Rabu, 14 Disember 2016

Rusa dibarisi pemain-pemain ternama

ARKIB : 20/01/2000
SKUAD Rusa yang diperkuatkan dengan penyerang sensasi, Azman Adnan musim ini akan turut dibarisi pemain-pemain yang sudah mencipta nama seperti Salim Khamis, Yap Wai Loon dan Rizal Sukiman, lapor ZULKIFLI ABDULLAH.

Dengan adanya pemain-pemain senior dan kebangsaan itu, sudah jelas memperlihat tekad Negeri Sembilan untuk mencipta kejayaan bermakna selepas tersekat di peringkat separuh Piala Malaysia pada tahun 1998 dan 1999.

Pengurus skuad Rusa, Wan Zainal Abidin Wan Abdullah memberitahu, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sedang berusaha berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bagi mendapatkan khidmat Wai Loon.

Di samping itu, katanya, usaha juga sedang dibuat dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bagi mendapatkan pelepasan pemain tengah, Rizal Sukiman bagi menyarung jersi Rusa pada musim ini.

''PBNS sudah pun menandatangani kontrak dengan pemain pertahanan Johor, Salim Khamis untuk memantapkan benteng pertahanan Negeri Sembilan baru-baru ini,'' katanya di Seremban semalam.

Wan Zainal berkata demikian selepas majlis menandatangani kontrak Azman dengan PBNS yang turut disaksikan oleh Presidennya, Tan Sri Mohd. Isa Samad di pejabat Menteri Besar semalam.

Kehadiran penjaring terbanyak Perdana Satu musim lalu, Azman yang akan digandingkan dengan Azmi Mohamed dan Khairul Anuar Baharom dijangka memberi saingan hebat pada musim ini serta meletakkan skuad Rusa antara pasukan yang digeruni pasukan-pasukan lain.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu kemudiannya memberitahu, beliau menerima banyak tawaran termasuk dari sebuah kelab di Singapura dan beberapa pasukan negeri lain tetapi berhasrat untuk menabur bakti dan memberi bimbingan kepada pemain-pemain muda negeri ini.

''Selepas meneliti tawaran ini, saya mengambil keputusan menyertai pasukan Negeri Sembilan dengan harapan untuk memberikan persembahan terbaik pada setiap perlawanan.

''Terima kasih kepada PBNS yang sudi menerima saya kembali,'' ujarnya.

Mengenai kecederaan yang dialaminya semasa mewakili pasukan Harimau Kumbang musim lalu, Azman memberitahu, kecederaan itu sudah beransur pulih dan yakin tidak akan menghalangnya beraksi untuk Negeri Sembilan.

Mohd. Isa menegaskan, biarpun Azman telah mengecewakan PBNS dengan menolak perlawanan Rusa pada tahun 1997 sebaliknya menyertai Selangor ia sama sekali tidak menimbulkan dendam kesumat kepada pemain tersebut.

''Kami di PBNS tidak berdendam sebab itu kami menerima semula Azman dan percaya dengan komitmen semua pemain, pasukan Negeri Sembilan akan menunjukkan permainan cemerlang,'' tambahnya.

Skuad Rusa akan menjalani latihan dalam tempoh yang terdekat ini di bawah jurulatih Zaki Sheikh Ahmad dan penolong jurulatih, Ahmad Osman.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SsPi60v0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan