ARKIB : 10/12/1999
AZMAN Adnan berkata, dia memang
berminat untuk kembali menyarung jersi Kuala Lumpur bagi kempen baru bola sepak
Liga Malaysia musim depan tetapi penyerang berusia 29 tahun itu masih sayangkan
pasukannya ketika ini, Pulau Pinang.
''Kalau boleh, saya hendak
beralih angin tetapi Pulau Pinang banyak memberi kenangan manis kepada saya.
Saya mahu terus menabur bakti kepada pasukan itu.
''Tetapi seperti yang saya
katakan, mungkin saya akan beralih angin... tengoklah apa dan bagaimana
keadaannya,'' kata Azman ketika dihubungi di Pulau Pinang, semalam.
Azman berkata, dia tidak
berunding secara terus dengan Kuala Lumpur tetapi cuma berjumpa dengan penaja
baru pasukan itu, Petra Group menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Venod
Sekhar, minggu lalu.
''Dalam pertemuan itu tiada
sebarang kata putus dicapai,'' katanya.
Azman, penjaring terbanyak
Perdana Satu musim ini dengan 13 gol, dikaitkan penghijrahannya ke Kuala Lumpur
musim depan selepas dikatakan mendapat tawaran 'lumayan' daripada Persatuan
Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Bagaimanapun, Azman semalam
berkata, dia bukan sahaja diburu Kuala Lumpur tetapi tiga lagi pasukan negeri.
''Saya mendapat tiga tawaran
daripada pasukan negeri dan terbaru KLFA. Ia satu perkara menguntungkan tetapi
dalam masa yang sama, ia memeningkan saya.
''Sukar untuk buat keputusan
pasukan mana yang mahu saya sertai tahun depan... mungkin terus dengan Pulau
Pinang agaknya,'' katanya.
Namun Azman tidak mahu terlalu
menumpukan terhadap tawaran itu dan hanya akan membincangkannya sesudah
mesyuarat antara pemain Pulau Pinang dengan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang
(FAP), Sabtu ini.
''Saya tidak mahu buat sebarang
keputusan sekarang. Saya akan beritahu nanti sesudah pertemuan antara pemain
(Pulau Pinang) dengan FAP, Sabtu ini,'' ujarnya.
Semua pemain dijangka menemui
Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad Sabtu ini untuk membincangkan
kontrak masing-masing.
Kontrak Azman dengan Pulau
Pinang berakhir 31 Disember ini. Pemain itu beraksi semusim dengan Pulau Pinang
tahun ini selepas berhijrah dari Selangor bersama tiga lagi rakannya dalam Red
Giants, Asmawi Bakiri, Shahril Arsat dan Azlisham Ibrahim.
Azman yang membawa Selangor
menjulang Piala Malaysia dari 1995-1997 dan menjaringkan gol tunggal ketika
Selangor menang 1-0 ke atas Pulau Pinang untuk menjulang Piala FA pada 1998,
gagal membantu Harimau Kumbang menguasai Perdana Satu musim ini.
Pulau Pinang sekadar muncul
naib juara liga manakala dalam Piala Malaysia, skuad bimbingan Moey Yoke Ham di
tangga terbawah kumpulan A dan gagal ke separuh akhir.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SimrjU9X
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan