman mudah bekerja dengannya,'' ujar Mat Zan.

Namun, Mat Zan tidak mengetepikan kebolehan Farid yang dianggapnya lebih licik.

''Cuma Farid perlukan sokongan penuh rakan penyerang lain kerana dia ada kepakaran menjaringkan gol,'' tambahnya.

Dalam kempen Liga Malaysia musim lalu, Nizaruddin, penyerang berusia 22 tahun yang dipanggil untuk latihan skuad kebangsaan kendalian Abdul Rahman Ibrahim, lebih banyak membantu Farid menjaringkan gol.

Farid adalah penjaring utama warga kota dengan lapan gol sepanjang musim lalu.

Mat Zan juga mengakui kehadiran Azman nanti mampu mengubah situasi rumit Kuala Lumpur di depan gawang lawan selain dia boleh bertindak sebagai 'abang' untuk membimbing pemain mudanya.

''Kita sukar sekali mencari gol kerana barisan depan yang kurang mantap. Mungkin Azman mampu mengubahnya,'' ujarnya.

Dalam kempen Perdana Satu musim lalu, Kuala Lumpur bagaimanapun mencatat hasil agak memberangsangkan apabila berjaya menjaringkan 25 gol daripada 18 perlawanan liga, tetapi memboloskan 29 gol.

Begitu pun kata Mat Zan, segalanya bergantung kepada kehadiran Azman untuk mengubah situasi itu dan jika perancangan KLFA untuk memikat pemain itu gagal, Nizaruddin dan Farid akan terus menerajui pasukan musim ini.

Azman, penyerang yang dibeli Pulau Pinang musim lalu dan masih mempamerkan aksi cemerlang apabila muncul penjaring terbanyak Perdana Satu dengan 15 gol, kini bebas daripada ikatan kontrak dengan mana-mana pasukan.

Kuala Lumpur dikatakan sedang berusaha mendapatkan khidmat pemain itu untuk memperkukuhkan cabaran musim baru.

Kuala Lumpur kini sedang giat berlatih dan mereka dijadual menentang Polis pada perlawanan persahabatan di padang Pulapol, Kuala Lumpur, petang ini.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SoAlJbrB © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 13 Disember 2016

Pulau Pinang gugur Azman

ARKIB : 12/12/1999
PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang bermesyuarat semalam, mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan 12 pemain yang kebanyakannya pemain import dari negeri lain termasuk penjaring terbanyak liga musim ini, Azman Adnan, lapor ZULKIFLI ABDULLAH.

Pengguguran Azman sekali gus menguatkan lagi berita bahawa penyerang berusia 29 tahun itu akan kembali beraksi bersama pasukan lamanya, Kuala Lumpur.

Turut mengiringi ketua pasukan Harimau Kumbang itu ialah rakan-rakan sepasukannya dari Selangor iaitu Asmawi Bakiri, Shahril Arsat dan penjaga gol, Azlisham Ibrahim.

Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad memberitahu, pihaknya juga menggugurkan pemain dari Kedah S. Ragesh, V. Thinagaran (Perlis), Mohd. Badrisan Abdul Kadir dan Wong Kah Loon (Kelantan).

Selain itu, Zahidi Shoib, G. Shanmugam, Shahul Hamid Jamaludin dan Mohd. Faizal Abdul Halim juga digugurkan untuk beraksi mewakili Pulau Pinang pada liga musim depan.

''FAP mengambil keputusan menggugurkan 12 pemain yang kebanyakan pemain luar dari Pulau Pinang kerana mahu menjimatkan kos dan tidak lagi mampu membayar gaji yang mahal kepada pemain,'' katanya.

Bagaimanapun, FAP mengekalkan 15 pemain dalam skuad mereka untuk membawa cabaran pada liga tahun depan yang kebanyakannya pemain tempatan termasuk S. Nanthakumar, Nordin Khamis, Yoon Woon Seang, Ooi Hoe Guan, Chee Wan Hoe, Hasmawi Hassan, Ng Kok Heng dan R. Suresh Kumar.

Lain-lain pemain yang dikekalkan dalam skuad itu ialah Mohd. Zaidi Mat Ail, Abdul Rahim Hassan, Moey Kok Hong, Azri Phin, Fauzi Soh, Megat Amir Faizal Ibrahim dam Zailani Jaafar.

Dr. Ibrahim memberitahu, FAP akan mencari pemain-pemain berkaliber di negeri ini dan juga luar dari Pulau Pinang untuk membawa cabaran hebat pada musim depan.

''Kami juga akan mencari jurulatih baru bagi mengendalikan pasukan negeri dan buat masa ini ia masih di bawah penyeliaan Moey Kok Ham,'' kata beliau.

Pasukan Harimau Kumbang sekadar muncul naib juara liga manakala dalam Piala Malaysia, skuad negeri ini berada di tangga terbawah kumpulan A dan gagal ke separuh akhir.

Dalam mesyuarat semalam, Dr. Ibrahim bersama pengurus pasukan, Datuk Mohd. Zain Omar turut menyatakan hasrat meletak jawatan masing-masing bagi memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin muda menerajui FAP dan skuad baru itu nanti.

Bagaimanapun Jawatankuasa FAP meminta kedua-dua tokoh bola sepak itu supaya tidak berbuat demikian sehingga mesyuarat agung FAP selepas Hari Raya Aidilfitri.

''Saya rasa sudah cukup lima tahun saya berada dalam FAP yang memenangi juara liga, naib juara liga dan naib johan Piala FA untuk diambil alih oleh pemimpin-pemimpin muda,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Siqc6Dyx © Utusan Melayu (M) Bhd

Azman 'sakit kepala'

ARKIB : 10/12/1999
AZMAN Adnan berkata, dia memang berminat untuk kembali menyarung jersi Kuala Lumpur bagi kempen baru bola sepak Liga Malaysia musim depan tetapi penyerang berusia 29 tahun itu masih sayangkan pasukannya ketika ini, Pulau Pinang.

''Kalau boleh, saya hendak beralih angin tetapi Pulau Pinang banyak memberi kenangan manis kepada saya. Saya mahu terus menabur bakti kepada pasukan itu.

''Tetapi seperti yang saya katakan, mungkin saya akan beralih angin... tengoklah apa dan bagaimana keadaannya,'' kata Azman ketika dihubungi di Pulau Pinang, semalam.

Azman berkata, dia tidak berunding secara terus dengan Kuala Lumpur tetapi cuma berjumpa dengan penaja baru pasukan itu, Petra Group menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Venod Sekhar, minggu lalu.

''Dalam pertemuan itu tiada sebarang kata putus dicapai,'' katanya.

Azman, penjaring terbanyak Perdana Satu musim ini dengan 13 gol, dikaitkan penghijrahannya ke Kuala Lumpur musim depan selepas dikatakan mendapat tawaran 'lumayan' daripada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Bagaimanapun, Azman semalam berkata, dia bukan sahaja diburu Kuala Lumpur tetapi tiga lagi pasukan negeri.

''Saya mendapat tiga tawaran daripada pasukan negeri dan terbaru KLFA. Ia satu perkara menguntungkan tetapi dalam masa yang sama, ia memeningkan saya.

''Sukar untuk buat keputusan pasukan mana yang mahu saya sertai tahun depan... mungkin terus dengan Pulau Pinang agaknya,'' katanya.

Namun Azman tidak mahu terlalu menumpukan terhadap tawaran itu dan hanya akan membincangkannya sesudah mesyuarat antara pemain Pulau Pinang dengan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Sabtu ini.

''Saya tidak mahu buat sebarang keputusan sekarang. Saya akan beritahu nanti sesudah pertemuan antara pemain (Pulau Pinang) dengan FAP, Sabtu ini,'' ujarnya.

Semua pemain dijangka menemui Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad Sabtu ini untuk membincangkan kontrak masing-masing.

Kontrak Azman dengan Pulau Pinang berakhir 31 Disember ini. Pemain itu beraksi semusim dengan Pulau Pinang tahun ini selepas berhijrah dari Selangor bersama tiga lagi rakannya dalam Red Giants, Asmawi Bakiri, Shahril Arsat dan Azlisham Ibrahim.

Azman yang membawa Selangor menjulang Piala Malaysia dari 1995-1997 dan menjaringkan gol tunggal ketika Selangor menang 1-0 ke atas Pulau Pinang untuk menjulang Piala FA pada 1998, gagal membantu Harimau Kumbang menguasai Perdana Satu musim ini.

Pulau Pinang sekadar muncul naib juara liga manakala dalam Piala Malaysia, skuad bimbingan Moey Yoke Ham di tangga terbawah kumpulan A dan gagal ke separuh akhir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SimrjU9X © Utusan Melayu (M) Bhd

Azman kembali ke KL

ARKIB : 09/12/1999
BINTANG bola sepak kebangsaan, Azman Adnan hampir pasti menyarung kembali jersi Kuala Lumpur musim depan dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kini hanya menunggu 'lampu hijau' daripada majikan penyerang berusia 29 tahun itu, Pulau Pinang.

Setiausaha Agung KLFA, K. Rasalingam berkata, rundingan telah dibuat dengan Azman beberapa minggu lalu dan penjaring terbanyak Perdana Satu itu menyatakan kesediaannya untuk kembali ke Kuala Lumpur.

''Tetapi dia tidak menyatakan persetujuan secara rasmi kerana dia masih terikat kontrak dengan Pulau Pinang.

''Apa pun, kita akan cuba terus berunding dengan pemain itu,'' katanya.

KLFA akan diswastakan menjelang musim baru Liga Malaysia musim depan. Sebuah syarikat tempatan, Petra Group telah menyatakan kesanggupan untuk menaja pasukan itu dengan jumlah tajaan sehingga tujuh angka untuk tempoh dua tahun.

Penglibatan Petra Group adalah termasuk pembangunan bola sepak Kuala Lumpur di peringkat junior selain menumpukan perhatian kepada pasukan senior.

Langkah pertama Kuala Lumpur adalah memikat pemain-pemain berwibawa dan sasaran utamanya ialah Azman selain pemain penyerang Negeri Sembilan, Zami Mohd. Noor dan B. Rajinikandh.

''Kita sebenarnya tidak pasti akan mendapat khidmat Azman atau pemain lain itu tetapi kita akan teruskan rundingan,'' tambah Rasalingam.

Menurutnya, jika Azman bersetuju ke Kuala Lumpur, gaji pemain itu kemungkinan besar sama dengan yang diterimanya ketika beraksi dengan pasukan Pulau Pinang.

''Tetapi dia mungkin akan mendapat sedikit imbuhan lain,'' ujar Rasalingam.

Difahamkan, Azman mendapat gaji antara RM10,000 hingga RM12,000 di Pulau Pinang.

Karier Azman bermula di Kuala Lumpur dan sewaktu mewakili skuad yang ketika itu dibimbing jurulatih Chow Kwai Lam, dia pernah dilabel sebagai pemain berharga RM1 juta selain menjadi aset utama pasukan kebangsaan.

Selepas menabur bakti kira-kira dua musim bersama Kuala Lumpur, Azman berhijrah ke Selangor dan dia menjadi bintang kesayangan pasukan Red Giants apabila membawa pasukan itu muncul juara Piala Malaysia tiga kali berturut-turut (1995-1997).

Begitu pun, kemerosotan mendadak pasukan Selangor pada 1998 sehingga tergelincir ke Perdana Dua, menyebabkan penyerang itu berhijrah bersama beberapa pemain lain untuk menyertai Pulau Pinang - juara Perdana Satu 1998.

Namun, Azman gagal membawa majikan barunya itu ke mercu kejayaan apabila sekadar mampu membantu pasukan itu muncul naib juara Perdana Satu dan gagal meletakkan Pulau Pinang di peringkat terbaik dalam Piala Malaysia.

Pulau Pinang menamatkan cabaran kumpulan A Piala Malaysia di tangga paling bawah.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SileGxFa © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 11 Disember 2016

Azman mungkin kembali ke Kuala Lumpur

ARKIB : 03/11/1999
PENYERANG berbisa Pulau Pinang, Azman Adnan, 29, kemungkinan besar akan kembali menyarung jersi Kuala Lumpur dalam saingan baru bola sepak Liga Malaysia musim depan apabila kontraknya bersama skuad Pulau Mutiara itu berakhir 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Petra, Datuk Vinod Sekhar berkata, beliau sudah berbincang dengan pemain berkenaan berhubung penghijrahan pemain itu di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.

Petra adalah sebuah syarikat swasta yang akan membantu mengendalikan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) menerusi tajaan.

''Saya menelefon dan meminta Azman untuk datang ke pejabat. Perbincangan yang diadakan tengah hari semalam menunjukkan tanda-tanda yang positif,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam.

Ditanya mengenai kontrak Azman bersama Pulau Pinang, Vinod berkata, persoalan itu tidak timbul kerana kontrak pemain itu dijangka berakhir 31 Disember ini.

''Kini hanya Azman yang akan menentukan sama ada dia benar-benar bersedia untuk kembali ke pangkuan pasukan yang satu ketika pernah menjulang namanya,'' kata Vinod.

Menurut Vinod, segala urusan berhubung pemindahan pemain itu diserahkan kepada KLFA.

''Tujuan utama Petra adalah untuk membantu pembangunan bola sepak Kuala Lumpur,'' katanya. KLFA memerlukan seorang penyerang berkaliber seperti Azman untuk menerajui barisan serangan pasukan itu yang bakal berwajah baru untuk mengharungi musim depan.

Beliau percaya dengan kewibawaan pengurus pasukan Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Hilmi Ismail, Kuala Lumpur mampu kembali sebagai pasukan yang disegani.

Satu ketika dahulu, Kuala Lumpur merupakan pasukan yang begitu disegani apabila muncul juara Piala Malaysia tiga kali berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1989.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Saata8lQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Penyu tidak anggap Azman wira

ARKIB : 30/10/1999
PENDAHULU kumpulan A bola sepak Piala Malaysia, Terengganu berazam memastikan pasukan itu dapat mengutip mata penuh pada pertemuan dengan Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Bagi skuad Penyu itu, kemenangan menentang Pulau Pinang akan menjadikan Terengganu berada di kedudukan selesa bagi menempah tempat ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia seterusnya.

Oleh itu, Terengganu akan menurunkan kebanyakan kesebelasan utamanya bagi memastikan kemenangan dicapai, tambahan pula para pemain yang cedera sebelum seperti Sapian Abd. Wahid dikatakan sudah boleh beraksi semula.

Pengurus Pasukan Penyu, Datuk Che Mat Jusoh berkata, dalam pertemuan semalam, Terengganu tidak akan menganggap penyerang Pulau Pinang, Azman Adnan sebagai wira utama yang perlu diberi perhatian utama berbanding pemain Pulau Pinang yang lain.

''Kita tidak akan memberi kawalan khas kepada Azman Adnan berbanding pemain yang lain...sebaliknya semua pemain Pulau Pinang akan dikawal rapi. ''Tambahan pula, semua pertahanan Terengganu boleh silih berganti mengawal Azman Adnan.

''Terengganu juga tidak menganggap Azman Adnan sebagai ancaman utama kepada Terengganu kerana setiap pemain Pulau Pinang kita anggap sama sahaja,'' katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Che Mat juga berharap para pemainnya tidak melakukan kesilapan besar kerana ia boleh mengakibatkan pasukan Pulau Pinang mendahului Terengganu.

''Pemain Terengganu akan terus bermain seperti biasa dan jika dalam pertemuan lalu Terengganu kecundang 1-5 pada Pulau Pinang, tetapi malam ini kita juga boleh mengubah nasib dengan menewaskan Pulau Pinang,'' katanya.

Di samping itu, beliau meminta para penonton supaya jangan cepat mengejek atau memarahi para pemain Terengganu yang melakukan kesilapan.

Menurutnya, perbuatan penonton itu boleh menjejaskan permainan pemain sepanjang 90 minit beraksi
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SXX4Dri4 © Utusan Melayu (M) Bhd