ARKIB : 17/01/2000
KEGAGALAN Kuala Lumpur memikat
bekas penyerang sensasi negara, Azman Adnan untuk kempen bola sepak Liga
Malaysia musim ini, memaksa jurulatih Mat Zan Mat Aris mengubah perancangan
awalnya di barisan depan, lapor JOHARI SHAWAL.
Mat Zan sebelum ini gembira dengan
berita bahawa Azman akan kembali menyarung jersi warga kota selepas penjaring
terbanyak liga musim lalu itu tidak meneruskan kontrak dengan Pulau Pinang.
Azman, mengikut perancangan
awal Mat Zan, bakal mengemudi barisan serangan di samping menjadi mentor kepada
pemain-pemain mudanya.
Namun, keputusan penyerang
berusia 29 tahun itu bermain untuk negeri kelahirannya, Negeri Sembilan,
memusnahkan angan-angan jurulatih itu.
''Saya tidak terkilan Azman
tidak jadi ke Kuala Lumpur tetapi sedikit kecewa. Nampaknya saya terpaksa
teruskan perancangan lama saya,'' kata Mat Zan ketika dihubungi semalam.
Begitu pun Mat Zan berkata,
beliau masih mempunyai pilihan untuk mengisi posisi serangan.
Katanya, barisan depan akan
terus diterajui dua penyerang mudanya, Mohd. Nizaruddin Yusof dan Mohd. Farid
Dewan selain dua penyerang simpanan, Mohd. Zulkhibri Raob dan Ameer Ali Bacha.
''Khidmat Nizaruddin mungkin
tidak dapat digunakan dalam kempen awal Liga Malaysia jika pemain itu terpilih
mewakili pasukan negara.
''Jika dia dipilih, Farid akan
digandingkan dengan Zulkhibri atau Ameer,'' katanya.
Nizaruddin kini sedang berlatih
bersama 27 lagi pelatih kebangsaan di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim
untuk pemilihan ke kelayakan Piala Asia, Mac ini.
Mat Zan berkata, pemain
tengahnya, G. Muthu dan Rosle Derus sudah pulih daripada kecederaan buku lali
dan dijangka mampu kembali memperkukuhkan pasukan.
''Azmir (Nor Hakim Burhan)
belum lagi menampakkan tanda-tanda akan pulih dan saya harap dia dapat bersama
pasukan secepat mungkin,'' katanya.
Khidmat Muthu dan Azmir tidak
dapat digunakan Kuala Lumpur sepanjang pusingan kedua Liga Perdana dan Piala
Malaysia musim lalu.
Skuad itu kembali menyambung
latihan hari ini selepas diberi pelepasan dua minggu sempena Hari Raya Aidilfitri.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SsJDrnVi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan