Rabu, 14 Disember 2016

Skuad Rusa pilihan Azman

ARKIB : 13/01/2000
PENYERANG sensasi negara, Azman Adnan sah menjadi milik skuad Rusa apabila beliau menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Perkara itu disahkan oleh pengurus skuad Rusa, Wan Zainal Abidin Wan Abdullah dalam sidang akhbar di pejabat PBNS selepas satu mesyuarat khas di Seremban, semalam.

Kenyataan tersebut sekaligus telah menamatkan spekulasi tentang bekas pemain Selangor dan Pulau Pinang tersebut yang dikatakan akan berhijrah ke beberapa buah negeri lain.

Beliau berkata, Azman telah menandatangani kontrak untuk bersama skuad itu sebelum Hari Raya Aidilfitri ini selepas kedua-dua pihak berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan.

Katanya, beliau berharap kehadiran Azman akan diterima oleh semua pihak dalam menyahut cabaran siri kejohanan bola sepak tempatan bagi musim ini.

Menurutnya, pemilihan Azman, anak kelahiran Negeri Sembilan itu berdasarkan kebolehan penyerang yang masih dianggap terbaik negara ini dalam usaha membantu skuad muda Rusa yang banyak diwakili pemain Piala Presiden.

''Kita cuba dapatkan Azman sejak tahun 1997 lagi, tetapi gagal. Bagaimanapun, pada musim ini dengan kedatangan Azman dia boleh menyuntik semangat pemain muda dalam skuad ini,'' katanya.

Wan Zainal memberitahu, dalam pasukan itu kelak Azman akan berganding dengan Azmi Mohamed dan Khairul Anwar Baharom yang masih kekal bersama skuad Rusa dalam cabaran tahun 2000.

Kata Wan Zainal, pemain terbabit akan menjalani latihan bersama-sama dengan rakan sepasukan dalam tempoh terdekat ini di bawah jurulatih Zaki Sheikh Ahmad dan penolong jurulatih, Ahmad Osman.

Dalam pada itu, menurut beliau, pihak persatuan juga sedang berusaha mendapatkan khidmat dua pemain lagi khususnya bagi mengisi posisi pertahanan selain mendapat semula khidmat pemain Wong Sai Kong untuk memperkuatkan barisan kali ini.

Sementara itu, Wan Zainal juga mengumumkan bahawa belanjawan skuad Rusa pada musim ini lebih kecil iaitu sekitar RM1 juta berbanding kira-kira RM3 juta untuk semua pasukan musim lalu.

Ditanya mengenai reaksi Presiden PBNS, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mengenai kehadiran Azman, beliau berkata, Mohd. Isa memang mahukan pemain itu untuk memantapkan jentera Rusa.

Menurutnya, PBNS juga tidak menetapkan sasaran pada musim ini sebaliknya meminta semua pemain Rusa bermain bersungguh- sungguh untuk mencipta seberapa banyak kejayaan yang boleh.

Oleh: MEOR HARMAN MEOR SHAKRI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SpLfratO © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan