ARKIB : 23/07/1999
TANDA tanya penampilan Azman
Adnan bersama skuad bola sepak negara ke Sukan SEA XX Brunei, bulan depan di
sebalik kecederaan buku lali kirinya, akan terjawab hari ini.
Jika laporan doktor
menggalakkan, Azman mungkin mendapat peluang kedua tetapi andai kata
sebaliknya, penyerang Pulau Pinang itu cuma boleh mengucapkan selamat jalan
kepada rakan lain.
Jurulatih negara, Abdul Rahman
Ibrahim berkata, dia masih mengharapkan Azman beroleh 'keajaiban' untuk kembali
bersama biarpun agak tipis.
''Saya perlu mendapatkan
laporan doktor dulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk membawa Azman
kembali atau tidak.
''Bagaimanapun kita harus akur
kepada tahap kecergasannya yang mungkin rendah setelah tidak bersama skuad
negara sejak menentang Arsenal, Mei lalu,'' kata Rahman.
Cuma 18 pemain akan dipilih
Isnin ini ke Brunei untuk memikul cabaran negara mengakhiri kemarau kemaraan ke
separuh akhir sejak Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.
Rahman turut membayangkan untuk
terus bersandarkan tenaga yang pernah beraksi ketika Malaysia tewas 0-2 kepada
kelab gergasi England, Arsenal di Kuala Lumpur, lalu.
''Saya sudah memiliki antara
lapan hingga 12 pemain teras. Selepas beberapa ujian, saya dapati tidak perlu
membuat banyak rombakan,'' katanya.
Rahman turut mengakui, biarpun
tanpa Azman, jentera serangan skuad negara sudah mula meraih keyakinannya
menerusi gandingan Azizul Kamaluddin, Rusdi Suparman dan Wan Rohaimi Ismail.
Selepas Arsenal, skuad negara
sudah menempuh lapan perlawanan persahabatan dalam rangka persediaan ke Brunei
bagi menebus aib yang terpalit di Jakarta, dua tahun lalu.
Skuad negara mencatat tiga
kemenangan, seri dua kali dan kalah tiga kali sepanjang perlawanan menentang
Olimpik Iraq, New Zealand di Kuala Lumpur di samping siri kunjungan ke
Uzbekistan dan Myanmar.
Sementara itu, Rahman
memberikan pengecualian kepada tujuh daripada 22 pelatih skuad negara untuk
sesi latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.
Mereka ialah Rohaimi, Azizul,
Yap Wai Loon, V. Thinagaran, Ahmad Shahruddin Rosdi, Nazri Yunos dan V.
Murugan.
''Tenaga mereka telah banyak
digunakan dan tiba masanya mereka diberi sedikit rehat,'' katanya.
Manakala tiga pemain yang tidak
ke Myanmar - Azlisham Ibrahim, Nizaruddin Yusuf dan Bakhtiar Othman kembali
menyertai latihan.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S3v0s5t5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan