ARKIB : 03/11/1999
PENYERANG berbisa Pulau Pinang,
Azman Adnan, 29, kemungkinan besar akan kembali menyarung jersi Kuala Lumpur
dalam saingan baru bola sepak Liga Malaysia musim depan apabila kontraknya
bersama skuad Pulau Mutiara itu berakhir 31 Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Petra,
Datuk Vinod Sekhar berkata, beliau sudah berbincang dengan pemain berkenaan
berhubung penghijrahan pemain itu di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.
Petra adalah sebuah syarikat
swasta yang akan membantu mengendalikan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala
Lumpur (KLFA) menerusi tajaan.
''Saya menelefon dan meminta
Azman untuk datang ke pejabat. Perbincangan yang diadakan tengah hari semalam
menunjukkan tanda-tanda yang positif,'' katanya ketika dihubungi di Kuala
Lumpur semalam.
Ditanya mengenai kontrak Azman
bersama Pulau Pinang, Vinod berkata, persoalan itu tidak timbul kerana kontrak
pemain itu dijangka berakhir 31 Disember ini.
''Kini hanya Azman yang akan
menentukan sama ada dia benar-benar bersedia untuk kembali ke pangkuan pasukan
yang satu ketika pernah menjulang namanya,'' kata Vinod.
Menurut Vinod, segala urusan
berhubung pemindahan pemain itu diserahkan kepada KLFA.
''Tujuan utama Petra adalah
untuk membantu pembangunan bola sepak Kuala Lumpur,'' katanya. KLFA memerlukan
seorang penyerang berkaliber seperti Azman untuk menerajui barisan serangan
pasukan itu yang bakal berwajah baru untuk mengharungi musim depan.
Beliau percaya dengan
kewibawaan pengurus pasukan Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Hilmi Ismail, Kuala Lumpur
mampu kembali sebagai pasukan yang disegani.
Satu ketika dahulu, Kuala
Lumpur merupakan pasukan yang begitu disegani apabila muncul juara Piala
Malaysia tiga kali berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1989.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Saata8lQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan