Selasa, 13 Disember 2016

Pulau Pinang gugur Azman

ARKIB : 12/12/1999
PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang bermesyuarat semalam, mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan 12 pemain yang kebanyakannya pemain import dari negeri lain termasuk penjaring terbanyak liga musim ini, Azman Adnan, lapor ZULKIFLI ABDULLAH.

Pengguguran Azman sekali gus menguatkan lagi berita bahawa penyerang berusia 29 tahun itu akan kembali beraksi bersama pasukan lamanya, Kuala Lumpur.

Turut mengiringi ketua pasukan Harimau Kumbang itu ialah rakan-rakan sepasukannya dari Selangor iaitu Asmawi Bakiri, Shahril Arsat dan penjaga gol, Azlisham Ibrahim.

Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad memberitahu, pihaknya juga menggugurkan pemain dari Kedah S. Ragesh, V. Thinagaran (Perlis), Mohd. Badrisan Abdul Kadir dan Wong Kah Loon (Kelantan).

Selain itu, Zahidi Shoib, G. Shanmugam, Shahul Hamid Jamaludin dan Mohd. Faizal Abdul Halim juga digugurkan untuk beraksi mewakili Pulau Pinang pada liga musim depan.

''FAP mengambil keputusan menggugurkan 12 pemain yang kebanyakan pemain luar dari Pulau Pinang kerana mahu menjimatkan kos dan tidak lagi mampu membayar gaji yang mahal kepada pemain,'' katanya.

Bagaimanapun, FAP mengekalkan 15 pemain dalam skuad mereka untuk membawa cabaran pada liga tahun depan yang kebanyakannya pemain tempatan termasuk S. Nanthakumar, Nordin Khamis, Yoon Woon Seang, Ooi Hoe Guan, Chee Wan Hoe, Hasmawi Hassan, Ng Kok Heng dan R. Suresh Kumar.

Lain-lain pemain yang dikekalkan dalam skuad itu ialah Mohd. Zaidi Mat Ail, Abdul Rahim Hassan, Moey Kok Hong, Azri Phin, Fauzi Soh, Megat Amir Faizal Ibrahim dam Zailani Jaafar.

Dr. Ibrahim memberitahu, FAP akan mencari pemain-pemain berkaliber di negeri ini dan juga luar dari Pulau Pinang untuk membawa cabaran hebat pada musim depan.

''Kami juga akan mencari jurulatih baru bagi mengendalikan pasukan negeri dan buat masa ini ia masih di bawah penyeliaan Moey Kok Ham,'' kata beliau.

Pasukan Harimau Kumbang sekadar muncul naib juara liga manakala dalam Piala Malaysia, skuad negeri ini berada di tangga terbawah kumpulan A dan gagal ke separuh akhir.

Dalam mesyuarat semalam, Dr. Ibrahim bersama pengurus pasukan, Datuk Mohd. Zain Omar turut menyatakan hasrat meletak jawatan masing-masing bagi memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin muda menerajui FAP dan skuad baru itu nanti.

Bagaimanapun Jawatankuasa FAP meminta kedua-dua tokoh bola sepak itu supaya tidak berbuat demikian sehingga mesyuarat agung FAP selepas Hari Raya Aidilfitri.

''Saya rasa sudah cukup lima tahun saya berada dalam FAP yang memenangi juara liga, naib juara liga dan naib johan Piala FA untuk diambil alih oleh pemimpin-pemimpin muda,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Siqc6Dyx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan