ARKIB : 26/03/2000
JKR Kelantan mencipta kejutan
apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan bola sepak Piala FA
peringkat pertama pusingan kedua di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu
semalam.
Walaupun Negeri Sembilan
terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Azman Adnan
pada minit ke-54, namun pasukan pelawat gagal mempertahankan kedudukan
tersebut.
JKR Kelantan sebaliknya bangkit
pada 20 minit terakhir perlawanan dan hasil asakan bertubi-tubi mendapatkan
sepakan penalti yang disempurnakan oleh bekas penyerang kebangsaan dan Johor,
Hashim Mustapha pada minit ke-78.
Gol itu menyaksikan tuan rumah
terus bertindak garang dan Rosli Ismail muncul wira apabila menyumbat gol
kemenangan pada minit ke-83.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman
Paroi, Pulau Pinang mencatat kemenangan 2-1 ke atas NS Chempaka.
Pasukan pelawat itu hanya
mengambil masa dua minit pertama permainan untuk mendahului NS Chempaka
menerusi Mohd. Faizal Zainal.
Bagaimanapun penyerang Chempaka,
R. Sekar meletakkan pasukannya kembali bersaing dengan jaringan gol penyamaan
pada minit ke-14.
Kegembiraan pasukan tuan rumah
tidak bertahan lama apabila Hasmawi Hassan meletakkan semula Pulau Pinang di
hadapan hasil umpanan cantik Faizal pada minit ke-28.
Dalam perlawanan di Stadium
Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah mudah menewaskan TNB Kelantan 3-0.
Gol-gol Perak dihasilkan oleh
K. Nanthakumar pada minit ke-22 sebelum Liew Kit Kong mengukuhkan kedudukan
menerusi jaringan pada minit ke-45.
Tidak cukup dengan dua jaringan
itu, Perak terus mengasak pada babak kedua permainan dan kesempatan terbaik
pada minit ke-66 disempurnakan oleh M. Nagaraja untuk gol ketiga tuan rumah.
Dua pemain Pulau Pinang, Moey
Kok Hong dan Wong Kah Loon serta seorang pemain NS Chempaka, Mohd. Mohd.
Khaidir Mohd. Dom dilayang kad kuning.
Di Johor Bahru tuan rumah,
Johor FC terpaksa seri 2-2 menentang Sarawak dalam perlawanan yang berlangsung
di Stadium Pasir Gudang.
Gol pertama Johor FC
dijaringkan oleh Harun Laban selepas kesilapan penjaga gol Sarawak, Mazlan
Wahid yang gagal menangkap kemas bola tendangan lambung Hairy Azly Mahamad
seawal minit pertama.
Sarawak menyamakan kedudukan
hasil jaringan Dahlan Matusin menerusi tandukan pada minit ke-31 selepas
menerima tendangan percuma daripada Bobby Chua.
Andrew Laban kembali meletakkan
Johor FC di hadapan dengan gol kedua pada minit ke-43 selepas menyambar bola
muntah yang ditampan oleh penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid. Ia berpunca
daripada percubaan Shukri Ismail.
Sarawak yang mahu mengharapkan
tugas mudah di Kuching dalam perlawanan kedua minggu depan, bangkit menyamakan
kedudukan melalui Affendi Julaihi yang menanduk bola hasil dari tendangan sudut
yang diambil oleh Ali Sapiee pada minit ke-58
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4T73uzZ6y
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan