ARKIB : 24/07/1999
PENGGUGURAN Azman Adnan tidak
menjejaskan kemantapan barisan serangan negara dengan gandingan baru Azizul
Kamaludin dan Rusdi Suparman mengharungi cabaran bola sepak lelaki pada Sukan
SEA XX di Brunei, bulan depan.
Azman digugurkan daripada skuad
itu oleh ketua jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim kelmarin kerana bimbang
risiko kecederaan kaki yang dialaminya menjejaskan cabaran negara pada temasya
itu.
Abdul Rahman seperti dipetik
dalam akhbar The Star sebagai berkata: ''Walau pun saya ingin memasukkan Azman,
namun saya tidak mahu mempunyai pemain yang cedera di Brunei.
Jurulatih, Lim Chuan Chin yang
mengendalikan latihan skuad negara di padang MSN, Bukit Jalil semalam, juga
tidak mengetahui ke mana perginya Azman selepas menabur janji kosong.
''Azman berjanji untuk berjumpa
doktor dan berjanji untuk menyaksikan latihan rakan sepasukannya. Namun dia
tidak menunjukkan muka langsung hari ini (semalam).
''Dalam sesi latihan ini, kami
menumpukan kepada kekuatan mental. Rusdi Suparman, Wan Rohaimi, Shaharuddin
Rosdi dan Nazri Yusof kini dibelenggu kecederaan, tetapi disifatkan bukan di
tahap serius,'' kata Lim.
Sementara itu, Rusdi mengakui
gandingannya dengan Azizul Kamaluddin menjanjikan sesuatu di Brunei, walaupun
dia turut dibebani kecederaan kaki.
''Ia cabaran pertama saya dalam
Sukan SEA dan saya cukup bangga dapat mewakili negara. Kecederaan ini berlaku
pada perlawanan persabahatan kedua menentang Myanmar baru-baru ini.
''Kombinasi saya dengan Azizul
juga bertambah baik. Saya tidak kisah digandingkan dengannya selepas ketiadaan
Azman,'' kata Rusdi, 26, yang tidak menduga dipilih oleh Abdul Rahman.
Penjaga gol kebangsaan, Azmin
Azram Aziz berkata, dia dan rakan sepasukan akan memastikan kemenangan pertama
ke atas Singapura, 31 Julai ini.
''Fikiran saya hanya terbayang
cabaran Singapura kerana kita perlu menang untuk meneruskan langkah.
''Tahap permainan antara
pasukan sekumpulan agak setanding dan Malaysia tetap berpeluang melangkah lebih
jauh,'' kata Azmin beraksi pada Sukan SEA buat kali kedua selepas Jakarta 1997.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S3wGhoLo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan