Jumaat, 16 Disember 2016

Azman, Azmi serasi

ARKIB : 02/03/2000
JURULATIH pasukan bola sepak Negeri Sembilan, Mohd. Zaki Sheikh Ahmad kini boleh tersenyum apabila gandingan penyerang sensasi Azman Adnan dan Azmi Mohamed mula serasi dan menunjukkan persefahahaman untuk meranapkan kubu lawan dalam persaingan musim baru Liga Perdana musim ini.

Kedua-dua penyerang itu yang sebelum ini pernah berganding dalam skuad kebangsaan di Sukan SEA Jakarta 1997 mula memberi sentuhan-sentuhan berbisa dalam beberapa perlawanan persahabatan yang telah diadakan.

Gandingan penyerang 2A (Azman dan Azmi) kini semakin mantap dengan masing-masing mampu untuk melakukan gerakan-gerakan berbisa untuk menjaringkan gol.

''Bukan sahaja Azman dan Azmi sahaja yang telah menunjukkan keserasian dalam skuad Rusa, pemain-pemain lain juga telah dapat bergerak sebagai satu pasukan,'' katanya ketika ditemui di Seremban, semalam.

Beliau menambah, pemain-pemain dalam skuad Rusa itu telah menunjukkan peningkatan dari segi mental dan fizikal.

Tegasnya, pendekatan latihan sekarang lebih kepada aspek psikologi dan melatih para pemain supaya dapat menumpukan sepenuhnya kepada perlawanan.

''Apa yang menjadi masalah sekarang ialah pemain-pemain hilang tumpuan pada pertengahan perlawanan seperti yang berlaku dalam beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan seperti perlawananan persahabatan dengan Sarawak,'' ujarnya.

Mohd Zaki menambah, sekiranya masalah itu dapat diselesaikan dan pemain-pemain skuad Rusa dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada perlawanan, pasti skuad ini mantap dari segala segi.

Katanya, pasukan di bawah bimbingannya sudah pasti dapat menyelesaikan masalah dari segi penumpuan itu dan seterusnya akan diuji sebelum perlawanan pertama dalam Piala FA bermula pada 13 Mac ini.

Berkaitan dengan senarai pemain musim ini, Mohd. Zaki berkata, senarai nama para pemain telah diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 28 Februari lalu.

Oleh: HATA WAHARI

Kongsi Konten di :

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4T0DO7FzT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan